NAVIGATION
90. Page
Surat Ke-16
(Dan Tambahannya)
بِسْــــــــــــــــــــــــــــــــــمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّح۪يمِ
اَلَّذ۪ينَ قَالَ لَهُمُ النَّاسُ اِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ ا۪يمَانًا
وَ قَالُوا حَسْبُنَا اللّٰهُ وَنِعْمَ الْوَك۪يلُ
Dengan nama Allah yang maha pemurah dan maha pengasihani
“Mereka yang diberitahu oleh orang kepada mereka: Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu takutlah kepada mereka. Maka berita itu menambahkan iman mereka lalu berkata: Cukuplah Allah (penolong) kami, dan Ia sebaik-baik Pengurus.” (Surah Ali-‘Imran: ayat 173)
Surat ini mencapai rahsia “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah lembut.” (surah Taha: ayat 44), maka surat ini tidak ditulis dengan laras yang keras.
Jawapan kepada soalan yang ditanya orang ramai secara langsung atau tidak langsung.
91. Page
Aku tidak teringin dan tidak mahu memberi jawapan ini, kerana aku sudah menyerahkan segala urusanku dengan bertawakkal kepada Allah Ta‘ala. Namun apabila mereka tidak membiarkanku dengan urusanku supaya aku dapat berehat dalam duniaku, malah mereka memalingkan wajahku kepada dunia, maka aku terpaksa menjawab lima isu ini dengan lisan Sa‘id yang lama dan bukannya Sa‘id yang baru. Supaya aku dapat menyelamatkan kawan-kawanku dan kata-kataku daripada tipu daya dan muslihat ahli dunia, bukannya untuk diriku sendiri, untuk menerangkan hakikat sebenar kepada kawan-kawanku, ahli dunia dan pihak berkuasa.
Isu pertama: Aku ditanya, mengapa aku menarik diri daripada politik, mengapa aku tidak mendekatinya langsung?
Jawapan: Sa‘id yang lama telah menceburi bidang politik sebelum hampir sepuluh tahun, demi berkhidmat untuk agama, dan ilmu melalui wasilah politik, namun hasilnya hanya penat lelah dan sia-sia. Lalu, beliau melihat politik ini adalah jalan yang meragukan, dan bermasalah, tidak bermanfaat dan banyak risikonya. Bahkan, politik menghalang daripada tercapainya perkara yang lebih mustahak. Malah, ramainya kaki penipu dalam politik dan tanpa mereka sedari menjadi alat negara luar.
92. Page
Sesiapa sahaja yang berkecimpung dalam bidang politik, pasti akan menyokong atau membangkang polisi negara. Jika aku bersetuju, kesibukan aku dengan politik tidak memanfaatkanku, malah sia-sia bagiku. Hal ini kerana aku bukan pegawai kerajaan atau wakil rakyat dan aku juga tidak berhajat kepadanya. Oleh itu, aku tidak masuk campur dalam politik secara sia-sia. Jika aku membangkang pula, aku mesti berkecimpung dalam politik dengan pemikiran atau kekuatan. Jika aku berkicimpung dengan pemikiran, di situ tidak ada keperluan kepadaku. kerana masalah ini jelas, semua orang mengetahuinya seperti mana aku. Oleh itu, tiada keperluan untuk cakap-cakap kosong yang sia-sia. Jika aku membangkang dengan kekuatan untuk menimbulkan masalah-masalah pula, maka aku akan melakukan banyak dosa untuk tujuan yang meragukan. Ramai orang telah terkena musibah dan bala kerana seorang manusia. Maka, Sa‘īd yang lama telah meninggalkan merokok, membaca akhbar, politik dan hal-hal keduniaan. Dirinya tidak redha terlibat dalam melakukan dosa dan menganiayai orang yang tidak bersalah dengan satu dua kemungkinan daripada kemungkinan-kemungkinan yang ada.
Buktinya aku langsung tidak pernah membaca akhbar atau mendengarnya dari sesiapapun semenjak lapan tahun yang lepas. Jangan pula ada yang mendakwa aku membaca atau mendengarnya. Lainlah Sa‘īd lapan tahun yang lalu, dalam sehari lapan akhbar dibacanya.
Aku juga telah diperhatikan dengan begitu ketat selama lima tahun. Jangan pula ada yang mendakwa aku terlibat dengan politik. Sedangkan orang sepertiku berpendapat muslihat terbesar ialah meninggalkan muslihat itu sendiri berdasarkan kaedah “meninggalkan muslihat adalah suatu muslihat”. Maka aku tidak takut dan tidak terikat dengan sesiapa pun. Aku juga tidak menyembunyikan pemikiranku kepada sesiapa pun selama lapan hari mahupun selama lapan tahun. Jika benar aku teringin sangat dengan politik, mengapa aku tinggalkan siasatan, malah berbunyi bising seperti meriam.
93. Page
Isu kedua: Mengapa Sa‘īd yang baru menjauhkan diri daripada politik sebegini?
Jawapan: Sa‘īd yang baru ini sangat memencilkan diri daripada politik kerana ingin berkhidmat untuk al-Qur’an dan iman, dua perkara yang sangat penting dan lebih layak dicurahkan bakti supaya aku tidak mengorbankan perjuangan untuk kejayaan akhirat yang lebih panjang, melebihi bilion tahun berbanding beberapa tahun yang singkat di dunia yang mana tujuannya meragukan di mana politik adalah kemahuan dan bukannya keperluan. Sa‘īd yang baru juga berkata, “Aku sudah semakin berusia lanjut, aku tidak tahu berapa lama lagi aku akan hidup. Maka, lebih utama untuk aku menumpukan perhatian kepada urusan akhiratku. Satu-satunya jalan untuk mencapai kejayaan akhirat dan kunci kebahagiaan abadi adalah iman. Aku juga ingin berkhidmat untuk manusia dengan ilmuku, kerana aku diwajibkan agamaku untuk berdakwah. Namun berkhidmat untuk masyarakat dengan ilmu ini manfaatnya akan kembali kepada kehidupan masyarakat dan keduniaan, sedangkan aku tidak mampu. Berdakwah dalam zaman yang serba mencabar ini sangat susah dan sukar. Lalu aku tinggalkan bahagian ini dan memfokuskan kepada berkhidmat untuk keimanan, iaitu khidmat yang lebih penting dan lebih selamat. Maka, aku membuka pintu seluas-luasnya untuk manusia mendapat manfaat daripada hakikat al-Qur’an yang aku peroleh dan mendapat faedah daripada ubat maknawi yang aku sendiri pernah merasainya. Semoga Allah menerima khidmat dan dakwah ini dan menjadikannya sebagai penebus dosa dan kesalahanku yang lalu.”
Tiada seorang pun yang berhak untuk membantah khidmat ini sama ada orang Islam atau orang kafir atau orang yang beriman atau ateis kecuali syaitan yang direjam. Hal ini kerana ketiadaan iman itu merupakan sesuatu yang tiada bandingannya. Boleh jadi pada kezaliman, kefasiqan, kesombongan itu rasa lazat kesyaitanan yang malang. Tetapi, ketiadaan iman itu tiada langsung kelazatan, tetapi ia adalah kesakitan dalam kesakitan, kegelapan dalam kegelapan dan azab dalam azab.
94. Page
Oleh itu meninggalkan usaha ke arah hidup yang kekal abadi dan tidak terbatas serta meninggalkan khidmat cahaya iman yang suci kemudian terjun ke dalam permainan politik yang berisiko tanpa keperluan pada usia yang sangat lanjut, bukankah ini bercanggah dengan akal dan hikmah? Alangkah bodohnya orang sepertiku yang sudah tiada kaitan dengan dunia dan hidup seorang diri, yang terpaksa mencari jalan bagaimana menebus dosa lampaunya, orang gila pun akan memahami keadaanku ini.
Jika dikatakan, mengapa khidmat al-Qur’an dan iman menghalangmu daripada politik? Aku menjawab: Hakikat al-Qur’an dan iman setiap satunya adalah permata. Jika aku sibuk dengan politik, maka orang awam akan terfikir yang mereka boleh ditipu dengan permata di tanganku ini: Bukankah permata-permata ini dakyah politik untuk meraih sokongan pengikut? Boleh jadi mereka melihat permata-permata ini hanyalah kepingan-kepingan kaca yang tidak bernilai, maka aku ketika itu telah menzalimi permata-permata tersebut danaku merendahkan nilainya ketika aku berkecimpung dalam bidang politik.
Jadi wahai ahli dunia, mengapa kamu tidak habis-habis asyik menggangguku dan tidak membiarkanku dengan urusanku?
Jika dikatakan, ada beberapa shaykh sufi yang masuk campur dalam urusan kami, bahkan manusia kadang-kadang memanggilmu dengan gelaran shaykh. Aku menjawab:
Aku bukan shaykh sufi, aku seorang alim agama. Buktinya, aku sudah berada di sini sejak empat tahun lepas, jika aku mengajar tarekat, bolehlah kamu nak mempertikaikan aku. Malah, aku mengatakan kepada setiap yang menziarahiku, “Iman dan Islam dahulu, ini bukan zamannya untuk bertarekat.”
95. Page
Jika dikatakan, orang ramai memanggilmu Sa‘īd Si Kurdi, kemungkinan besar engkau membawa fahaman asabiyyah dan perkauman dan hal ini tidak mengejutkan kami.
Aku menjawab: Tuan-tuan, buku-buku Sa‘īd yang lama dan baru mudah diperoleh, aku bersaksi di hadapan kamu bahawa aku memandang perkauman dan asabiyyah yang negatif ini sejak dahulu lagi berdasarkan hikmah Nabawi yang tegas “Islam menghapuskan perkauman jahiliyyah” kerana perkauman adalah racun yang membunuh dan penyakit Eropah. Eropah telah mencampakkan penyakit ini dalam kalangan orang Islam, sehingga mereka dapat memecah-belah dan memporak-perandakan orang Islam. Semua murid yang pernah berdamping denganku tahu bahawa sejak dahulu lagi aku sentiasa berusaha untuk mengubati penyakit Eropah ini.
Jika begitu, wahai tuan-tuan, mengapa masih lagi ingin menekan dan mempertikaikan setiap urusanku?
Apa justifikasi untuk menekan aku dalam setiap urusan dunia. Ini seolah-olah seperti membebankan dan menghukum seorang tentera di barat hanya kerana dia itu seorang tentera, disebabkan oleh kesalahan seorang tentera lain di timur. Ataupun seperti memenjarakan seorang pekedai runcit di Baghdad hanya kerana dia itu seorang pekedai runcit, disebabkan oleh kesalahan seorang pekedai runcit lain di Istanbul? Siapa yang dapat menerima perkara ini? Untuk apa semua ini?
96. Page
Isu ketiga: Beberapa orang yang rapat denganku sering tertanya-tanya, bagaimana aku mampu bersabar dengan segala musibah yang menimpaku dan mereka kagum dengan keadaan aku berdiam diri dengan musibah ini. Sedangkan aku dahulunya seorang yang sangat pemarah, seorang yang sangat menjaga nama dan darjat serta tidak mampu menahan sedikit pun penghinaan?
Jawapan: Dengarlah kepada dua kisah pendek ini, moga kamu temui jawapan persoalan kamu itu dalam dua kisah ini.
Kisah pertama: Dua tahun yang lalu, ada seorang pegawai yang menghina, mengutuk dan memakiku tanpa pengetahuanku, kemudian ada orang yang memberitahuku tentang hal itu. Selama hampir satu jam aku dengan perasaan Sa‘īd yang dulu, berasa sakit hati dengan kata-kata pegawai itu. Tetapi Allah kemudiannya mencampakkan dalam hatiku suatu hakikat yang menghilangkan kesempitan jiwaku dan mendorong aku memaafkan pegawai tersebut, iaitu:
Aku bermonolog, jika dia menghinaku dengan menyebutkan kekurangan dan kesalahanku, maka aku seharusnya berterima kasih kepadanya; kerana dia telah memberitahuku tentang keaibanku. Jika dia berkata benar, maka dia telah membantuku untuk mendidik jiwaku agar aku dapat menyucikan diriku daripada keaiban itu dan menyelamatkanku daripada kesombongan. Jika dia berbohong pula, dia telah membantuku untuk menyelamatkan diriku daripada kemasyhuranku yang palsu, iaitu asas bagi sifat riyak’.
97. Page
Benar, aku belum benar-benar dapat memperbaiki diriku, kerana aku tidak mendidiknya dan menyucikannya. Jadi, jika ada orang yang memberitahuku kewujudan seekor kala jengking di leherku atau di atas dadaku, maka aku patut berterima kasih kepadanya, bukannya terasa hati dengannya.
Jika pegawai itu menghina sifatku yang mengabdikan diri kepada iman dan al-Qur’an, maka aku tidak bertanggung jawab terhadap penghinaannya itu. Aku serahkan urusannya kepada Allah, Tuhan yang Maha Mulia lagi Maha Bijaksana, pemilik al-Qur’an yang telah melantikku menjadi abdi-Nya. Jika penghinaannya itu bertujuan untuk memaki, mencaci, dan mengejiku, maka aku juga tidak bertanggungjawab terhadap penghinaannya itu.
Di sini, aku orang buangan, tawanan, orang asing dan tanganku pula terikat. Mempertahankan kehormatan diriku bukanlah tanggung jawabku, sebaliknya ia tanggung jawab ketua kampung yang memerhatikanku, kemudian tanggungjawab penghulu, kemudiannya pegawai daerah ini, kerana aku bertamu di sini. Menghina tawanan bererti menghina ketiga-tiga penguasa tadi, kerana merekalah yang bertanggungjawab menjaga kehormatan tawanan tersebut.
Lalu, hatiku pun kembali tenang. Aku membaca:
"وَاُفَوِّضُ اَمْر۪ٓي اِلَي اللّٰهِ اِنَّ اللّٰهَ بَص۪يرٌ بِالْعِبَادِ"
“dan aku sentiasa menyerahkan urusanku bulat-bulat kepada Allah (untuk memeliharaku); sesungguhnya Allah Maha Melihat akan keadaan hamba-hambaNya”.
(surah al-Ghafir: ayat 44)
Aku menganggap hal ini tidak pernah terjadi dan melupakannya. Namun selepas beberapa ketika, aku sedar yang al-Qur’an tidak mengampunkan perbuatan pegawai itu.
98. Page
Kisah kedua: Aku terdengar suatu peristiwa yang terjadi pada tahun ini. Tidak berapa lama selepas kejadian itu, aku dilayan seolah-olah aku mempunyai hubung kait dengan peristiwa itu, sedangkan aku terdengar berita tentangnya secara rambang sahaja. Aku tidak pernah berutus surat dengan sesiapa pun kecuali Aku jarang menulis surat kepada sahabatku tentang persoalan iman. Bahkan, hanya sekali sahaja aku pernah menulis surat kepada adikku sepanjang empat tahun. Aku sendiri menahan diriku daripada berkomunikasi dan bercampur gaul dengan orang lain. Tambahan pula, aku dihalang oleh ahli dunia untuk berbuat demikian. Seminggu sekali sahaja aku dibenarkan untuk berjumpa dengan seorang dua sahabatku. Aku juga hanya dibenarkan untuk menerima seorang dua tetamu yang berkunjung ke kampung itu dalam seminit dua sahaja untuk bertanyakan permasalahan akhirat. Walaupun aku ini orang asing dalam buangan, aku dihalang daripada semua perkara, termasuklah tidak dibenarkan untuk bertemu dengan setiap orang di kampung ini, maka aku terhalang daripada bekerja mencari makan. Sebelum empat tahun yang lalu, aku pernah memperbaiki sebuah masjid yang rosak. Oleh kerana aku memegang sijil imam dan dakwah, maka aku dilantik untuk menjadi imam di masjid itu selama empat tahun, -semoga Allah menerima amalan ini-. Namun, aku dihalang daripada pergi ke masjid itu pada bulan Ramadan yang lepas. Kadang-kala aku terpaksa solat seorang diri dan tidak dapat pahala berjemaah iaitu dua puluh lima pahala dan aku juga tidak mendapat fadhilat lainnya. Aku telah bersabar dalam dua peristiwa yang pernah berlaku dalam hidupku dan aku telah bertahan dalam menanggung penghinaan pegawai itu dua tahun yang lalu, maka dengan izin Allah, aku akan terus bersabar dan bertahan sampai bila-bila
99. Page
Aku juga terfikir, jika segala kesakitan, kesempitan dan penderitaan yang dikenakan ke atasku oleh ahli dunia ini menimpaku ini kerana diriku sendiri yang serba kekurangan, maka aku maafkan mereka. Boleh jadi, jiwaku menjadi semakin baik dengan kesakitan ini. Aku sudah melihat segala kesenangan dan kemewahan dunia, maka apabila aku ternampak musibah dunia, maka aku seharusnya bersyukur kepada Allah.
Jika ahli dunia menyakitiku kerana khidmatku kepada iman dan Al-Qur’an, maka untuk membelaku daripada penghinaan itu bukanlah aku. Aku serahkan sepenuhnya hal itu kepada Allah Yang Maha Kuasa dan Maha Perkasa. Jika penghinaan dan kesempitan itu bertujuan untuk mengalihkan pandangan manusia daripadaku supaya hilang kemasyhuran palsu yang tidak berasas yang membawa kepada riyak dan merosakkan keikhlasan, maka aku berdoa kepada Allah supaya merahmati mereka. Hal ini kerana aku berpendapat, menarik perhatian manusia dan mencari kemasyhuran merosakkan orang sepertiku. Setiap orang yang rapat denganku pasti tahu bahawa aku tidak meminta untuk dipuji, malah aku benci pujian seperti ini. Bahkan aku pernah memarahi sahabatku lebih daripada lima puluh kali kerana berlebihan dalam memujiku.
Jika tujuan mereka berbuat begini untuk menjatuhkan maruahku dan memburukkan aku di hadapan mata manusia, terutama berkaitan dengan dakwahku dalam menyebarkan hakikat iman dan al-Qur’an, ketahuilah bahawa percubaan mereka itu hanya sia-sia sahaja. Cahaya bintang al-Qur’an tidak akan dapat dilindungi. Sesiapa yang menutup matanya tidak akan dapat mengubah siangnya menjadi malam.
100. Page
Isu keempat: Jawapan kepada beberapa persoalan yang mengelirukan orang ramai.
Soalan pertama: Ahli dunia bertanya kepadaku, bagaimana engkau menyara hidup? Bagaimana kamu menyara hidup tanpa bekerja? Kami tak suka orang yang duduk bermalas-malasan dan orang yang suka bergantung kepada orang lain di negara kami.
Jawapan: Aku hidup dengan berjimat-cermat dan berkat. Aku tidak menerima pemberian sesiapa pun kecuali daripada Allah yang Maha Memberi Rezeki. Aku juga bertekad tidak akan menerima pemberian orang sampai bila-bila.
Setiap orang yang menyara hidupnya dengan seratus piaster atau empat puluh piaster sehari pasti tidak menerima pemberian orang. Aku tidak mahu menghuraikan permasalahan ini kerana aku tidak mahu menerangkannya kerana bimbang diriku terkena tipu daya dan berasa ego. Namun, oleh kerana ahli dunia bertanyakan soalan yang mengelirukan orang, maka ini jawapanku:
Antara prinsipku sepanjang hayatku sejak kecil adalah tidak menerima harta orang hatta zakat sekalipun, malah aku juga tidak menerima gaji -kecuali jika keadaan benar-benar memaksaku menerima gaji beberapa tahun semasa berkhidmat di Darul Hikmah Al-Islamiyyah setelah dipaksa oleh rakan-rakanku, itupun aku pulangkan semula semua gajiku itu kepada rakyat dari sudut maknawi. Aku juga pernah tidak terhutang budi dengan sesiapa pun demi mencari sesuap nasi. Penduduk negeriku dan sesiapa sahaja yang mengenaliku di negeri lain pun mengetahui perkara ini. Malah, banyak kali sahabat-sahabatku cuba untuk memujukku menerima hadiah mereka sepanjang aku menjalani hukuman buang negeri selama lima tahun di sini, tetapi kesemuanya aku tolak.
101. Page
Jika ditanya: Jadi, bagaimana aku menyara hidup?
Jawabku: Aku menyara hidup dengan keberkatan dan pemberian Tuhan. Walaupun diriku ini layak dengan segala penghinaan dan kutukan, tetapi aku sebagai seorang yang berkhidmat untuk al-Qur’an al-Karim mendapat karamahnya apabila aku menerima keberkatan iaitu pemberian Tuhan dalam rezeki. Aku sebutkan nikmat Allah yang telah dikurniakan-Nya kepadaku secara rahsia firman Allah وَ اَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ “Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.” (Surah al-Dhuha: ayat 11), maka aku ingin menerangkan beberapa contoh nikmat ini sebagai tanda kesyukuran maknawi. Walaupun ini kesyukuran maknawi, namun aku bimbang jika aku berasa sombong dan tertipu dengan diri sendiri, lalu keberkatan itu terhenti. Hal ini kerana menzahirkan keberkatan yang terselindung dengan kesombongan akan menghentikan keberkatan itu sendiri. Namun, aku ketika ini tiada pilihan lain melainkan terpaksa aku menyebutkannya:
Pertama: Dalam beberapa bulan ini, aku mempunyai enam buah tin gandum, menyamai tiga puluh enam buku roti, dan keenam-enam tin ini masih ada sampai sekarang, masih tidak habis dan aku tidak tahu sampai bila bekalan ini mencukupi buatku.
Kedua: Sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini, aku tidak mendapat makanan daripada luar melainkan daripada dua buah rumah, itu pun kesemua makanan yang dikirimkan itu menyebabkan aku jatuh sakit. Kemudiannya aku mendapat tahu bahawa aku dilarang daripada memakan makanan orang lain. Maka, cukuplah bagiku sepanjang Ramadan yang berbaki, tiga buku roti dan satu ounce beras seperti mana yang dikhabarkan oleh sahabatku yang ikhlas, tuan rumah yang diberkati, Abdullah Jawish yang menguruskan segala urusanku. Beras itu pun masih mencukupi untuk lima belas hari selepas bulan Ramadan.
102. Page
Ketiga: Selama tiga bulan, bekalan beberapa ounce lemak buatku dan beberapa orang tetamuku di kawasan pergunungan ini mencukupi walaupun kami memakan roti dan lemak setiap hari. Malah ada suatu ketika, roti untukku dan seorang tetamuku yang bernama Sulaiman hampir-hampir akan habis, hari itu hari Rabu seingat aku, lalu aku berkata kepadanya: “Pergi ambil sebuku roti.” Lalu dia menjawab, “Tiada sesiapa pun di sekitar kita ini dalam lingkungan dua jam perjalanan. Dari mana aku nak mendapatkan roti? Aku pula teringin sangat untuk berdoa kepada Allah bersama-sama kamu pada malam Jumaat di kawasan pergunungan ini.” Aku membalas, “Kita bertawakkal kepada Allah” Kami kemudiannya memanjat gunung itu dengan berjalan kaki tanpa arah tuju tertentu untuk sampai ke puncak. Ketika itu, dalam teko ada sedikit air, sedikit gula dan teh. Aku memberitahunya, “Bancuhkan teh, saudaraku.” Dia pun mula membancuh teh. Aku duduk di bawah pokok-pokok padi yang menghadap ke arah sebuah lembah yang dalam. Aku kemudiannya berfikir tentang sekeping roti lama yang ada pada kami, yang hanya mencukupi untuk kami berdua pada petang ini sahaja. Apa yang kami nak makan dua hari lagi? Tiba-tiba, aku terpandang –seolah-olah ada yang mengalihkan pandanganku ke situ – sebuku roti yang besar berada di atas pokok tar yang seolah-olah menantikan kami di celah-celah dahannya. Aku pun berkata, “Berita gembira wahai Sulaiman! Allah telah mengurniakan kita dengan rezeki. Lalu kami mengambil roti itu dan kami dapati tiada langsung kesan disentuh oleh burung atau haiwan liar yang lain. Pergunungan itu juga sudah lebih tiga puluh hari tiada sesiapa pun mendakinya. Roti itu pula mencukupi untuk kami selama dua hari penuh. Ketika aku sedang makan, dan roti itu pun sudah hampir habis, tiba-tiba muncul sahabatku yang setia dan ikhlas, Sulaiman mendaki pergunungan itu sambil membawa bekalan roti, menuju ke arahku
103. Page
Keempat: Aku telah membeli kot lama yang aku pakai ini kira-kira empat tahun yang lalu. Keberkatan, penjimatan dan rahmat Tuhanlah yang telah mencukupkan aku. Sejak lima tahun yang lalu juga, aku hanya berpada dengan empat setengah Lira untuk membeli pakaian, kasut dan stokin.
Ada banyak lagi contoh lain seperti ini, kerana keberkatan Tuhan itu pelbagai jenis. Penduduk kampung ini pun banyak mengetahui tentang hal ini. Jangan pula kamu menyangka yang aku sebutkan contoh-contoh ini untuk berbangga diri. Malah, aku terpaksa menyebutkan hal ini, dan jangan pula kamu menganggap yang ini adalah tanda kesolehanku. Tidak! Bahkan ini adalah kerana keberkatan nikmat untuk sahabatku yang ikhlas menziarahiku atau kerana kemuliaan khidmat kepada al-Qur’an, atau manfaat keberkatan berjimat cermat ataupun rezeki empat ekor kucing yang aku ada, yang selalu menyebut, “Ya Rahim, Ya Rahim” iaitu “wahai Tuhan Yang Maha Pemurah, wahai Tuhan Yang Maha Pemurah”. Kesemua perkara ini mendatangkan rezeki dalam bentuk yang berkat dan aku mendapat manfaat daripadanya.
Jika kamu mendengar bunyi kucing mengiau yang amat menyedihkan itu, kamu akan memahami bahawa kucing itu sedang menyebut, “wahai Tuhan Yang Maha Pemurah, wahai Tuhan Yang Maha Pemurah, wahai Tuhan Yang Maha Pemurah”. Kisah kucing ini mengingatkan aku tentang kisah ayam. Aku dahulunya ada seekor ayam. Setiap hari ayam ini akan bertelur sebiji telur pada musim sejuk sebegini sebagai rahmat daripada Allah, seolah-olah ayam ini mesin mengeluarkan telur, kerana ayam itu sangat jarang tidak bertelur. Pada suatu hari, ayam itu bertelur dua biji telur. Aku pun hairan lalu bertanyakan kepada sahabatku, “Bolehkah hal ini terjadi?” Jawabnya, “Boleh jadi ini adalah nikmat Tuhan.” Kemudian ayam itu menetaskan seekor anak ayam pada musim panas. Anak ayam itu pula kemudiannya mula bertelur pada permulaan bulan Ramadan dan hal ini berterusan sehingga empat puluh hari lamanya. Oleh itu, aku dan beberapa orang yang berkhidmat kepada al-Qur’an berasa sangat yakin bahawa ini adalah bukti Maha Pemurahnya Allah, yang telah menciptakan seekor anak ayam pada musim sejuk, kemudiannya apabila si ibu ayam itu sudah tidak lagi mampu bertelur lagi, si anak ayam itu pula mula bertelur untukku setiap hari.
104. Page
Soalan Kedua yang meragukan: Ahli dunia mengatakan, “Bagaimana kami ingin percaya yang kamu tidak akan masuk campur dalam urusan dunia kami? Jika kami membebaskan kamu, pasti kamu akan masuk campur dalam urusan dunia kami. Bagaimana kami ingin tahu yang kamu tidak memperdayakan kami? Boleh jadi kamu berpura-pura meninggalkan dunia dan tidak menerima duit daripada manusia, sedangkan kamu mengambilnya secara rahsia. Bagaimana kami hendak tahu yang ini bukan tipu daya dan muslihat kamu semata-mata”.
Jawapan: Orang ramai mengetahui hal-ehwal aku dalam mahkamah tentera dua puluh tahun yang lalu, malah sebelum waktu pembebasan dan ketika pembelaanku yang dinamakan sijil dua sekolah malapetaka dalam mahkamah tentera ketika itu. Semua ini menunjukkan bahawa aku menjalani kehidupanku tanpa sebarang komplot atau muslihat. Jika aku mempunyai muslihat tertentu, selama lima tahun ini pasti aku sudah pun berusaha untuk berbuat baik, membina hubungan mesra dan mendekatkan diriku dengan kamu; kerana seorang yang licik sentiasa berusaha untuk mengampu dan membodek orang. Dia akan selalu menipu dan berhelah dengan mereka. Sedangkan aku tidak pernah menghina diriku sebegitu walau pun aku sering diserang dan dikecam. Aku berpaling daripada ahli dunia dengan berkata, “Aku bertawakal kepada Allah. Orang yang mengenali akhirat dan mengetahui hakikat dunia pasti tidak akan menyesal, jika dia orang yang berakal. Dia tidak akan menyibukkan dirinya dengan dunia sekali lagi. Seorang yang sudah berusia lima puluh tahun, tinggal berseorangan dan tiada hubungan dengan sesiapa pun pasti tidak akan mengorbankan kehidupan akhiratnya yang kekal abadi semata-mata untuk kehidupan dunia yang hanya berbaki beberapa tahun sahaja lagi. Jika dia mengorbankan juga kehidupan akhiratnya dalam keadaan sebegitu, dia bukanlah seorang yang pengampu dan pembodek, bahkan dia seorang yang gila dan bodoh! Jadi mengapa perlu diambil peduli orang yang gila dan bodoh?!
Tuduhan seterusnya: Aku meninggalkan dunia secara zahirnya sahaja, sedangkan secara tersembunyi, aku sangat tamak akan dunia, maka aku tidak mampu membersihkan nafsuku seperti mana ayat al-Qur’an:
وَمَٓا اُبَرِّئُ نَفْس۪ٓي اِنَّ النَّفْسَ لَاَمَّارَةٌ بِالسُّٓوءِ .
"Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan.” (surah Yusuf: ayat 53)
105. Page
Nafsu manusia sangat inginkan kerosakan. Namun rosaknya kehidupan bahagia yang kekal abadi semata-mata untuk kesenangan sementara pada usia yang pendek, berumur lanjut dalam dunia yang fana’ dan sementara ini, bukanlah sikap seorang yang berakal, bukan juga sifat orang yang sedar dan memahami hakikat sebenarnya. Oleh itu, mahu tidak mahu, aku telah pun menundukkan nafsuku di bawah kawalan akalku.
Soalan ketiga yang mengelirukan: Ahli dunia bertanya, “Adakah engkau menyukai kami?” “Jika engkau menyukai kami, mengapa engkau menentang kami dan tidak bergaul dengan kami?” “Jika engkau tidak menyukai kami, mengapa engkau jadi penentang kami, sedangkan kami pasti akan menghancurkan penentang kami.”
Jawapan: Jika aku menyukai kamu, bahkan jika aku mencintai dunia, mengapa pula aku hendak menarik diri daripada dunia? Aku tak peduli pun dengan kamu dan dunia kamu. Aku juga tidak masuk campur dalam urusan dunia kamu, kerana matlamat aku bukanlah matlamat kamu. Hatiku sudah dipenuhi dengan perkara-perkara lain, tiada lagi ruang untuk memikirkan tentang perkara-perkara keduniaan. Kamu sepatutnya melihat kepada perbuatan, bukannya kepada niat! Jika kamu mahu tenteram, aman dan sejahtera, kamu tidak sepatutnya masuk campur dalam urusan hati! Jika campur tangan secara fizikal tidak berlaku, maka kamu tidak berhak untuk berkata, “Setiap jiwa raga wajiblah mencintai kami! Sedangkan kamu semua tak layak langsung untuk dicintai!
Seperti mana aku ternanti-nantikan menjelangnya musim bunga pada musim sejuk ini tetapi aku tidak mampu untuk menghadirkannya, begitu juga aku ingin memperbaiki keadaan dunia. Aku memohon agar Allah memperbaiki keadaan dunia. Aku inginkan kebaikan ahli dunia, namun aku tidak mampu kerana hal ini di luar kemampuanku. Aku juga tidak mampu mengubah keadaan mereka dengan perbuatan kerana ia tidak terletak di bawah tanggung jawabku dan bukan juga di bawah kekuasaanku.
106. Page
Soalan keempat yang mengelirukan: Ahli dunia mengatakan bahawa, “Kami telah melihat pelbagai jenis kejahatan, maka kami tidak lagi percaya seorang pun. Bagaimana kami mahu percaya yang engkau tidak akan masuk campur dalam urusan kami seperti mana yang engkau mahu jika sekiranya engkau berpeluang untuk mencampuri urusan kami?
Jawapan: Jawapanku sebelum ini sudah memadai. Walaupun aku tidak masuk campur dalam urusan kamu, malah aku berada di bandarku bersama anak muridku, kaum keluargaku dan mereka yang mengikuti pengajianku pada kala berlakunya peristiwa-peristiwa penting. Orang yang berada di sebuah negeri yang asing, maka dia berkeseorangan, terasing, lemah dan tidak berdaya. Orang itu pula sentiasa memikirkan akhirat dengan segala kekuatannya yang masih tersisa, terputus hubungan dengan manusia, malah tiada sahabat kecuali mereka yang sama-sama ingin mencari akhirat dalam kalangan ahli akhirat. Dia melihat orang ramai dengan pandangan orang asing bagi dirinya, bahkan manusia juga melihatnya dengan pandangan orang asing bagi mereka. Jika orang itu masuk campur ke dalam dunia kamu yang tidak berfaedah dan berbahaya itu, maka jelaslah orang itu sungguh gila!
Isu kelima, berkaitan dengan lima permasalahan kecil.
Permasalahan pertama: Ahli dunia bertanya, “Mengapa engkau tidak mengikut cara hidup, pakaian dan tamadun kami?” Sahlah engkau ini menentang kami!
107. Page
Aku menjawab: Tuan, atas dasar apa kamu meminta saya mengikuti gaya hidup tamadun kamu, sedangkan kamu semua telah memaksaku tinggal di sebuah kampung terpencil selama lima tahun? Kamu halang aku daripada berutus surat dan bercampur gaul dengan manusia, ini bererti kamu sudah membuang hak-hak sivilku. Sedangkan kamu biarkan orang-orang lain yang dibuang negeri untuk tinggal bersama sahabat dan kerabatnya di bandar. Ya, memang kamu ada memberikan aku dokumen perjalanan kemudiannya, tetapi kamu halang aku daripada menemui sesiapa kecuali seorang dua. Kamu sudah tidak menganggap aku sebagai sebahagian daripada rakyat kamu, kemudian kamu inginkan aku mengamalkan gaya hidup kamu? Kamu telah menjadikan dunia ini bagaikan penjara bagiku. Orang yang dipenjara tidak terikat lagi dengan gaya hidup sebegini. Apabila kamu tutup pintu dunia bagiku, aku mengetuk pintu akhirat, lalu rahmat Tuhan terbuka luas untukku. Bagaimana kamu ingin menyuruh orang yang sudah berdiri di hadapan pintu akhirat untuk mengamalkan gaya hidup dunia dan adatnya yang berserabut? Sebaik sahaja kamu lepaskan aku, kamu kembalikan aku ke negeriku dan kamu beri semula hak sivilku, maka ketika itu baru kamu layak memintaku untuk mengikuti gaya hidupmu.
Permasalahan kedua, ahli dunia berkata, “Kami sudah ada institusi agama di bawah seliaan kerajaan yang mengajarkan hukum-hakam agama Islam, maka apa kelayakan kamu mahu menyebarkan ajaran agama, sedangkan kamu dihukum buang negeri. Jadi, kamu tidak layak untuk masuk campur dalam urusan agama di sini!
Jawapan: Pertama, kebenaran dan hakikat tak akan dapat diletakkan garis sempadan. Bagaimana mungkin kita mengehadkan iman dan al-Qur’an dan meletakkan garis sempadan bagi kedua-duanya. Kamu boleh meletakkan tatacara hidup dan undang-undang, namun urusan hakikat keimanan dan asas al-Qur’an tidak boleh diurus tadbir sebagaimana urusan dunia yang lain secara rasmi dan bergaji. Malah, rahsia dan arus ini adalah kurniaan Ilahi yang tidak akan dapat dikecapi melainkan dengan niat yang ikhlas, meninggalkan dunia dan kepentingan peribadi. Institusi keagamaan kamu itu juga telah menerima dan melantikku menjadi penasihat agama di bandarku. Aku telah pun menerima jawatan tersebut, namun aku tidak mengambil gajinya. Aku memiliki sijil tauliah mengajar, dengan sijil pentauliahan pengajar dan imam ini aku boleh mengajar di mana sahaja aku mahu. Sedangkan hukuman buang negeri ini sungguh zalim. Oleh sebab orang yang dihukum dengan hukuman buang negeri pula biasanya akan dikembalikan ke negeri masing-masing, maka sijil pentauliahan aku masih sah sehingga ke hari ini.
108. Page
Kedua, sebenarnya hakikat keimanan yang aku tulis itu aku tujukan kepada diriku sendiri dan aku tidak menyeru semua manusia kepadanya. Tetapi jiwa-jiwa yang memerlukan dan hati-hati yang terluka mencari dan menemui hakikat tersebut. Aku pernah mencetak risalah tentang Mahsyar/ untuk menyara hidupku sebelum munculnya tulisan baru, tetapi gabenor lama yang zalim itu mencari sesiapa yang boleh meneliti risalah ini dan mengkritiknya. Apabila dia gagal menemuinya, dia tidak mampu mengubahnya.
Ketiga, ada antara sahabatku yang berlepas diri daripadaku secara zahir, malah ada yang mengkritikku agar mereka nampak baik di hadapan ahli dunia. Hal ini kerana ahli dunia melihatku dengan pandangan syak dan ragu-ragu. Namun, ahli dunia yang licik ini beranggapan yang perbuatan berlepas diri dan menjauhkan diri sahabat-sahabatku itu sebagai riak, tiada jati diri, malah tidak ikhlas terhadap mereka. Lalu, ahli dunia mula memandang mereka dengan pandangan yang buruk.
Jawapan: Wahai saudara akhiratku, janganlah berlepas diri daripadaku kerana aku ini khadam al-Qur’an. Jangan risau, kamu tidak akan ditimpa apa-apa bahaya dengan izin Tuhan. Jika sekalipun kamu ditimpa apa-apa musibah, kamu tidak akan selamat daripadanya dengan berlepas diri daripadaku. Malah, kamu berhak menerima musibah yang lebih teruk dan bala yang lebih dahsyat. Apa yang sudah terjadi sampai kamu boleh terjatuh dalam ilusi ini?
Keempat, sepanjang tempoh aku dibuang negeri ini, aku perhatikan golongan manusia yang takjub dengan diri mereka sendiri dan memandangku dengan pandangan seorang pesaing dan tidak neutral, seolah-olah aku mempunyai hubungan dengan aliran keduniaan seperti mereka.
109. Page
Tuan, saya berada dalam aliran keimanan dan sedang menentang aliran ateisme. Saya tiada hubung kait langsung dengan aliran-aliran lain. Mereka ini yang bekerja makan gaji, mungkin menjustifikasikan perbuatan mereka pada tahap tertentu. Namun, dengan mengambil pendirian seorang pesaing, bias, menentangku dan menyakitkan aku, ini adalah suatu kesilapan besar. Hal ini kerana seperti mana yang pernah kami sebutkan sebelum ini, aku tidak mempunyai sebarang hubung kait dengan politik keduniaan. Aku juga telah mewakafkan seluruh masaku untuk hakikat keimanan dan al-Qur'an. Maka ketahuilah sesiapa yang menyakitiku, menentangku dan ingin menyaingiku sebenarnya mereka menentang iman atas nama ateisme.
Kelima, oleh sebab dunia ini sementara; umur manusia pendek; tugasan penting sangat banyak; kehidupan abadi dihitung daripada amalan di dunia ini; dunia ini tidak beraja dan bertuan, malah ditadbir oleh Tuhan Yang Maha Bijaksana dan Maha Mulia; kebaikan dan kejahatan pasti ada balasannya; manusia pula tidak akan ditugaskan dengan tugasan yang di luar kemampuan mereka berdasarkan rahsia firman Allah: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya”. Oleh kerana jalan yang selamat diutamakan atas jalan yang berbahaya; sahabat dan pangkat di dunia hanya setakat kubur sahaja; maka tidak syak lagi manusia yang paling bahagia adalah mereka yang tidak melupakan akhiratnya kerana dunianya, tidak mengorbankan akhiratnya kerana dunianya, tidak merosakkan kehidupan akhiratnya yang kekal abadi kerana kehidupan dunianya, tidak membazirkan masanya pada perkara yang tidak penting baginya. Malah dia melihat dirinya sebagai seorang tetamu yang mengikut arahan tuan rumah, lalu dia membuka pintu kubur dengan aman dan dia memasuki kebahagiaan kekal abadi dengan selamat.
Hanya Allah yang Maha Kekal yang kekal abadi.
110. Page
Lampiran Surat Ke-16
Dengan nama Allah
“dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya”
Ahli dunia membayangkan bahawa seorang lelaki tua dan terasing seperti aku ini mempunyai kekuatan beribu-ribu lelaki, maka mereka menyekat pergerakan aku dengan sekatan yang banyak dan mereka menghalang aku daripada menghabiskan beberapa malam di “Badrah”, iaitu salah sebuah kawasan perumahan di “Barla” salah sebuah bukit di sana, malah mereka tidak membenarkan aku tinggal di kawasan bukit di sana pun, dengan alasan: Sa‘id ini mempunyai kekuatan lima puluh ribu tentera, oleh sebab itu kami tidak membebaskannya.
Aku menjawab: Wahai ahli dunia yang jahat, mengapa kamu semua tidak mengetahui hal-ehwal dunia kamu sedangkan kamu sangat bekerja keras semata-mata untuk dunia dan mentadbir dunia bagaikan orang gila? Jika kamu takut dengan diri aku, tidak perlu lima puluh ribu tentera, seorang tentera sahaja sudah cukup untuk melaksanakan kerja lima puluh kali ganda kerja yang aku laksanakan. Dia boleh sahaja berdiri di depan pintu dan mengatakan kepada aku: Jangan keluar!
Namun jika kamu takut dengan pegangan aku sebagai penyeru kepada al-Qur’an dan kepada kekuatan iman maknawi, maka ketahuilah bahawa kamu sudah tersilap. Berdasarkan kekuatan pegangan aku ini, aku mempunyai kekuatan lima puluh juta tentera dan bukannya lima puluh ribu! Hal ini kerana aku sudah mencabar seluruh Eropah dan para ateisnya dengan kekuatan al-Qur’an al-Karim. Aku juga sudah pun menghancurkan kekebalan kubu-kubu mereka yang dinamakan sebagai “ilmu moden dan semula jadi” dengan cahaya iman yang aku sebarkan. Malah, aku juga telah menjatuhkan tokoh-tokoh falsafah yang terbesar yang lebih hina daripada kedudukan haiwan. Jika seluruh Eropah dan golongan ateis bersatu sekali pun, mereka tidak akan dapat mematahkan aku walaupun dalam satu isu pegangan aku dengan izin dan pedoman Allah, apatah lagi untuk mengalahkan aku!
111. Page
Jadi, aku tidak campur tangan dalam urusan dunia kamu, dan kamu juga jangan masuk campur dalam urusan akhirat aku, jika kamu berkeras juga, pasti usaha kamu itu sia-sia belaka.
Takdir Allah tidak akan goyah dengan kekerasan…Lilin yang dinyalakan Tuhan tidak akan dapat dipadamkan dengan hembusan.
Ahli dunia sudah terpedaya dengan ilusi tentang aku, seolah-olah mereka takut kepada aku. Mereka membayangkan pelbagai perkara yang tidak wujud pun pada diri aku. Jika sekali pun mereka terjumpa perkara-perkara itu, ia tidak menjadi kecacatan politik dan tidak menjadi hujah yang menyokong tuduhan-tuduhan seperti: aku ini seorang syeikh, besar dan agung, berketurunan mulia, daripada keluarga yang ternama, berpengaruh besar, ramai pengikut, aku berjumpa dengan penduduk negeri aku, aku mempunyai hubungan yang kuat dengan hal-ehwal dunia, aku terlibat dengan politik, malah aku ini menentang kerajaan! Lalu mereka menuduh aku dengan bermacam-macam tuduhan dan menyekat aku dalam segenap perkara sedangkan mereka asyik menyebut tentang pengampunan kepada banduan atau orang di luar penjara atau mereka yang tidak layak untuk mendapat pengampunan pada pandangan mereka.
Seorang lelaki yang korup pernah mengucapkan kata-kata yang indah:
Jika kezaliman itu mempunyai meriam, mortar dan kubu, maka kebenaran mempunyai kekuatan unggul yang tidak akan berundur dan wajahnya yang tidak akan berpaling.
Aku katakan, jika ahli dunia mempunyai pengaruh, kekuasaan dan kekuatan, maka ahli al-Qur’an pula, mempunyai petunjuk yang tidak akan tersesat, ucapan yang tidak akan dapat disenyapkan, hati yang tidak akan tersilap dan cahaya yang tidak akan terpadam
112. Page
Pegawai tentera yang mengawasi aku dan rakan-rakan aku sering bertanya soalan ini berulang-ulang kali: Mengapa engkau tidak meminta permit keizinan untuk pulang ke negeri engkau dan mengapa engkau tidak menulis surat permohonan?
Aku menjawab: Ada enam sebab mengapa aku tidak berbuat demikian, malah aku tidak mampu berbuat demikian.
Pertama, Aku tidak mahu berurusan/ dengan dunia ahli dunia, sehinggakan aku terpaksa tunduk dan meminta izin mereka, sedangkan aku tunduk hanya kepada takdir Ilahi,/ di mana aku ini terlalu bergantung harap kepada Allah, bukan selain-Nya.
Kedua, Aku yakin bahawa dunia ini hanyalah tempat persinggahan yang tidak kekal, maka ia bukanlah negeri aku yang hakiki, semua tempat sama sahaja bagi aku. Oleh sebab aku takkan kekal abadi di negeriku, maka apa gunanya aku berusaha untuk kembali ke kampung halaman aku? Oleh sebab setiap tempat adalah tempat persinggahan sahaja, maka setiap orang dan tempat adalah sahabat kamu jika rahmat Tuhan, empunya dunia ini mahu, begitu juga setiap tempat menjadi sempit bagi kamu dan setiap orang menjadi musuh kamu jika rahmat-Nya tidak mahu.
113. Page
Ketiga, permohonan dan urusan ini mengikut undang-undang, sedangkan selama enam tahun mereka tidak melayan aku menurut undang-undang, malah mengikut hawa nafsu sahaja. Mereka juga tidak melayan aku sebagaimana orang buangan yang lain, mereka melayan aku seolah-olah aku sudah dicabut hak-hak sivilku, malah seolah-olah aku sudah tercabut hak keduniaan! Maka tiada maknanya bagi aku untuk berurusan dengan mereka yang tidak melayan aku menurut lunas undang-undang!!
Keempat, penghulu Barla pernah memohon daripada pihak berkuasa bagi pihak aku agar aku dapat menetap di perkampungan Badrah, salah sebuah kawasan kejiranan di Barla beberapa hari supaya dapat bertukar-tukar angin, namun tidak dilayan. Mengapa perlu berurusan dengan mereka yang menolak hak-hak aku yang sangat asas? Jika aku berurusan juga dengan mereka, pastilah hal ini suatu penghinaan bagi aku.
Kelima, seruan kebenaran menentang mereka yang menyeru kepada kezaliman. Jika aku berurusan dengan mereka, maka kau sudah menzalimi kebenaran. Aku tidak mahu melakukan kezaliman ini penghinaan kepada kebenaran itu. Sekian.
Keenam, penderitaan dan kesengsaraan yang dikenakan oleh ahli dunia kepada aku bukanlah faktor politik. Mereka tahu yang aku tidak masuk campur dalam urusan politik, malah aku mengelakkan diri daripada politik. Mereka sebenarnya mengazab aku -samada sengaja ataupun tidak- kerana aku beriltizam dengan agama dan bukannya atas dasar ateism. Jika aku berurusan dengan mereka, ini bererti aku menyesal dengan agama dan aku membenarkan jalan hidup ateism. Jika aku berurusan dengan mereka, maka takdir Ilahi akan menghukum aku dengan kezaliman mereka. Hal ini kerana mereka menyempitkan urusan aku kerana aku beriltizam dan berpegang dengan agama. Takdir Ilahi menyempitkan urusan aku kerana perasaan riyak aku terhadap ahli dunia dan kerana kekurangan aku dalam beragama dan kurang ikhlas. Jika aku berurusan dengan ahli dunia, qadar akan mengatakan kepadaku: Wahai si riyak, rasakan azab kerana berurusan dengan ahli dunia. Jika aku tidak berurusan dengan ahli dunia pula, ahli dunia pula akan berkata kepada aku: engkau tidak mengiktiraf kami, maka layaklah bagi engkau kesengsaraan dan penderitaan ini.
114. Page
Ketujuh, seperti mana sedia maklum, para pegawai bertanggung jawab untuk menghalang kemudaratan sesiapa sahaja yang memudaratkan masyarakat dan membantu anggota masyarakat. Ketika aku sedang mensyarahkan satu poin yang sangat bagus tentang rasa keimanan yang halus bagi kalimah “Tiada Tuhan melainkan Allah” kepada tetamu aku, seorang lelaki yang sudah lanjut usia yang berada berhampiran pintu kubur, datang pegawai yang memantau aku seolah-olah ingin menangkap aku atas kesalahan jenayah, sedangkan pada kebiasaannya, dia tidak pernah datang menjenguk aku. Pegawai itu pun menghalau lelaki tua itu yang sedang mendengar pengajaran aku dengan penuh keikhlasan dan menaikkan kemarahan aku. Sedangkan pada masa yang sama, ada beberapa orang yang langsung tidak dituduh dengan perbuatan mereka. Tetapi pegawai itu memuji dan menghargai mereka ketika mereka melakukan perbuatan keji dan merosakkan kehidupan bermasyarakat dalam kampung tersebut.
Seperti mana sedia maklum, seseorang banduan, walaupun pernah melakukan seratus jenayah sekali pun berhak menemui pegawai yang memantaunya sama ada pegawai polis atau askar biasa, tetapi pegawai polis yang memantau aku dan dua orang pegawai tinggi kerajaan itu sering kali melintasi penjara aku namun tidak pernah menegur aku, apatah lagi bertanyakan keadaan aku! Pada mulanya aku menyangka yang mereka tidak mahu mendekati aku kerana permusuhan mereka dengan aku, rupa-rupanya tuduhan-tuduhan palsu itu telah menghasut mereka, seolah-olah aku akan menelan mereka jika bertegur sapa dengan aku.
115. Page
Oleh itu, berurusan dengan kerajaan yang mempunyai pegawai seperti mereka ini tidak masuk akal langsung! Malah berurusan dengan mereka adalah suatu penghinaan besar!! Jika Sa‘id yang lama itu masih ada, pasti dia akan mendendangkan syair ‘Antarah ini:
“Air kehidupan dengan sedikit penghinaan itu bagaikan neraka,
Neraka dengan penuh kemuliaan itulah sebaik-baik tempat aku”
Tetapi tiada lagi Sa‘id yang lama, maka Sa‘id yang baru akan berkata: “Tiada gunanya berbicara dengan ahli dunia, biarkan dunia mereka jatuh ke atas mereka, biarlah mereka berbuat apa sahaja yang mereka mahu, nantikan sahaja perbicaraan mahkamah besar nanti”, lalu dia akan berdiam diri.
Faktor kelapan mengapa aku tidak mahu berurusan dengan mereka, takdir Ilahi yang adil sedang mengazab aku berdasarkan kaedah: “Akibat menyukai perkara terlarang di sisi syarak adalah permusuhan yang nyata” di sisi tangan-tangan zalim ahli dunia, iaitu orang yang aku cenderung kepada mereka, sedangkan mereka tidak layak pun mendapat kecenderungan aku itu. Aku pernah mengatakan yang aku memang layak diazab dan aku mendiamkan diri. Aku pernah menjadi ketua rejimen askar sukarelawan selama dua tahun semasa Perang Dunia Pertama, aku telah mengorbankan ramai anak murid dan rakan-rakan aku di bawah kepimpinan ketua turus angkatan tentera dan Anwar Pasha, aku pula menjadi tawanan perang. Selepas dibebaskan aku mendedahkan diriku kepada bahaya akibat buku aku bertajuk “al-Khuṭuwāt al-Sitta”[1] apabila aku menghentam pembesar-pembesar British yang menjajah Istanbul dan aku membantu mereka yang menjadikan aku tawanan perang tanpa sebab secara zalim selama tiga tahun, inilah balasan mereka kepada pertolongan aku. Penderaan dan kesusahan yang aku alami sepanjang tiga tahun sebagai tawanan perang di Rusia, ‘kawan-kawan seperjuangan’ di sini mengazab aku dalam masa tiga bulan sahaja. Pihak Rusia tidak menghalang aku daripada mengajar walaupun mereka mengetahui bahawa aku ini ketua pasukan tentera sukarelawan Kurdistan dan orang zalim yang menyembelih bangsa Kazakh dan tawanan perang. Aku dapat mengajar kebanyakan sahabat aku, pegawai-pegawai tentera yang menjadi tawanan perang yang mana bilangan mereka mencecah 90 puluh orang. Suatu hari, ketika aku sedang mengajar, datang seorang komander Rusia dan mendengar pengajaran aku. Komander itu menyangka yang kelas itu adalah syarahan politik kerana beliau tidak mampu berbahasa Turki.
116. Page
Beliau menghalang aku daripada mengajar dalam kelas berikutnya, tetapi kemudiannya beliau membenarkan aku mengajar semula. Malah beliau menukarkan sebuah berek tentera menjadi sebuah masjid dan melantik aku menjadi imam dan mereka tidak masuk campur lagi sampai bila-bila. Bahkan, mereka tidak menghalang kami daripada bercampur gaul dengan orang ramai dan tidak menyekat aku daripada menghubungi penduduk negeri aku. Tetapi ‘rakan-rakan’ dan ‘saudara-saudara’ yang senegara dan seagama dengan aku pada zahirnya, yang aku sentiasa berusaha untuk memanfaatkan mereka dengan iman, memenjarakan aku tanpa sebab selama enam tahun, bukannya tiga tahun! Walaupun mereka sedia maklum yang aku sudah pun memutuskan hubungan aku dengan hal ehwal politik dan dunia, mereka halang aku daripada bergaul dengan masyarakat, mereka tidak benarkan aku mengajar, hatta kelas peribadi di bilik penjara aku juga ditegah, sedangkan aku mempunyai permit mengajar! Mereka juga tidak mengizinkan aku berhubung dengan orang ramai, bahkan mereka halang aku daripada menjadi imam di masjid yang aku sendiri baik-pulih dan menjadi imam selama empat tahun, sedangkan aku ada kebenaran menjadi imam!! Tidak cukup dengan itu, sekarang ini mereka menyekat aku daripada menjadi imam kepada tiga orang rakan akhirat aku yang sentiasa solat berjemaah dengan aku kerana ingin menghalang aku daripada memperoleh pahala solat berjemaah. Jika mereka katakan yang aku ini seorang yang soleh, walaupun aku tidak suka perkara tersebut, pegawai bertugas memantau aku marahkan aku kerana sifat hasad dengki. Pegawai itu merencanakan komplot kejam untuk menghancurkan pengaruh aku, membendung kegiatan aku, dan menyakitkan hati aku agar dia mendapat pujian pihak atasannya.
117. Page
Adakah seseorang yang berada dalam situasi aku ini masih lagi ingin memohon pertolongan kepada selain Allah? Jika hakim sudah menjadi pendakwa raya, usahlah membawa kes kepadanya. Katakan kepada aku, dengan nama Tuhanmu, apakah nama yang sesuai untuk situasi ini? Katakanlah apa yang engkau ingin katakan, tetapi aku hanya akan berkata: Ada banyak munafik dalam kalangan kawan-kawan aku, munafik ini lebih berbahaya daripada kafir, mereka mengazab aku dengan azab yang orang Rusia pun tidak buat!
Wahai si keji, apa yang aku sudah buat kepada kamu? Apa yang aku lakukan terhadap kamu? Aku hanya berusaha untuk menyelamatkan iman dan kebahagiaan abadi kamu, namun nampaknya usaha aku ini masih belum ikhlas sepenuhnya, apabila lain yang diusahakan, lain pula hasilnya. Kamu pula sentiasa menyakiti aku pada setiap peluang yang ada. Tidak hairanlah jika kita akan bertemu semula di mahkamah teragung dan aku katakan: “حَسْبُنَا اللّٰهُ وَنِعْمَ الْوَك۪يلُ نِعْمَ الْمَوْلٰي وَنِعْمَ النَّص۪يرُ ” “Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Dia sebaik-baik pelindung (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)”.
Hanya Allah yang Maha Kekal yang kekal abadi.
Surat Ke-17 telah ditulis dengan nama “’Azaa’ al-Tifl” sebagai sambungan kepada Sinaran ke-25, yang dimasukkan ke dalam buku “Sinaran” dan tidak dimasukkan ke dalam buku ini.