Surat Keenam

28. Page

Surat Keenam


بِاسْمِه۪ وَاِنْ مِنْ شَئٍ اِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِه۪سَلَامُ اللّٰهِ وَ رَحْمَتُهُ وَ بَرَكَاتُهُ عَلَيْكُمَا وَ عَلٰٓي اِخْوَانِكُمَا مَادَامَ الْمَلَوَانِ وَ تَعَاقَبَ الْعَصْرَانِ وَ مَادَامَ الْقَمَرَانِ وَ اسْتَقْبَلَ الْفَرْقَدَانِ




Dengan nama Allah 

“dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya;”


Salam sejahtera kepada kamu berdua dan saudara-saudaramu sekalian selagi mana; al-Malawān masih ada; al-‘Aṣrān silih berganti; al-Qamarān masih wujud; dan al-Farqadān masih menghadap antara satu sama lain.  


Wahai dua orang saudaraku yang tekun, dua sahabatku yang budiman dan sumber ketenteramanku dalam terasingnya hidup di dunia:


Oleh kerana Allah telah menjadikan kamu berdua sebagai rakan yang berkongsi lintasan fikiranku, maka tidak syak lagi kamu berdua berhak untuk mendengar perkongsian perasaanku juga. Aku akan ceritakan kepada kamu berdua sebahagian daripada peritnya perpisahan dalam duniaku yang terasing ini. Aku tidak akan menceritakan sebahagian besar keperitan dan penderitaanku supaya kalian berdua tidak terlalu bimbang dengan keadaanku.

29. Page

Sudah hampir genap tiga bulan aku keseorangan di sini. Orang ramai hanya datang mengunjungiku pada setiap lima belas atau dua puluh hari. Manakala pada waktu lain pula aku bersendirian. Penduduk gunung pun sudah hampir dua puluh hari tidak pulang ke sini, mereka sudah bertebaran merata-rata. Pada waktu malam di atas gunung yang terasing ini, tidak kedengaran apa-apa suara atau bunyi pun, kecuali bunyi desiran pokok yang menyedihkan. Aku telah melihat lima warna yang bercampur aduk dengan kesunyian ini:

Pertama: Aku kesepian terasing di sini – dalam usia yang lanjut – daripada para sahabatku, ahli keluargaku dan sanak-saudaraku. Maka aku merasai kesepian dan kesedihan akibat terpisahnya aku daripada mereka dan pulangnya mereka ke alam Barzakh. 


Kedua: Dalam kesepian ini terbuka pula kesepian yang lain, iaitu aku merasai kesepian aku dengan makhluk yang mempunyai hubung kait denganku, bagaikan berlalunya musim bunga yang lepas.


Ketiga: Dalam kesepian ini juga terbuka kesepian yang lain, apabila aku merasai kesepian antara suasana tempat lahirku dan kaum-kerabatku dan suasanaku yang kesunyian dan terasing ini.

30. Page

Keempat: Kesepian-kesepian ini membuatkanku merasai kesunyian demi kesunyian yang menyedihkan pada malam hari di atas gunung ini.


Kelima: Dalam kesepian ini aku melihat ruhku sudah pun bersedia untuk meninggalkan dunia yang fana’ dan sunyi sepi ini selama-lamanya. Secara spontan aku berkata: Maha Suci Allah! Bagaimana mahu menanggung kesepian dan kegelapan sebegini?! Sedang aku tenggelam dalam fikiranku ini, hatiku bermunajat:


Wahai Tuhan! Aku kesepian, lemah, tidak mempunyai kudrat dan tenaga, sakit, tak berdaya, lanjut usia dan tiada daya upaya bagiku. Aku memohon kepadamu keamanan dan ketenteraman, aku memohon keampunan, aku meminta pertolongan dan kekuatan daripada pintu rahmat-Mu wahai Tuhan!


Kemudian cahaya iman, arus al-Qur’an dan kelembutan al-Rahman meliputiku, lalu kelima-lima jenis kesepian dan kegelapan ini bertukar serta merta kepada lima lingkaran persahabatan nurani. Lidahku menyebut:  

حَسْبُنَا اللّٰهُ وَنِعْمَ الْوَك۪يلُ

“Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)”.

(surah ’Āli ‘Imrān: ayat 173)


Hatiku pula membaca: 

Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): “cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar.”

(surah al-Tawbah: ayat 129)

31. Page

Kemudian akalku berbicara dengan jiwaku yang menjerit kesakitan dan kerisauan: 

Tinggalkanlah jeritan dan al-‘Awīl akibat al-Baliyyah wahai jiwa yang serba kekurangan. Marilah bertawakkal.


Ketahuilah jika jeritan dan raungan itu salah, maka kedua-duanya adalah musibah dalam musibah yang asal.

Ketahuilah apabila kamu ditimpa musibah, kamu telah mendapat kurniaan berbentuk penyucian dan kebahagiaan dalam musibah.

Tinggalkan jeritan dan raungan, bersyukurlah seperti burung murai, bunga-bungaan yang sentiasa tersenyum kerana kegembiraan si murai tadi.

Jika kamu tidak ketemuinya, maka ketahuilah bahawa dunia ini hanya kesusahan dalam kehancuran di dalam debu!

Jadi mengapa kamu menjerit kerana musibah yang kecil, sedangkan di atas kepalamu musibah sebesar bumi. Marilah bertawakkal!

Senyumlah di hadapan musibah dengan tawakkal sehingga musibah turut tersenyum.

Maka musibah itu akan menjadi kecil setiap kali kamu senyum dan musibah itu berubah.

32. Page

Aku berkata, itulah juga apa yang diungkapkan oleh salah seorang guruku Shaykh Mawlānā Jalāl al-Dīn al-Rūmī ketika bermonolog dengan dirinya: 


Ketika Allah bertanya: Bukankah Aku ini Tuhan kamu? Aku menjawab: Bahkan! Tetapi di mana kalimah “Bahkan” dalam kesyukuran dan rasa terima kasihku.


Sedangkan kalimah ini ialah punca kesedihan dan penderitaan, tahukah engkau apa rahsia kesedihan dan penderitaan? Iaitu mengetuk pintu kefakiran dan kehancuran kerana Allah Ta‘ala.


Diriku lantas menjawab: Benar! Benar! Dengan kelemahan dan bergantung harap, dengan kefakiran dan memohon perlindungan kepada Allah akan terbuka pintu cahaya, lalu lenyaplah kegelapan. Segala puji bagi Allah atas nikmat cahaya iman dan Islam. 

33. Page

Kemudian aku merenung bait berikut daripada kata-kata hikmah al-‘Aṭa’iyyah yang masyhur dan aku mendapati betapa benarnya kata-kata ini:

“Apakah yang dijumpai seseorang akan hilang daripadanya dan apakah yang hilang daripada seseorang akan menjumpainya?!”


Iaitu sesiapa yang menjumpai Allah Ta‘ala akan menjumpai semua perkara, sesiapa yang tidak menjumpai Allah tidak akan menjumpai apa-apa, hinggalah jika berjumpa juga, akan menemui bala dan musibah. 


Lalu aku memahami rahsia hadis “beruntunglah orang yang terasing itu” dan aku bersyukur kepada Allah Ta‘ala.


Wahai dua orang saudaraku, walaupun kesepian dan kegelapan ini telah diterangi dengan cahaya iman, namun kedua-duanya sedikit sebanyak telah memberi kesan kepadaku. Lalu terlintas di fikiranku:


“Alang-alang aku ini keseorangan, berada dalam keadaan terasing dan aku akan pergi ke alam yang terasing, adakah telah tamat tugasanku di dunia ini?”

34. Page

Kemudian, datang pula lintasan yang lain: 

“Sehinggalah aku mewakilkan kamu dan mewakilkan “al-Kalimāt” daripadaku, lalu aku putuskan kesemua hubunganku dengan dunia.”


Oleh itu, aku telah bertanya kamu: “Adakah “al-Kalimāt” yang kukarang ini mencukupi? Adakah apa-apa kekurangan padanya? Iaitu adakah tugasanku telah berakhir?” Sehingga aku dapat merehatkan hatiku dalam kesepian hakiki yang bercahaya, lazat dan menyeronokkan. Lalu aku melupai dunia dan aku mengulangi kata-kata Mawlānā Jalāl al-Dīn: 


“Adakah kamu tahu apakah pendengaran itu? Iaitu berpaling daripada makhluk dan kehancuran kewujudan ini lalu merasai berkekalan dalam kehancuran yang hakiki.”


Lalu aku mencari kesepian yang tertinggi dan aku telah memeningkan kepala kalian dengan persoalanku ini.


Hanya Allah yang Maha Kekal yang kekal abadi.

Said Nursi