Surat Kelapan Belas

118. Page

Surat Ke-18

 

Dengan nama Allah

“dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya”

 

Surat ini mencakupi tiga persoalan penting.

 

Isu penting pertama:

 

Para wali yang masyhur seperti Sheikh Muḥyi al-Dīn bin ‘Arabiyy, pengarang kitab “al-Futūḥāt al-Makkiyyah” dan al-Sayyid ‘Abd al-Karīm, pengarang kitab yang terkenal bernama “al-Insān al-Kāmil” berbicara tentang tujuh tingkatan tanah dan tanah putih di sebalik Gunung Qāf. Dalam kitab al-Futūḥāt al-Makkiyyah mereka menceritakan tentang perkara-perkara ajaib yang digelar “Tanah Mushmmashiyyah”. Mereka juga mendakwa yang mereka pernah melihatnya. Adakah apa yang diucapkan mereka ini benar? Bagaimana mereka berkata benar jika tempat-tempat ini tidak wujud pun di bumi ini! Lagi pun ilmu geografi dan ilmu-ilmu lain tidak menerima dakwaan mereka ini! Jika mereka tidak bercakap benar, bagaimana mereka ini boleh menjadi wali? Bagaimana pula mereka boleh menjadi ahli hakikat sedangkan mereka mengeluarkan kenyataan sebegini yang bertentangan dan berlawanan dengan realiti dan kebenaran?

 

Jawapan: Mereka itu memang ahli kebenaran dan hakikat. Mereka juga benar-benar para wali. Apa yang mereka lihat, memang mereka benar-benar lihat, cumanya ada sebahagian kata-kata mereka yang salah. Mereka tersilap apabila mengeluarkan hukum tentang kewalian yang tidak mungkin akan dapat difahami sepenuhnya dan apabila mereka mengatakan sudah menafsir apa yang mereka lihat sebagai mimpi mereka. Seperti mana seorang lelaki yang masih bermimpi, pasti dia tidak akan dapat menafsir mimpinya itu. Begitu juga dengan para wali, mereka tidak akan mampu menafsir apa sedang mereka lihat ketika mereka berada dalam keadaan bermimpi itu. Hanya golongan pewaris para nabi yang dikenali sebagai al-Aṣfiyā’ sahaja yang mampu melepasinya. Tidak syak lagi, para wali itu jika sudah sampai ke martabat al-Aṣfiyā’ barulah mereka sedar kesalahan mereka dengan petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah, lalu mereka memperbetulkan kesalahan mereka itu dan mereka benar-benar akan melakukannya nanti.


119. Page

 

Dengarlah kisah analogi berikut supaya kamu lebih jelas dengan hakikat ini:

 

Pada suatu masa dahulu, ada dua orang pengembala daripada ahli sufi. Pada suatu hari, mereka berdua memerah susu dalam sebuah bekas kayu lalu meninggalkan bekas itu di sisi mereka dan mereka berdua meletakkan seruling mereka di atas bekas susu tersebut. Kemudiannya, salah seorang daripada mereka berasa sangat mengantuk lalu tertidur. Pengembala itu tidur untuk suatu tempoh masa, sedangkan sahabatnya yang seorang lagi berjaga dan memerhatikan rakannya yang sedang tidur itu. Rakannya itu melihat ada seekor serangga seakan-akan lalat keluar daripada hidung rakannya yang sedang tidur itu dan dia memandang bekas susu, serangga itu pun masuk ke dalam seruling dan keluar daripada hujung seruling yang satu lagi. Kemudian serangga itu masuk ke dalam bukaan di bawah pohon berduri dan menghilangkan dirinya. Tidak berapa lama kemudian, serangga itu datang kembali, lalu melintasi seruling itu sekali lagi dan memasuki lubang hidung rakannya yang sedang tidur. Ketika sahabatnya terjaga daripada tidurnya, sahabatnya itu berkata: “wahai sahabatku, aku telah bermimpi sebuah mimpi yang sangat aneh.” Rakannya menjawab: “Moga Allah menjadikannya mimpi yang baik, apakah mimpi kamu itu?”

 

Rakannya bercerita: “Aku melihat lautan susu, yang direntasi oleh sebuah jambatan. Jambatan itu berbumbung, berdinding dan bertingkap. Aku pun melintasi jambatan itu lalu aku melihat hutan pokok oak yang runcing dan di bawahnya terdapat sebuah gua. Aku pun memasuki gua tersebut lalu menjumpai banyak harta karun daripada emas. Apa takwilan mimpi aku itu?”


120. Page

Rakannya yang berjaga tadi menjawab: “Lautan yang kamu nampak itu adalah bekas kayu ini, jambatan pula adalah seruling kita ini. Manakala hutan pokok oak runcing pula adalah pohon berduri ini dan gua pula adalah bukaan kecil ini. Bawakan cangkul, aku tunjukkan harta karun itu.” Rakannya itu pun membawakan cangkul dan mereka berdua sama-sama mengorek lubang di bawah pohon berduri berkenaan dan menjumpai harta karun daripada emas yang menyenangkan kehidupan mereka berdua di dunia.

 

Apa yang dilihat oleh lelaki yang tidur tadi itu benar, kerana dia benar-benar melihatnya Tetapi dia tidak mampu menjelaskan alam mimpi dan memahaminya, maka dia tidak berhak untuk menceritakan apa yang dia lihat. Hal ini kerana, dia tidak dapat membezakan alam realiti dan alam mimpi, jadi sebahagian hukumannya salah. Oleh itu dia berkata: “Aku telah melihat lautan yang sebenar dan hakiki” tetapi lelaki yang berjaga itu dapat membezakan antara alam mimpi dan alam realiti, maka dia lebih berhak untuk bercerita. Oleh itu dia berkata: “Lautan yang kamu nampak itu memang benar, tetapi bukanlah lautan sebenar. Lautan dalam mimpi kamu itu adalah bekas susu ini. Manakala jambatan dalam mimpi kamu pula merujuk kepada seruling ini dan begitulah seterusnya...“

 

Jadi, kita seharusnya membezakan antara alam realiti dan alam fantasi, apabila bercampur kedua-duanya, pastilah hukuman kita salah.

Contohnya:

Bayangkan yang engkau mempunyai sebuah bilik yang sempit, tetapi engkau letakkan empat buah cermin besar yang menutupi keempat-empat dinding bilik. Apabila engkau memasuki bilik sempit itu, pasti engkau melihat seolah-olah bilik itu seluas dataran. Jika engkau berkata: “Aku melihat bilik aku ini seluas dataran yang luas”, maka engkau berkata benar, tetapi jika engkau katakan: “Bilik aku luas bagaikan dataran”, maka engkau salah, kerana engkau telah mencampuradukkan antara alam fantasi dan alam realiti.


121. Page

Maka, gambaran ahli kasyaf bagi tujuh lapisan bumi tanpa menimbangnya dengan neraca al-Qur’an dan al-Sunnah tidak terhad kepada keadaan fizikal seperti teori ilmu geografi. Sebagai contoh, mereka berkata: “Ada suatu lapisan bumi yang dihuni oleh jin dan ifrīt serta lapisan ini mempunyai jarak perjalanan ribuan tahun.” Sedangkan bumi kita ini yang boleh dijelajahi sekelilingnya dalam masa setahun atau dua tahun, tidak mungkin akan dapat diletakkan lapisan yang aneh tersebut. Tetapi jika kita andaikan bumi kita ini bagaikan sebiji benih pohon pain yang berada di alam maknawi, alam fantasi, alam barzakh dan alam roh, maka pohon fantasinya akan menjadi sebuah pokok pain yang sangat besar jika dibandingkan dengan saiz biji benih tadi. Oleh itu, dalam perjalanan kerohanian mereka, sebahagian para wali melihat beberapa lapisan bumi di alam fantasi itu sangat luas dan mereka merasakan yang jarak perjalanannya mengambil masa ribuan tahun. Apa yang mereka lihat itu benar kerana alam fantasi hampir menyamai alam realiti pada zahirnya dan mereka melihat bahawa kedua-alam alam fantasi dan realiti itu bercampur aduk. Lalu mereka terus menceritakan apa yang mereka lihat. Oleh itu apabila mereka kembali terjaga, mereka menulis pemandangan yang mereka lihat sebelumnya. Oleh sebab pemandangan yang mereka lihat itu ditulis tanpa pertimbangan sewajarnya, maka orang ramai menyangka yang pemandangan itu bertentangan dengan realiti. Seperti mana wujudnya fantasi sebuah istana besar dan sebuah taman yang luas dapat dirakamkan dalam sebuah cermin kecil yang mana jarak satu tahun dalam dunia realiti boleh merangkumi jarak ribuan tahun di alam fantasi dan hakikat maknawi.

 

Penutup: Jelaslah daripada isu ini bahawa martabat kewalian yang hanya bergantung pada penglihatan itu lebih rendah berbanding dengan martabat beriman dengan perkara ghaib. Hal ini kerana kasyaf terhad kepada beberapa wali yang hanya bergantung kepada pemandangan mereka sahaja dan para wali ini belum mencapai taraf al-Aṣfiyā’ dan al-Muḥaqqiqīn, iaitu pewaris sebenar para nabi. Golongan ini bersandarkan kepada al-Qur’an dan wahyu dan bukannya kepada pemandangan semata-mata bagi setiap hakikat beriman dengan perkara ghaib yang suci dan benar.

 

Jadi, pertimbangan kesemua hal, penemuan, perasaan dan pemandangan adalah timbangan al-Qur’an dan al-Sunnah, penanda aras dan kayu ukurnya adalah kitab-kitab suci al-Qur’an dan al-Sunnah serta naluri para wali yang terpilih dan benar.


122. Page

Isu Penting Kedua:

 

Soalan: Isu Waḥdat al-Wujūd dianggap sebagai martabat yang tertinggi oleh ramai orang, sedangkan mazhab ini tidak jelas kelihatan dalam kalangan sahabat adalah para wali yang mempunyai wilayah tertinggi yang diketuai oleh empat orang Khulafā’ al-Rāshidīn; imam-imam Āli al-Bayt yang diketuai oleh lima orang Āli al-‘Abā’[2]; para ‘ulamā’ mujtahidin dan tābi‘īn yang diketuai oleh empat orang imam mazhab. Sungguh pelik! Adakah mereka telah melebihi golongan yang datang sebelum mereka dan adakah mereka telah menemui jalan kebenaran yang lebih baik daripada jalan Salaf al-Ṣāliḥ?!

 

Jawapan: Mana mungkin! Tak mungkin mereka mampu untuk mengatasi golongan al-Aṣfiyā’ tersebut, bintang yang paling hampir kepada cahaya al-Risālah dan pewaris yang terhampir kepadanya. Mereka juga tak akan dapat menandingi golongan ini kerana jalan yang paling benar adalah jalan mereka!

 

Manakala Waḥdat al-Wujūd pula adalah satu manhaj, hal dan martabat yang tak sempurna, tetapi ia ada kemanisannya yang tersendiri. Oleh itu, mereka yang telah mencapai martabat ini ketika bersuluk ingin kekal di dalamnya dan mereka menyangkakan bahawa martabat ini adalah martabat yang terakhir.

 

Jika pemilik martabat ini adalah roh yang terasing daripada kebendaan dan medium serta telah mencarik tirai asbab lalu ia menerima penyaksian separa mengasyikkan, boleh jadi ia telah mencapai Waḥdat al-Wujūd dari sudut hal dan bukannya Waḥdat al-Wujūd dari sudut ilmu, yang terhasil daripada Waḥdat al-Shuhūd dan bukannya Waḥdat al-Wujūd dari segi kesempurnaan dan kedudukannya Malah perkara ini boleh membawa kepada mengingkari alam semesta kerana Allah. Manakala jika tenggelam dalam asbab dan hanyut dalam kebendaan, maka apa yang dikatakan Waḥdat al-Wujūd itu boleh membawa kepada mengingkari kewujudan Allah kerana alam semesta.


123. Page

Demikian, jalan yang paling benar ialah jalan sahabat, tābi‘īn dan al-Aṣfiyā’. Maka kata-kata: “Hakikat setiap perkara itu tetap” adalah pegangan umum mereka dan Allah tidak menyerupai makhluk-Nya berdasarkan ayat: “لَيْسَ كَمِثْلِه۪ شَئٌ” 

 

“Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya)”                                 

(Surah al-Shura: ayat 11)

 

Allah Maha Suci daripada sebarang bias dan pembahagian. Hubungan-Nya dengan segala makhluk adalah hubungan penciptaan.

 

Makhluk juga bukanlah khayalan dan fantasi seperti mana yang didakwa oleh ahli Waḥdah al-Wujūd, sebaliknya kesemua perkara yang boleh dilihat dengan mata kasar juga adalah hasil penciptaan Allah. Oleh itu, bukanlah “tiada kewujudan selain Dia” tetapi “tiada kewujudan melainkan berasal daripada-Nya”. Hal ini kerana setiap perkara yang diciptakan tidak mungkin akan bersifat qadim.

 

Untuk memudahkan pemahaman, saya bawakan dua analogi berikut:

 

Contoh Pertama: Bayangkan ada seorang raja yang mempunyai Kuasa Keadilan yang dinamakan dengan namanya “Hakim Adil”. Kuasa ini menzahirkan nama ini. Raja tersebut juga mempunyai nama “Khalifah”, yang terzahir pada nama Kuasa Kepimpinan dan Kuasa Ilmiah. Begitu juga dengan nama “Panglima Tertinggi” yang dinamakan kepada Kuasa Ketenteraan dan tentera adalah zahirnya nama ini. Jika ada yang mengatakan bahawa: Raja ini hanyalah seorang Hakim Adil semata-mata, tidak berkuasa dalam urusan lain. Maka pada ketika itu, pegawai-pegawai Kuasa Keadilan wajib bersifat dengan sifat ulama Kuasa Kepimpinan dan hal-ehwal mereka secara zahirnya dan bukannya secara hakiki. Tergambar di fikiran kita bahawa di bawah Kuasa Kehakiman terdapat Kuasa Kepimpinan yang tertakluk kepadanya. Malah dianggap hal-ehwal dan urusan Kuasa Ketenteraan terletak di bawah pegawai-pegawai Kuasa Kehakiman, serta dianggap Kuasa Ketenteraan bukanlah suatu Kuasa yang hakiki dan begitulah seterusnya...


124. Page

Dalam keadaan ini, nama sebenar bagi raja tersebut adalah “Hakim yang Adil” dan kekuasaannya yang hakiki adalah di Kuasa Keadilan. Manakala nama-nama baginda yang lain seperti “Khalifah”, “Panglima Tertinggi”, Raja, Sultan dan sebagainya bukanlah nama hakiki, kerana ia adalah nama dari sudut undang-undang sahaja. Hal ini disebabkan oleh ciri-ciri raja dan hakikat kesultanan itu wujud bersama-sama dengan wujudnya nama-nama hakiki. Manakala nama-nama hakiki pula memerlukan kepada kuasa-kuasa yang hakiki juga. Maka, kekuasaan Ilahi juga mempunyai banyak sekali Nama-Nama Suci seperti “Yang Maha Pemurah”, “Yang Maha Memberi Rezeki”, “Yang Maha Memberi”, “Yang Maha Menciptakan”, “Yang Maha Berkehendak”, “Yang Maha Pemurah”, “Yang Maha Mengasihani” secara hakiki, dan nama-nama ini hakiki, oleh itu ia akan menzahirkan keperluan cerminan yang hakiki juga.

 

Oleh sebab ahli Waḥdat al-Wujūd mendakwa bahawa “tiada kewujudan selain Dia” dan mereka meletakkan hakikat segala perkara kepada martabat khayalan, maka nama-nama Allah sebagai “Wājib al-Wujūd”, “al-Mawjūd” [Maha Wujud], “Al-Wāḥid”, “Al-Aḥad” [Maha Esa] adalah manifestasi dan kekuasaan yang hakiki. Jika kekuasaannya dan cerminannya tidak hakiki malah khayalan dan tidak wujud sekali pun, tidaklah merosakkan nama-nama tersebut. Bahkan jika dalam cermin kewujudan hakiki pun tidak ada warna kewujudan maka ia akan menjadi lebih jelas dan terang. Manifestasi nama-nama Allah seperti “Yang Maha Pemurah”, “Yang Maha Pemberi Rezeki”, “Yang Maha Gagah”, “Yang Maha Perkasa”, “Yang Maha Menciptakan” adalah dari sudut makna dan bukannya hakiki pada ajaran Waḥdat al-Wujūd sedangkan nama-nama tersebut hakikat seperti nama “Al-Mawjūd” [Maha Wujud], mustahil ia akan menjadi bayangan kerana nama ini asli dan bukannya mengikuti perkara lain.


125. Page

 

Malah, para sahabat, golongan suci dan imam-imam ahl al-Bayt mengatakan: “Hakikat setiap perkara itu tetap”, iaitu: Manifestasi nama-nama Allah itu hakiki pada setiap nama-Nya dan setiap perkara itu wujud kerana dijadikan Allah bukannya khayalan atau fantasi. Hal ini kerana Allah Yang Maha Benar telah menciptakan segala sesuatu dengan nama-Nya “Yang Maha Menciptakan” serta telah menjadikan kewujudannya berkekalan.

 

Contoh Kedua: Terdapat empat buah cermin besar pada keempat-empat dinding rumah, maka bayangan rumah terpantul pada setiap cermin dan begitu juga keadaannya pada ketiga-tiga cermin yang lain, cumanya setiap cermin memantulkan imej berdasarkan bentuk dan warnanya. Kelihatan seolah-olah setiap cermin adalah sebuah model rumah yang khas baginya. Kemudian datang dua orang lelaki dan memasuki bilik ini, lalu salah seorang daripada mereka memandang salah sebuah cermin sambil berkata: “Semua perkara terdapat dalam cermin ini”. Apabila dia mendengar tentang kewujudan cermin-cermin yang lain dan imej-imejnya masing-masing, dia pun memadankan apa yang didengarinya itu dengan apa yang dilihatnya sebelum itu yang kini sudah menjadi bayangan, maka pada pandangannya hakikat yang dilihatnya mengecil dan berubah, lalu dia berkata: “Apa yang aku lihat ini begitu, sedangkan hakikatnya begitu”. Kemudian seorang lelaki lain berkata kepada lelaki tadi: “Ya, apa yang kamu lihat itu benar, tetapi imej sebenar kepada hakikat bukanlah begitu pada realitinya, di sana ada beberapa buah cermin lain selain daripada cermin yang kamu renungi itu. Malah ia bukanlah bayang-bayang kepada bayang-bayang kecil yang kamu lihat itu!”

 

Oleh itu, setiap nama daripada nama-nama Allah memerlukan kepada cermin yang berasingan. Contohnya: Kedua-dua nama “Yang Maha Pemurah” dan “Yang Maha Memberi Rezeki” itu adalah nama yang hakiki dan asli yang memerlukan kepada kewujudan makhluk yang memerlukan kepada rezeki dan rahmat, yang layak bagi dua nama suci tersebut. Oleh sebab nama “Yang Maha Pemurah” memerlukan kepada kewujudan roh-roh yang benar-benar wujud di dunia nyata, yang memerlukan kepada rezeki, maka “Yang Maha Mengasihani” juga memerlukan kepada syurga yang hakiki. 


126. Page

 

Jika dianggap nama-nama “al-Mawjūd”, “Wājib al-Wujūd” [Maha Wujud], “Al-Wāḥid”, “Al-Aḥad” [Maha Esa] adalah nama-nama hakiki, lalu diletakkan nama-nama lain sebagai bayang-bayang baginya, maka ianya sesuatu kezaliman keatas nama-nama bayangan lain bagi nama-nama tersebut.

 

Disebabkan rahsia inilah maka, jalan kebenaran adalah jalan para wali terbesar, iaitu para sahabat, golongan suci, tābi‘īn, para imam ahl al-Bayt, imam-imam mujtahid, mereka inilah anak murid al-Qur’an al-Karim pada martabat pertama secara langsung.

 

سُبْحَانَكَ لاَ عِلْمَ لَنَٓا اِلَّأ مَا عَلَّمْتَنَٓا اِنَّكَ اَنْتَ الْعَل۪يمُ الْحَك۪يمُ  رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ اِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً اِنَّكَ اَنْتَ الْوَهَّابُ  اَللّٰهُمَّ صَلِّ وَ سَلِّمْ عَلٰي مَنْ اَرْسَلْتَهُ رَحْمَةً لِلْعَالَم۪ينَ وَ عَلٰٓي اٰلِه۪ وَ صَحْبِه۪ٓ اَجْمَع۪ينَ 


“Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”               (Surah al-Baqarah: ayat 32)

 

“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.”

                                        )Surah Ali Imran: ayat 8)

 

Selawat dan salam ke atas utusan-Nya yang menjadi rahmat kepada seluruh alam semesta, ahli keluarga dan para sahabat baginda.


127. Page

Isu ketiga:

 

Isu yang penting ini tidak mampu dirungkaikan dengan akal dan falsafah.

 كُلَّ يَوْمٍ هُوَ ف۪ي شَاْنٍ * فَعَّالٌ لِمَا يُر۪يدُ 

Tiap-tiap masa Ia di dalam urusan (mencipta dan mentadbirkan makhluk-makhlukNya)! (Surah al-Rahman: ayat 29), Yang berkuasa melakukan segala yang dikehendakinya. (Surah al-Buruj: ayat 16).

 

Soalan: Apakah rahsia di sebalik fenomena alam semesta ini yang berterusan, menggerunkan dan menghairankan pada setiap yang berakal? Apakah hikmahnya? Mengapa alam semesta ini tidak pegun dan berhenti daripada pergerakan yang sistematik ini? Mengapa ia sentiasa berputar dan diperbaharui?

 

Jawapan: Penjelasan kepada hikmah ini memerlukan kepada seribu halaman, oleh itu tak perlulah aku jelaskan semuanya, cukuplah dengan kesimpulannya dalam dua halaman.

 

Seperti mana seseorang yang menunaikan suatu tugasan fitrah atau tugasan kemasyarakatan, dia menunaikannya pula dengan begitu bersungguh-sungguh dan bersemangat; maka pasti mereka yang melihatnya dengan teliti mengetahui bahawa dua faktor yang mendorong lelaki tersebut, iaitu:

 

Pertama: Maslahat, hasil dan faedah yang akan diperolehnya setelah selesai menunaikan tugasan tadi. Hal ini dinamakan sebagai “al-‘Illah al-Ghā‘iyyah” [Faktor Teleologi].

 

Kedua: Perasaan cinta, minat dan keseronokan yang mendorongnya menunaikan tugasan tersebut dengan begitu bersungguh-sungguh dan bersemangat. Hal ini dinamakan sebagai “al-Dā‘ī dan al-Muqtaḍī” [Motif dan Keperluan].


128. Page

Sebagai contoh: Perbuatan memakan itu lazat dan mengasyikkan, yang berpunca daripada keinginan; kelazatan dan keasyikan itulah yang mendorong manusia untuk makan. Hasil pemakanan itu tadi adalah nutrisi kepada tubuh badan dan kelangsungan hidup. Begitu juga dengan – “dan bagi Allah jualah sifat yang tertinggi” (Surah al-Nahl: ayat 60) – fenomena alam semesta ini yang berterusan tidak berhenti, yang menggerunkan dan menghairankan setiap yang berakal bersandarkan kepada dua bahagian daripada nama-nama Ilahi, kerana “dua hikmah yang luas” yang setiap satunya tidak terbatas.

 

Pertama: Manifestasi nama-nama Allah itu tidak terkira dan tidak terbatas, maka kepelbagaian makhluk juga berpunca daripada manifestasi nama-nama ini. Nama-nama ini menuntut kepada kewujudan secara berterusan, iaitu ia ingin menzahirkan pengaruhnya, ia juga memperlihatkan dan dilihat manifestasi keindahan pada cerminan pengaruhnya. Ia ingin ditulis buku penciptaan dan makhluk dengan penulisan yang sentiasa diperbaharui pada setiap masa dan ketika. Ia ingin supaya buku alam semesta ditulis dengan tulisan yang sentiasa diperbaharui, yang dipenuhi dengan makna. Ia mahu semua penulisan ini dibaca di hadapan Zat Tuhan Yang Maha Suci, Yang Maha Tinggi dan dibaca di hadapan setiap roh yang melihat.

 

Sebab dan Hikmah yang Kedua : Seperti mana setiap fenomena alam semesta berpunca daripada keinginan, keasyikan dan kelazatan, malah setiap fenomena itu ada kelazatan yang pasti. Bahkan pada setiap fenomena itu sendiri ada kelazatannya;! begitu juga dengan “Wājib al-Wujūd” [Maha Wujud] yang mempunyai sifat kasih sayang dan cinta suci yang tidak terbatas yang selayaknya bagi-Nya. Kedua-dua sifat ini layak bagi sifat mutlak Tuhan yang Maha Berdiri Sendiri dan Maha Kaya. Kedua-duanya juga sesuai dengan kesempurnaan mutlak Tuhan. Allah juga memiliki sifat kasih sayang yang suci dan tidak terbatas, bersumberkan dua sifat suci tersebut. 


129. Page

Allah juga memiliki sifat gembira yang suci yang tidak terbatas yang akan menjadi punca semangat yang suci tersebut. Malah Allah juga memiliki sifat kelazatan – jika boleh dikatakan sedemikian – yang suci dan tidak terbatas, bersumberkan sifat gembira/semangat yang suci tersebut. Bahkan ada sifat reda dan kebanggaan yang suci – jika boleh dikatakan sedemikian – yang khusus untuk sifat Maha Pemurah dan Maha Mengasihani, yang berpunca daripada sifat mengasihani yang suci dan tidak terbatas, hasil daripada sifat kelazatan yang suci tersebut. Kedua-dua sifat Maha Pemurah dan Maha Mengasihani, yang berpunca daripada keredaan makhluk dan kesempurnaannya yang terhasil daripada keluarnya kesediaan daripada fasa kekuatan kepada fasa perbuatan[3] dan kesempurnaannya mengikut fenomena yang telah ditakdirkan. Semuanya itu memerlukan kepada fenomena yang tidak terbatas mengikut cara yang juga tidak terbatas.

 

Oleh sebab kejahilan ilmu falsafah, sains dan hikmah bagi kedua-dua hikmah, maka ia telah mencampur-adukkan antara alam semula jadi yang fantasi dan khayalan, pertembungan buta dan sebab-musabab yang kaku dengan fenomena ini yang terjadi hasil daripada ilmu yang tidak terbatas dan hikmah serta pandangan yang tidak terhad. Lalu mereka jatuh ke dalam kegelapan kesesatan dan tidak menemui jalan ke arah cahaya yang sebenarnya.

 . قُلِ اللّٰهُ ثُمَّ ذَرْهُمْ ف۪ي خَوْضِهِمْ يَلْعَبُونَ ⧫

Katakanlah (kepada mereka): "Allah jualah (yang menurunkannya)", kemudian, biarkanlah mereka leka bermain-main dalam kesesatannya.    

                                        (Surah al-An‘am: ayat 91) 

 

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ اِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً اِنَّكَ اَنْتَ الْوَهَّابُ⧫

 


“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.”

                                        )Surah Ali Imran: ayat 8)

 

اَللّٰهُمَّ صَلِّ وَ سَلِّمْ عَلٰي كَاشِفِ طِلْسِمِ كَآئِنَاتِكَ بِعَدَدِ ذَرَّاتِ الْمَوْجُودَاتِ وَ عَلٰٓي اٰلِه۪ وَ صَحْبِه۪ مَا دَامَ الْأَرْضُ وَ السَّمَاوَاتُ ⧫


Selawat dan salam ke atas orang yang menyingkap tangkal mahkluk dengan bilangan setiap zarah penciptaan, ahli keluarga dan para sahabat baginda selagi mana wujudnya langit dan bumi.

 

اَلْبَاق۪ي هُوَ الْبَاق۪ي

Hanya Allah yang Maha Kekal yang kekal abadi.

 

Surat ke-19 yang membicarakan tentang mukjizat-mukjizat Nabi Muhammad telah diletakkan dalam buku “Dhu al-Fiqār”, oleh itu ia tidak diletakkan dalam buku ini.