NAVIGATION
52. Page
Surat Kesebelas
بِاسْمِه۪ سُبْحَانَهُ وَاِنْ مِنْ شَئٍ اِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِه۪
Dengan nama Allah
“dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya;”
Ubat yang Penting
Surat ini mengandungi empat intipati kecil daripada empat khazanah ayat al-Qur’an.
Saudaraku yang mulia, al-Qur’an telah mengajarkan diriku empat isu yang pelbagai ini pada waktu yang berbeza-beza. Lalu aku catatkan ia supaya dapat dimanfaatkan sesiapa sahaja dari saudaraku yang ingin mengambil pengajaran dan pedoman. Intipati kecil ini dijelaskan sebagai contoh kepada khazanah hakikat bagi empat ayat al-Qur’an yang berbeza dari sudut perbahasannya. Setiap daripada empat perbahasan ini mempunyai gambaran dan faedahnya yang tersendiri.
Perbahasan Pertama:
اِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَع۪يفًا
“Kerana sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah.” (surah al-Nisa’: ayat 76)
Wahai jiwa yang berputus asa kerana teruknya gangguan waswas, sesungguhnya khayalan dan bayangan adalah sejenis imej yang di luar pilihan dan kehendak kita. Sesuatu imej itu jika terhasil daripada kebaikan dan cahaya maka ia dapat memancarkan hampir keseluruhan hakikatnya kepada imejnya. Seperti mana cahaya matahari dan bahangnya yang terpancar pada sebuah cermin. Namun jika imej itu terhasil daripada suatu kejahatan, maka hukum dan sifat asalnya tidak akan terpancar pada imejnya.
53. Page
Contohnya, imej suatu kotoran dan najis dalam cermin bukanlah najis atau kotoran. Begitu juga imej ular dalam cermin tidak akan mematuk.
Oleh itu, berdasarkan rahsia ini, gambaran kekufuran bukanlah suatu kekufuran, khayalan kutukan bukanlah suatu kutukan. Apatah lagi jika ia berlaku di luar kehendak kita, maka ia hanyalah suatu lintasan khayalan yang tidak memudaratkan langsung.
Selain itu, kehodohan dan kenajisan sesuatu perkara itu ditentukan oleh larangan Ilahi dalam mazhab Ahli Sunnah wal Jama‘ah yang benar. Oleh sebab khayalan dan bayangan adalah sejenis imej yang di luar pilihan dan kehendak kita, dan khayalan dan bayangan itu tidak tertakluk kepada larangan tadi, maka walau sehodoh dan senajis mana pun khayalan dan bayangan itu, ia tidak menjadi najis dan hodoh.
Perbahasan Kedua: Oleh kerana ia adalah “buah” daripada pokok pain (pine), pokok sedar (cedar) dan pokok Poplar Hitam di kawasan Tepelice, pergunungan “Barla”, maka perbahasannya terdapat dalam himpunan kitab “al-Kalimāt”. Oleh itu aku tidak menghuraikannya di sini.
54. Page
Perbahasa Ketiga: Isu ini dan seterusnya adalah sebahagian daripada contoh dalam “al-Kalimāt kedua puluh lima” yang menonjolkan dan mempamerkan kelemahan tamadun hari ini apabila berhadapan dengan mukjizat al-Qur’an.
Dua daripada seribu contoh ini membuktikan kezaliman hak asasi dalam tamadun moden yang bertentangan dengan al-Qur’an.
Hikmah al-Qur’an dalam ayat: فَلِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنْثَيَيْنِ
(“Maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan.” )
(surah al-Nisa’: ayat 176)
adalah keadilan sejati dan sumber rahmat.
Sesungguhnya ini adalah suatu yang adil. Apabila seseorang lelaki mengahwini seorang wanita, pada kebiasaannya si suami yang harus menanggung nafkah si isteri. Manakala seseorang wanita mengahwini seorang lelaki, lalu suaminya yang akan menanggung nafkahnya. Maka, dikurangkan bahagian perempuan daripada harta warisan.
Ini juga suatu rahmat al-Qur’an di mana, anak perempuan memerlukan kepada kasih sayang ayah dan rahmat saudara lelakinya. Inilah hikmah al-Qur’an apabila seorang ayah akan mengasihi anak perempuannya dengan sepenuh hati tanpa dicemari oleh perasaan takut dan waspada si ayah, sekiranya anak perempuannya itu adalah punca separuh hartanya jatuh ke dalam tangan orang asing. Kasih sayang si ayah tadi kepada anak perempuannya juga tidak menjadi faktor punca timbulnya rasa bimbang dan marah saudara lelakinya. Malah anak perempuan itu mendapat rahmat dan perlindungan daripada saudara lelakinya tanpa sebarang perasaan hasad dengki kerana dia tidak dianggap sebagai pesaing mereka dalam harta warisan. Kesucian perasaan rahmat dan perlindungan saudara lelakinya juga tidak ternoda dengan perasaan hasad dengki dan tidak puas hati mereka kerana dia tidak akan dipandang sebagai punca rosaknya separuh sistem keluarga apabila hilangnya sebahagian besar harta mereka kepada orang asing.
55. Page
Anak perempuan yang secara fitrahnya bersifat lemah lembut dan lemah ini kerugian sesuatu pada zahirnya sedangkan hakikat sebenarnya dia mendapat suatu khazanah yang tidak akan luput iaitu kasih sayang dan rahmat daripada ahli keluarganya. Oleh itu, pemberian harta kepada anak perempuan melebihi haknya, – seolah-olah kita bersifat lebih rahmat berbanding Allah Ta‘ala –, sebenarnya bukanlah suatu rahmat kepada anak perempuan itu. Bahkan suatu kezaliman yang nyata, apabila ia boleh membawa kepada kekejaman tanpa belas kasihan pada zaman manusia tamakkan dunia hari ini – seperti mana pembunuhan anak-anak perempuan pada zaman jahiliyyah dahulu disebabkan malu yang kejam –.
Maka hukum-hakam al-Qur’an kesemuanya – seperti mana hukum ini – mengesahkan firman Allah:
وَمَٓا اَرْسَلْنَاكَ اِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَم۪ينَ
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
(Surah al-Anbiya’: ayat 107)
Perbahasan Keempat:
فَلِاُمِّهِ السُّدُسُ
“Maka bahagian ibunya ialah satu perenam.”
(Surah al-Nisa’: ayat 11)
Seperti mana peradaban moden pada hari ini adalah punca berlakunya kezaliman apabila ia memberi anak perempuan lebih daripada yang dia layak, ianya juga akan berbuat kezaliman yang lebih besar dan dahsyat terhadap para ibu dengan menghalang hak mereka.
56. Page
Benar, Kasih sayang seorang ibu adalah manifestasi kasih sayang Rabbani yang paling indah dan cantik. Kasih sayang seorang ibu adalah sebaik-baik dan semulia-mulia hakikat penciptaan. Ibulah sahabat yang paling banyak berkorban, yang sanggup mengorbankan dunia, hidup dan kerehatannya kerana kasih sayangnya kepada anak-anaknya. Sehinggakan ayam betina yang pengecut sekali pun, iaitu martabat keibuan paling rendah, sanggup menerkam anjing dan menyerang singa untuk mempertahankan anak-anaknya kerana kasih sayang seorang ibu!
Oleh itu pengharaman si ibu – yang membawa perasaan yang begitu mulia dan terpuji antara tulang-tulang rusuknya – daripada mewarisi harta pusaka adalah suatu kezaliman, jenayah dan penghinaan yang besar. Ini adalah kekufuran nikmat yang menggegarkan ‘Arasy rahmat dan memasukkan racun dalam antidot yang penting bagi kehidupan sosial manusia. Jika manusia yang buas dan liar – yang sering berkempen untuk manusia saling berkasih sayang – itu tidak dapat memahami hakikat ini. Maka manusia yang sebenar-benar insan akan tetap memahami bahawa hukum al-Qur’an: “Maka bahagian ibunya ialah satu perenam.” Ialah kebenaran dan keadilan yang nyata.
اَلْبَاق۪ي هُوَ الْبَاق۪ي
(Hanya Allah yang Maha Kekal yang kekal abadi).