NAVIGATION
39. Page
Surat Kelapan
بِاسْمِه۪ وَاِنْ مِنْ شَئٍ اِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِه۪
Dengan nama Allah
“dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya;”
Terdapat banyak hikmah nama “al-Raḥmān dan al-Raḥīm” dalam basmalah “Dengan nama Allah yang (al-Raḥmān) Maha Pemurah, lagi (al-Raḥīm) Maha Mengasihani”. Apatah lagi apabila disebut sebelum memulakan setiap perkara yang diberkati. Aku akan menerangkannya pada masa yang lain. Sekarang aku akan menyebutkan perasaanku terhadapnya.
Saudaraku, aku melihat kedua-dua nama Tuhan “al-Raḥmān dan al-Raḥīm” itu sebagai cahaya agung yang tiada tandingannya. Cahaya itu meliputi kesemua makhluk dan kedua-duanya mampu menunaikan semua keperluan abadi bagi ruh dan menjamin keselamatan ruh daripada musuh-musuhnya. Aku mendapati bahawa sebaik-baik cara untuk mencapai kedua-dua nama Tuhan – dua cahaya agung – ini adalah dengan kefakiran dan kesyukuran serta kelemahan dan kasih sayang, iaitu pengabdian dan kebergantungan penuh kepada Allah Ta‘ala.
40. Page
Oleh itu, timbul di fikiranku suatu tajuk; di mana aku berpandangan – namun ia bertentangan dengan para penyemak, bahkan bertentangan dengan Imam Rabbani, salah seorang guruku – bahawa:
Sesungguhnya perasaan Ya‘qub AS yang begitu mendalam kepada Yusuf AS bukanlah cinta, tetapi kasih sayang. Hal ini kerana kasih sayang lebih mendalam, lebih mulia, lebih tinggi dan lebih suci berbanding cinta, sesuai dengan martabat kenabian. Cinta terhadap makhluk walau setinggi dan sedalam mana sekali pun tidak layak bagi martabat kenabian. Maka perasaan Ya‘qub terhadap anaknya Yusuf AS sepertimana yang digambarkan oleh al-Qur’an sebagai mukjizat yang jelas dan terang adalah wasilah untuk mencapai nama Allah “al-Raḥīm”, iaitulah darjat dan martabat yang tinggi bagi kasih sayang.
Manakala cinta adalah wasilah untuk mencapai nama Allah “al-Wadūd” seperti mana halnya cinta Zulaikha terhadap Yusuf AS.
41. Page
Maka jelaslah kasih sayang lebih tinggi dan mulia berbanding cinta seperti mana kasih sayang Ya‘qub AS berbanding cinta Zulaikha sebagaimana diterangkan dalam al-Qur’an.
Oleh sebab guru, al-Shaykh al-Rabbani berpandangan cinta sementara tidak layak bagi martabat kenabian pada tahap tertentu, maka beliau berkata:
“Sesungguhnya kelebihan Yusuf AS adalah kelebihan akhirat, maka cinta terhadapnya bukanlah cinta sementara yang lemah.”
Aku berkata:
“Wahai guruku yang mulia, ini adalah takwil yang agak membebankan. Hakikatnya ialah: perasaan ini bukanlah cinta sebaliknya kasih sayang yang jauh lebih tinggi, lebih mulia dan lebih luas daripada cinta seratus kali ganda.”
Bahkan, segala jenis kasih sayang adalah halus dan suci. Sedangkan sebahagian besar cinta memperdayakan dan menipu.
42. Page
Kasih sayang juga begitu luas. Di mana seseorang itu sayangkan anak-anaknya. Kasih sayang meliputi setiap anak-anak kecil, malah setiap yang bernyawa. Kasih sayang menjadi cermin yang sedikit sebanyak memantulkan nama “al-Raḥīm”. Manakala cinta menyempitkan pandangan si angau kepada cintanya sahaja. Cinta menyebabkan si angau tadi sanggup mengorbankan apa sahaja kerana cintanya itu. Cinta juga menyebabkan si angau itu memandang hina dan lekeh kepada selain cintanya dan merendahkan kehormatan orang lain agar cintanya dipandang tinggi dan dipuja. Contohnya kata-kata ini:
“Matahari melihat keindahan cintaku lalu tersipu malu, lalu menarik tirai-tirai awan dan bersembunyi di sebaliknya agar tidak terlihat cintaku itu.”
Wahai si angau yang “al-Mutaḥadhliq”! Mengapa pula matahari, lembaran cahaya bagi lapan nama agung (daripada nama Allah al-Husna) tersipu malu!?
Sesungguhnya kasih sayang itu tulus, ikhlas dan luhur, tidak mengharapkan apa-apa ganjaran, upah atau balasan. Buktinya, kasih sayang seekor haiwan, martabat kasih sayang terendah sekali pun, sanggup berkorban apa sahaja untuk anak-anaknya. Manakala cinta mendambakan balasan dan ganjaran. Tangisan, rintihan dan ratapan cinta adalah antara jenis perdambaan dan kemahuan kepada ganjaran.
Maka kasih sayang Ya‘qub adalah cahaya paling jelas dalam surah Yusuf, dan surah Yusuf adalah cahaya paling terang dalam al-Qur’an, yang menerangkan dua nama Allah “al-Raḥmān” dan “al-Raḥīm”. Kasih sayang baginda juga menjelaskan bahawa jalan kasih sayang ialah jalan rahmat yang mendorong manusia untuk berkata:
﴿فَاللهُ خَيْرٌ حَافِظًا وَهُوَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ﴾
“Oleh itu aku hanya menaruh kepercayaan kepada Allah, kerana Allah jualah Penjaga yang sebaik-baiknya, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani dari sesiapa sahaja yang menaruh belas kasihan.”
(surah Yusuf: ayat 64)
sebagai ubat kepada sakitnya berkasih sayang.
Hanya Allah yang Maha Kekal yang kekal abadi.
Said Nursi