NAVIGATION
74. Page
Surat Ke-15
Dengan nama Allah
“dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya;”
Saudaraku yang dimuliakan,
Soalan kamu yang pertama: Mengapakah para sahabat -moga Allah meredai mereka- tidak mampu menyingkap orang-orang yang berbuat kerosakan dengan pandangan wali? Sehinggakan tiga orang daripada Khulafa’ al-Rashidin mati syahid dibunuh? Sedangkan dikatakan bahawa para sahabat yang kecil lebih besar daripada para wali besar?
Jawapan: Ada dua maqam.
Maqam pertama:
Soalan ini dirungkaikan dengan menerangkan rahsia kewalian, iaitu:
Kewalian para sahabat RA itu dikenali sebagai “kewalian besar”, yang diwarisi daripada kenabian. Kewalian besar ini dipermudahkan perjalanan secara langsung daripada zahir kepada hakikat tanpa melalui Barzakh, dan kewalian ini kembali kepada tersingkapnya “hubungan yang dekat dengan Tuhan”. Jalan kewalian ini walaupun sangat singkat tetapi ia sangat tinggi, perkara-perkara di luar kebiasaan tentangnya sedikit tetapi manfaatnya banyak sekali. Maka, pandangan kasyaf dan keramat sedikit sangat terjadi dalam kewalian jenis ini.
Keramat para wali pula kebanyakannya bukanlah pilihan, tetapi perkara luar biasa itu terjadi dengan sifat pemurah Tuhan dan ia berlaku tanpa disangka-sangka. Perkara luar biasa ini terjadi pada para wali kerana mereka bukan manusia biasa -pada tahap tertentu-, kerana ia dipermudahkan perjalanan daripada Barzakh tarekat ketika bersuluk.
Para sahabat pula -moga Allah meredai mereka-, tidak terdesak -hasil daripada persahabatan, pergaulan dan hubungan yang rapat dengan Nabi- kepada lipatan bulatan besar dalam bersuluk dan tarekat, kerana mereka dipermudahkan perjalanan daripada zahir kepada hakikat dalam satu langkah atau satu persahabatan sahaja.
75. Page
Contohnya, terdapat dua cara untuk sampai kepada malam al-Qadr yang berlaku semalam:
Pertama: Perjalanan selama setahun untuk tiba ke malam tersebut, iaitu lipatan jarak perjalanan setahun penuh untuk mendapatkan hubungan yang rapat ini. Inilah jalan ahli suluk, begitu juga dengan kebanyakan ahli tarekat.
Kedua: Melihat malam al-Qadr yang lepas berada bersama dengan malam hari raya keesokan harinya seperti mana melihat malam ini dengan mengeluarkan jisim yang terikat dengan masa daripada kulit materialnya dan menaikkannya ke martabat roh. Hal ini kerana roh tidak terikat dengan masa. Apabila perasaan manusia meningkat naik kepada darjat roh, masa itu tadi akan mengembang. Maka masa lalu bagi pihak lain ialah masa sekarang baginya.
Daripada contoh ini, perpindahan kepada malam al-Qadr semalam adalah seperti melihat masa lalu menjadi masa sekarang dengan meningkatnya martabat roh. Asas rahsia yang samar-samar ini adalah tersingkapnya hubungan yang dekat dengan Tuhan.
Contohnya, matahari itu dekat dengan kita kerana cahaya, haba dan imej matahari terpantul pada mata dan kita dirasai oleh tangan, sedangkan kita jauh dari matahari. Jika kita merasai sangat dekatnya matahari itu kerana dekatnya kita dengan cahaya matahari itu, dan kita tahu yang kita berhubungan dengan matahari apabila imejnya terpantul pada mata kita. Lalu kita ketahui cahaya, haba dan keadaan matahari tersebut. Ketika itu jelas betapa sangat dekatnya hubungan antara kita dengan matahari.
76. Page
Manakala jika kita mahu mengetahui matahari dari jarak kita dengan matahari itu, kita terpaksa melalui proses pemikiran dan akal yang banyak dan mendalam. Kita tidak akan mampu untuk mendapatkan rasa dekat maknawi yang diperoleh lelaki pertama tadi yang hanya perlu melihat imej matahari pada mata dengan sedikit tafakur melainkan kita perlu naik ke langit dengan akal dan hukum sains alam, kemudian kita gambarkan matahari di langit, lalu kita kenal cahaya, kepanasan dan tujuh warna matahari dengan penelitian dan pemerhatian sains yang panjang.
Daripada contoh ini, kenabian dan kewalian yang diwarisi daripada kenabian menyasarkan untuk menyingkap rahsia “hubungan yang sangat dekat” ini, sedangkan kewalian yang lain pula banyak bergerak atas dasar “hubungan yang dekat” itu. Maka banyak tahap dan darjat yang perlu kepada suluk.
Maqam Kedua:
Sesungguhnya mereka yang menjadi sebab dan dalang kepada peristiwa itu bukan sahaja orang-orang Yahudi, yang boleh dihentikan kejahatan mereka dengan menyingkap siapa mereka. Tetapi dengan kemasukan pelbagai umat yang banyak ke dalam Islam sambil membawa aliran dan pemikiran yang bercanggah ke dunia Islam. Terutamanya golongan yang terluka perasaan perkauman mereka dengan menikam Saidina Umar bertubi-tubi. Mereka sedang menunggu peluang untuk membalas dendam kerana tabiat dan sifat mereka. Hal ini kerana agama mereka telah terbatal, kerajaan dan kekuasaan yang menjadi kebanggaan mereka telah hancur. Maka perasaan mereka ini menyebabkan mereka menyimpan dendam kesumat terhadap ketuanan Islam sama ada mereka sedar ataupun tidak. Oleh itu, dikatakan: ada beberapa orang munafik yang licik seperti Yahudi mengeksploitasi fenomena masyarakat ini
77. Page
Jadi, kita tak mungkin dapat mencegah peristiwa itu tanpa memperbaiki kehidupan masyarakat dan pemikiran yang pelbagai ketika itu, dan sudah tentu juga bukan dengan menyingkap identiti beberapa dalang peristiwa tersebut.
Jika dikatakan:
Saidina Umar ketika berada di atas mimbar pernah memerintahkan panglima tenteranya -Sariah- yang berada pada jarak perjalanan sebulan daripadanya dengan berkata, “Wahai Sariah, ke arah bukit! Ke arah bukit!”, lalu suara Umar didengari oleh Sariah. Keramat Umar dalam kepimpinan menjadi sebab yang membawa kepada kemenangan tentera. Jika kepimpinan Umar mempunyai keramat berpandukan pandangan kasyafnya, maka mengapa beliau tidak dapat melihat pembunuhnya, Fairuz dengan pandangan kewaliannya sedangkan pembunuhnya itu begitu hampir dengan Umar ketika itu?
Jawapannya: Kita menjawab dengan jawapan Saidina Ya‘qub AS:
Baginda pernah ditanya, “Bagaimana tuan dapat mengecam bau baju Saidina Yusuf AS yang dibawakan dari Mesir, tetapi tuan tidak nampak Saidina Yusuf dalam perigi Kan‘ān yang begitu hampir dengan tuan?”
Saidina Ya‘qub AS menjawab, “Keadaan kami ini seperti kilat, sekejap ia muncul dan sekejap lagi ianya tidak muncul. Kadang-kadang kita duduk di atas suatu tempat yang tinggi, lalu kita dapat melihat semua sudut dan penjuru, tetapi Kadang-kadang kita tidak dapat melihat bahagian belakang kaki kita.”
78. Page
Kesimpulan: Walaupun manusia diberi pilihan dan boleh berusaha, ketentuan Tuhan tetaplah yang utama, seperti mana firman Allah:
“Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah.” (Surah Al-Insan: ayat 30)
Takdir yang pemerintah, kemahuan Tuhan mengatasi kemahuan manusia. Hukum alam: “apabila takdir menjelma, orang yang celik pun menjadi buta” dan “apabila takdir berbicara, usaha manusia diam seribu bahasa” menghalang sebarang pilihan bagi manusia.
Soalan kamu yang kedua pula: Apakah status perang yang terjadi pada awal pemerintahan Saidina Ali RA? Apa status perang tersebut dan status orang yang membunuh dan yang terbunuh?
Jawapan:
Perang yang berlaku antara Saidina Ali RA dengan Saidina Talhah, Zubayr dan Aishah RA dikenali sebagai Perang Jamal, adalah peperangan antara ‘keadilan tulen’ dan ‘keadilan tambahan’.
Saidina Ali telah menjadikan ‘keadilan tulen’ sebagai asas perjuangannya dan berijtihad berdasarkan perkara itu, supaya dapat menjalankan pemerintahan seiring dengan polisi Saidina Abu Bakr dan Saidina Umar RA sebelumnya. Manakala penentang beliau pula berkata, kemurnian dan kesucian masyarakat Islam pada zaman Saidina Abu Bakr dan Saidina Umar RA selari dengan ‘keadilan tulen’. Tetapi seiring peredaran masa, pelbagai puak yang lemah keislaman mereka telah memasuki dalam masyarakat Islam. Lalu pelaksanaan ‘keadilan tulen’ menjadi sangat sukar dan membawa masalah. Oleh kerana itu, golongan penentang ini kemudiannya berijtihad dengan ‘keadilan subjektif’ iaitu memilih mudarat yang paling ringan. Kemudiannya perbahasan ijtihad ini telah memasuki bidang politik lalu membawa kepada kancah peperangan.
79. Page
Oleh sebab ijtihad kedua-dua pihak ini untuk mencari keredaan Allah semata-mata dan demi maslahat umat, lalu terjadi peperangan tersebut. Maka boleh dikatakan tempat kedua-dua belah pihak di dalam syurga dan setiap pihak mendapat pahala.
Walaupun ijtihad Saidina Ali itu tepat dan ijtihad penentang beliau salah, mereka tidak patut diazab kerana seorang mujtahid jika ijtihadnya tepat maka dia mendapat dua pahala dan jika ijtihadnya salah, dia mendapat satu pahala. Pahala ijtihad ini dikira sebagai satu jenis ibadah dan pelakunya dimaafkan jika tersilap. Seorang tokoh penyemak yang terkenal telah berkata dalam bahasa Kurdistan, yang bermaksud:
“Elakkan diri daripada banyak berbicara tentang peperangan antara para sahabat, kerana kedua-dua pihak itu ahli syurga.”
Penjelasan tentang ‘keadilan tulen’ dan ‘keadilan tambahan’:
Hak seseorang yang tidak bersalah tidak terlucut walaupun untuk maslahat semua manusia dan tidak boleh dikorbankan seorang individu walaupun untuk tujuan keselamatan semua manusia. Seperti mana firman Allah Ta‘ala:
اَنَّهُ مَنْ قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ ... فَكَاَنَّمَاقَتَلَ النَّاسَ جَم۪يعًا
“Bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya”
(Surah Al-Ma’idah: ayat 32)
80. Page
Hak itu tetaplah hak di sisi Tuhan, tidak kira sama ada hak itu besar atau pun kecil. Hak yang kecil tidak terbatal atau terhapus untuk memberi laluan kepada hak yang besar. Hidup seseorang itu tidak dikorbankan untuk keselamatan sekumpulan manusia tanpa redanya. Jika pemegang hak itu rela atas nama kemurahan hati, itu adalah perkara yang lain.
Manakala ‘keadilan tambahan’ pula ialah pengorbanan sebahagian untuk keselamatan sebahagian semua. Namun, hak individu tidak diambil kira bagi maslahat kumpulan yang besar. ‘Keadilan tambahan’ hanya diguna pakai dengan mengambil kira pilihan yang paling kurang memudaratkan. Jika sekiranya ‘keadilan tulen’ dapat dilaksanakan, maka ‘keadilan tambahan’ tidak lagi diaplikasikan. Jika dilaksanakan juga, ia adalah satu kezaliman.
Oleh itu, Saidina Ali RA melihat kemungkinan pelaksanaan ‘keadilan tulen’ seperti mana zaman pemerintahan dua khalifah terawal. Manakala penentang beliau pula berijtihad dengan ‘keadilan tambahan’, apabila mereka melihat bahawa ‘keadilan tulen’ tidak dapat dilaksanakan, kerana timbul beberapa kesukaran dan kesulitan untuk melaksanakannya.
Faktor-faktor lain pula seperti yang tercatat dalam sejarah, bukanlah faktor utama. Bahkan ianya hanyalah alasan dan justifikasi semata-mata.
Jika kamu katakan:
Mengapa Saidina Ali RA tidak berjaya dalam pengurusan khilafah sepertimana khalifah-khalifah sebelum beliau? Sedangkan beliau mempunyai kebolehan yang tiada tandingan, kecerdikan yang tiada tolok bandingnya dan kelayakan yang sangat tinggi?
Jawapan:
Sesungguhnya tokoh yang diberkati ini lebih layak menerima jawatan lain yang lebih penting daripada jawatan politik dan kerajaan. Jika beliau mendapat hak sepenuhnya dalam politik dan kerajaan, maka pasti beliau tidak akan mencapai gelaran yang sangat penting, iaitu “ketua para wali”. Oleh itu beliau mendapat kerajaan maknawi yang jauh mengatasi khilafah politik yang zahir. Beliau menjadi “shaykh” bagi semua, hinggakan kerajaan maknawi beliau kekal sehingga ke hari Kiamat.
81. Page
Manakala perang antara Saidina Ali RA dan penyokong Saidina Muawiyyah RA dalam peperangan Siffin pula adalah peperangan antara kekhalifahan dan kesultanan. Saidina Ali RA menjadikan hukum agama, hakikat Islam dan hari akhirat sebagai asas baginya. Beliau mengorbankan beberapa undang-undang dan perkara-perkara zalim dalam kesultanan. Sedangkan Saidina Mu‘awiyyah dan penyokong beliau meninggalkan ‘azimah dan mengambil rukhsah untuk menyokong kehidupan bermasyarakat Islam dengan politik kesultanan. Mereka menyangka bahawa mereka terpaksa mengambil rukhsah dalam dunia politik, lalu mereka tersasar.
Manakala peperangan antara Saidina Hasan dan Husain RA dengan Bani Umayyah pula adalah pertembungan antara agama dan perkauman. Bani Umayyah membina negara mereka atas asas perkauman Arab, mereka melebihkan ikatan Arab mengatasi ikatan Islam. Maka, mereka telah melakukan kemudaratan daripada dua sudut:
Pertama: Mereka melukakan perasaan kaum-kaum lain sehingga menimbulkan perasaan benci dan tidak senang hati menyebabkan kaum-kaum selain Arab menjauhkan diri.
Kedua: Asas rasisme dan perkauman adalah asas yang zalim kerana tidak menurut keadilan dan kebenaran. Seorang hakim dan bersifat perkauman akan melebihkan kaumnya mengatasi kaum yang lain. Oleh itu, dia tidak akan mampu untuk berlaku adil. Malah, ikatan perkauman tidak akan dapat menggantikan ikatan Islam menurut kaedah: “Islam menghapuskan ketaksuban jahiliah. Tiada beza antara seorang hamba berbangsa Habsyi dan seorang tuan berbangsa Quraisy apabila mereka berdua memeluk Islam.” Apabila perkauman telah tertegak, maka tidak mungkin keadilan akan dapat dilaksanakan, malah kebenaran dan keadilan akan lenyap. Oleh itu, Saidina Hussain mengambil ikatan agama sebagai asas baginya. Kemudian beliau memerangi mereka atas asas kebenaran sehingga mati syahid
82. Page
Jika dikatakan: Mengapa beliau tidak berjaya, sedangkan beliau berada dalam kebenaran? Kenapa takdir Ilahi mengizinkan berlakunya timpaan yang berat Saidina Husain dan Ahli Al-Bait?
Jawapannya: Kaum-kaum lain yang turut serta dalam kumpulan Saidina Husain, -tetapi bukan pengikut rapat beliau- telah berdendam dengan kaum Arab kerana ego mereka terguris. Hal ini telah menyebabkan manhaj Saidina Husain yang suci tulus dan penyokongnya tergugat, maka ini menyebabkan kekalahan mereka.
Hikmah daripada timpaan yang berat dari sudut pandang takdir ialah:
Zuriat dan ahli keluarga Saidina Hasan dan Husain telah tercalon sebagai kesultanan maknawi. Sangat sukar untuk menghimpunkan kesultanan duniawi dan kesultanan maknawi. Oleh itu takdir Ilahi menyebabkan mereka tidak suka dengan kesultanan duniawi dan Allah menyingkap wajah hodoh dunia sehingga hati mereka tidak terpaut pada dunia. Mereka terlepas daripada kesultanan zahir yang sementara, tetapi mereka mendapat kesultanan maknawi yang sentiasa bersinar. Lalu mereka menjadi sumber rujukan para wali berbanding menjadi pemerintah orang-orang kebanyakan.
Soalan Ketiga: Apa hikmah tokoh-tokoh yang diberkati ini menjadi mangsa kezaliman yang dahsyat?
Jawapan: Seperti mana yang diterangkan sebelum ini, kesultanan Umayyah yang menentang Saidina Husain berdiri atas tiga asas yang membawa kepada kezaliman yang dahsyat.
Pertama: Perlembagaan politik yang zalim. Seseorang dikorbankan demi menjaga maslahat, kestabilan dan kesejahteraan kerajaan.
83. Page
Kedua: Kerajaan mereka berasaskan rasisme dan perkauman. Mereka juga mengambil perlembagaan perkauman yang zalim menjadi asas pemerintahan mereka, iaitu “korbankan apa sahaja untuk keselamatan umat”.
Ketiga: Bani Umayyah sentiasa bersaing dengan Bani Hashim sejak dahulu kala. Inilah yang mendorong beberapa orang pemerintah mereka seperti Yazid untuk melakukan kezaliman yang dahsyat.
Keempat: Antara penyokong Saidina Husain RA adalah terdiri daripada kaum selain Arab. Kerajaan Bani Umayyah yang menjadikan perkauman asas pemerintahan mereka, memandang kaum selain Arab sebagai hamba lalu mengguris hati dan perasaan kaum-kaum ini. Kemudian mereka menyertai pasukan Saidina Husain dengan hati yang penuh dendam dan ragu-ragu. Hal ini diketahui oleh Bani Umayyah, Maka terjadilah kezaliman yang tidak berperi kemanusiaan itu ke atas mereka.
Empat faktor yang disebutkan sebelum ini hanyalah faktor luaran. Namun jika kita melihat perkara ini dari sudut takdir, maka kita akan mendapat bahawa keputusan akhirat, kesultanan rohani dan peningkatan maknawi yang diperoleh Saidina Husain dan saudara-maranya sangat bernilai dan agung. Lalu, apa sahaja penderitaan yang mereka alami ketika tragedi itu terasa enteng dan mudah.
Analoginya seperti seorang tentera yang mati syahid akibat diseksa selama satu jam. Tentera itu memperoleh suatu darjat yang hampir-hampir tidak tercapai oleh orang lain kecuali perlu mengambil masa selama sepuluh tahun. Jika ditanya kepada tentera yang mati syahid itu tadi, pasti beliau akan menjawab, “Aku mendapat banyak perkara dengan perkara yang sedikit”.
84. Page
Rumusan soalan kamu yang keempat: Ramai manusia akan memasuki agama yang benar selepas Saidina Isa AS membunuh Dajjal pada akhir zaman. Sedangkan dalam banyak riwayat hadith, hari Kiamat tidak akan berlaku selagi mana ada orang yang mengucapkan, “Allah, Allah”. Bagaimana mereka akan menjadi kafir kesemuanya selepas mereka semua telah beriman?
Jawapannya: Orang-orang yang lemah imannya menolak hadith sahih yang meriwayatkan bahawa Nabi Isa AS akan turun kemudian melaksanakan syariat, dan membunuh Dajjal. Kalau hakikat kesemua riwayat ini dijelaskan pasti tidak ada yang akan menolak, berikut penjelasannya:
Terdapat banyak hadith berkaitan Sufyani dan Mahdi bahawa akan muncul dua aliran ateisme pada akhir zaman.
Aliran pertama: Golongan munafik akan diketuai oleh seorang lelaki yang menakutkan bernama Sufyani. Dia akan menentang risalah kenabian di sebalik tirai kemunafikannya dan dia akan berusaha sedaya upaya untuk menghancurkan syariat Islam. Kemudian akan muncul daripada Āli Bayt seorang yang bernama Muhammad Al-Mahdi menentangnya. Beliau akan memimpin golongan yang berpegang teguh dengan rantaian cahaya Āli Bayt lalu beliau akan menghapuskan golongan munafik di bawah pimpinan Sufyani.
Kedua: Aliran diktator Namrud. Aliran ini lahir daripada falsafah alam semula jadi dan materialisme. Golongan ini akan sentiasa muncul pada setiap zaman dengan medium falsafah materialisme dan akan semakin kuat pada akhir zaman. Aliran ini pada akhirnya akan sampai ke tahap menolak kewujudan tuhan. Seperti mana seorang gasar yang tidak mengiktiraf seorang raja dan dia menolak hakikat bahawa pegawai tentera dan askar adalah bala tentera raja tadi, lalu dia memberikan setiap orang dan setiap askar kuasa seorang raja. Begitulah juga keadaannya dengan seorang ateis, dia mengingkari kewujudan tuhan, lalu memberikan dirinya sendiri kuasa tuhan bagaikan Namrud kecil.
85. Page
Manakala Dajjal pula, ketua kedua-dua golongan tadi akan datang dengan membawa perkara-perkara di luar kebiasaan, antaranya mendatangkan roh-roh yang telah mati dan hipnotis akan melampaui batas apabila menggambarkan kerajaan diktatornya sebagai ketuhanan, malah mendakwa ketuhanan yang wajib disembah. Seperti mana sedia maklum, dakwaan ketuhanan daripada manusia yang lemah hancur di hadapan seekor lalat, apabila pendakwa tadi tidak mampu menciptakan walau sebelah sayap lalat sekali pun. Inilah dakwaan yang paling bodoh dan melucukan!
Pada waktu inilah, apabila aliran nampak begitu kuat, agama Saidina Isa AS yang hakiki akan muncul. Saidina Isa AS akan turun daripada langit rahmat Tuhan, lalu agama Kristian yang ada sekarang akan disucikan daripada sebarang khurafat dan penyelewengan. Agama ini akan bersatu dengan kebenaran Islam, mengikut petunjuk Al-Qur’an kerana ajaran Isa yang maknawi itu akan mengikut dan Islam akan diikuti. Kemudiannya agama akan menjadi sangat kuat dan agung hasil gabungan ini tadi. Kedua-dua agama Islam dan Kristian yang sebelumnya kalah apabila berhadapan dengan aliran ateisme, akibat saling bertelagah dan bercakaran antara satu sama lain, akan mendapat kekuatan dan persediaan untuk mengalahkan bahkan menghapuskan aliran ateisme tersebut di bawah pimpinan Saidina Isa AS, yang jasad manusiawinya berada di langit. Inilah apa yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW berdasarkan janji Allah Yang Maha Berkuasa, di mana janji Tuhan pasti akan berlaku.
Bahkan, Allah Tuhan Yang Maha Bijaksana dan Maha Agung mengutuskan para malaikat setiap masa dari langit ke bumi menyerupai manusia seperti mana Jibril AS diutuskan menyerupai Dihyah RA. Allah juga mengutuskan roh-roh daripada alam roh menyerupai manusia. Malah Allah mengutuskan roh-roh para wali yang sudah meninggal dunia dengan tubuh badan mereka. Maka, tidak mustahil, Allah boleh mengutuskan Saidina Isa AS yang masih hidup di langit dunia dengan jasadnya untuk tugasan yang penting dan agung sebagai penutup terbaik bagi ajaran agama Isa AS. Bahkan, jika Isa AS benar-benar mati dan telah sampai ke alam akhirat yang paling jauh sekali pun, tidaklah mustahil bagi Allah untuk mengembalikan baginda dengan jasadnya semula lalu diutuskan ke dunia untuk melaksanakan tugasan agung sebegini. Inilah janji Allah berdasarkan hikmah-Nya, maka sudah pasti perutusan baginda itu akan berlaku tanpa sebarang keraguan lagi.
86. Page
Tidak semestinya setiap orang akan mengenali Saidina Isa AS yang sebenar apabila baginda turun. Beliau akan dikenali oleh golongan yang hampir dengan beliau melalui cahaya iman. Manakala mereka yang berada dalam darjat yang rendah tidak akan mengenali baginda sama sekali.
Soalan: Ada beberapa riwayat yang menceritakan bahawa Dajjal mempunyai syurga untuk pengikutnya dan neraka untuk penentangnya. Diceritakan juga bahawa syurga dan neraka Dajjal ini berasal daripada kedua-dua belah telinga haiwan tunggangannya. Adakah ada ciri-ciri yang menerangkan besarnya Dajjal ini?
Jawapan: Bentuk Dajjal secara zahirnya ialah seperti manusia. Dia tertipu, lalu merasa takbur dan sombong. Dia adalah syaitan yang bodoh dan manusia yang licik. Dia menamakan kerajaan palsunya yang zalim itu dengan sifat ketuhanan. Tetapi aliran ateismenya, iaitu sifat maknawi bagi Dajjal itu sangat besar sekali. Tidak ada riwayat yang menceritakan sifat-sifat peribadi yang menakutkan khusus bagi Dajjal itu. Pada suatu hari, pernah dilukis gambar Panglima Tertinggi Jepun, sebelah kakinya di Lautan Pasifik dan sebelah kaki lagi di kubu Port Arthur, jarak antara keduanya mengambil masa sepuluh hari perjalanan. Lukisan bagi pemimpin Jepun yang kecil ini adalah untuk menggambarkan sifat maknawi tenteranya.
Syurga Dajjal pula adalah tarikan dan godaan yang menarik dan menipu masyarakat sekular.
Tunggangan Dajjal pula adalah sistem pengangkutan seperti kereta api. Di kepalanya ada tempat pembakar, dicampakkan ke dalamnya sesiapa yang mengingkari Dajjal. Telinga tunggangan Dajjal yang sebelah lagi -pada kepalanya yang satu lagi- dihamparkan dan dihiaskan seperti syurga, bagi mereka yang mengikuti Dajjal. Kereta api yang menjadi tunggangan terpenting bagi golongan sekular yang bodoh dan zalim itu membawa syurga Dajjal kepada golongan yang bodoh dan pencinta dunia. Manakala bagi golongan agama Islam yang sangat miskin pula, kereta api itu membawa kepada mereka pelbagai ancaman -seperti neraka Jahannam- dengan wasilah sekularisme, berupa tangkapan, penderitaan dan kesengsaraan.
87. Page
Walaupun agama benar yang dibawa Saidina Isa AS selepas kemunculan semula baginda akan tersebar cahayanya kepada kebanyakan manusia di dunia, namun satu aliran ateisme akan kembali bangkit sekali lagi apabila Kiamat semakin dekat dan aliran ini akan mendominasi dunia. Tiada lagi dalam kalangan penduduk bumi yang mengucapkan, “Allah, Allah” berdasarkan kaedah: “hukum bersama dengan majoriti”, iaitu tidak diucapkan “Allah, Allah” di atas muka bumi secara beramai-ramai dalam jumlah yang besar yang mempunyai kedudukan penting dalam masyarakat, tetapi mereka yang berpegang dengan kebenaran akan sentiasa ada sehinggalah terjadinya hari Kiamat, namun bilangan mereka ketika itu sangat sedikit dan telah didominasi pihak lawan. Roh-roh orang yang beriman akan dicabut terlebih dahulu sebagai rahmat kepada mereka supaya mereka tidak melihat kekalutan Kiamat ketika ia berlaku, dan golongan yang kufur akan bangkit untuk menyaksikannya.
Inti pati soalan kamu kelima: Adakah roh-roh yang kekal akan terkesan dengan peristiwa-peristiwa Kiamat?
Jawapan: Ya, roh-roh akan terkesan berdasarkan darjat masing-masing. Seperti mana para malaikat yang terkesan dengan zahirnya Allah yang Maha Perkasa. Manusia yang berada pada tempat yang hangat apabila melihat keadaan mereka yang menggigil kesejukan dalam salji di luar rumah pastinya akan berasa sedih dan merasai keperitan melalui akal dan hati sanubarinya. Begitu juga dengan roh yang mempunyai perasaan dan kesedaran, seperti yang diterangkan al-Qur’an tentang terpengaruhnya roh yang kekal dengan peristiwa yang berlaku di alam semesta berdasarkan darjat masing-masing. Roh-roh ini akan merasai kesengsaraan jika dalam kalangan golongan yang diazab dan roh-roh akan merasai kenikmatan jika tergolong dalam kalangan yang mendapat kebahagiaan. Al-Qur’an sentiasa menyebutkan kejadian hari Kiamat dengan laras bahasa ancaman, “demi sesungguhnya! - kamu akan melihatnya”. Orang yang melihatnya dengan jasad manusiawi akan merasai kejadian hari Kiamat, manakala roh-roh yang sudah terpisah daripada jasad di dalam kubur juga akan merasai ancaman al-Qur’an ini.
Inti pati soalan kamu keenam: Adakah ayat al-Qu’ran, “Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan Zat Allah” (surah al-Qasas: ayat 88)
termasuk hari akhirat, syurga neraka dan segala penghuninya atau pun tidak?
88. Page
Jawapan: Terdapat banyak perbincangan berkaitan isu ini dalam kalangan ulama’, para wali dan ahli kasyaf. Perbincangannya adalah seperti mana yang mereka bincangkan.
Ayat ini juga mempunyai keluasan dan banyak martabat. Kebanyakan ulama’ berpendapat: ayat ini tidak meliputi alam akhirat yang kekal. Sebahagian pula berpandangan: Alam akhirat yang kekal juga hancur cumanya dalam tempoh waktu yang sangat singkat, sehinggakan tidak terasa yang alam akhirat telah pun hancur musnah dalam waktu yang sangat singkat itu dan dikembalikan keadaannya seperti sedia kala.
Manakala, kehancuran mutlak seperti yang difahami oleh sebahagian ahli kasyaf yang melampaui batas itu tidak benar sama sekali. Hal ini kerana zat Allah itu Maha Kekal Abadi, maka segala nama dan sifat-Nya itu juga Maha Kekal Abadi tanpa sebarang keraguan. Oleh kerana nama dan sifat Allah itu Maha Kekal Abadi, maka tanpa syak lagi segala yang kekal di dalam alam akhirat itu -iaitu cerminan dan gambaran sifat kekal-Nya itu- kekal, tidak mungkin ia akan hancur secara mutlak.
Terlintas dalam fikiranku sekarang ini dua inti pati daripada al-Qur’an, yang akan diterangkan secara ringkas, seperti berikut:
Pertama, Allah sangat bermampuan yang mana kewujudan dan ketiadaan di sisi Allah Yang Maha Berkuasa bagaikan dua tempat. Allah boleh memindahkan antara kedua-duanya dengan sangat mudah. Jika Allah berkehendak, Allah yang Maha Berkuasa boleh memindahkan antara keduanya dalam satu hari dan jika Allah berkehendak, Allah yang Maha Berkuasa memindahkan antara keduanya dalam pada masa yang sama.
Ketiadaan mutlak juga tidak wujud sebenarnya, kerana ilmu Allah meliputi semua perkara. Tidak ada perkara yang wujud di luar ilmu Allah. Manakala ketiadaan dalam lingkungan ilmu ialah ketiadaan luaran sahaja dan ianya termasuk dalam konsep “kewujudan ilmiah” hinggakan ‘Ulama menamakan “kewujudan ilmiah” ini “benda-benda yang tetap”.
89. Page
Maka, perjalanan ke alam fana’ bererti menanggalkan baju luaran yang sementara dan memakai baju “kewujudan maknawi dan ilmi”, iaitu orang-orang yang telah mati meninggalkan kewujudan lahiriah lalu mereka memasuki kewujudan maknawi. Mereka keluar daripada “lingkungan takdir” kepada “lingkungan ilmu”.
Kedua, seperti mana yang sering diterangkan dalam “al-Kalimat”, semua perkara adalah fana’ menurut “makna nama”, dengan bersandarkan kepada dirinya. Ia tidak wujud secara bebas dan tidak kekal pada zatnya, ia juga tidak mempunyai hakikat yang berdiri dengan sendirinya. Tetapi ia bersandarkan kepada Allah Ta‘ala, iaitu jika menurut “makna harfi”, maka ia tidak fana’ langsung, kerana nama Allah yang Maha Kekal itu wujud, kerana membawa bayangan kewujudan abadi. Maka ia hakiki, kekal dan tinggi, kerana ia adalah bayangan kekal secara tidak langsung kepada nama Allah yang Maha Kekal.
Ayat “Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan Zat Allah” adalah pedang yang menghalang manusia daripada menyekutukan Allah dengan sesuatu. Hukum ayat ini merujuk kepada fana’ sementara dalam dunia sementara yang memotong sebarang hubungan dengan perkara sementara yang tidak membawa kepada Allah. Jika sesuatu perkara itu membawa kepada Allah, malah menurut makna harfi, kepada wajah Allah, maka ia tidak termasuk dalam perkara selain Allah yang dipenggal kepalanya dengan ayat “Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan Zat Allah”.
Kesimpulannya, setiap perkara yang membawa kepada Allah dan mengakui kewujudan Allah, maka ia tidak termasuk pengecualian “melainkan” sehingga perlu dipenggal kepalanya. Manakala, jika sesuatu perkara itu tidak membawa pengakuan kewujudan Allah dan tidak menghiraukan perhitungan Allah, maka perkara ini termasuk dalam pengecualian “melainkan”. Maka perkara-perkara ini wajib dipotong dan dicarikkan tirai penghadangnya menggunakan pedang “Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan Zat Allah” sehingga ia menjumpai Allah.
Hanya Allah yang Maha Kekal yang kekal abadi.