Surat Kesembilan

43. Page

Surat Kesembilan


بِاسْمِه۪ وَاِنْ مِنْ شَئٍ اِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِه۪

 


Dengan nama Allah 

“dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya;”


Sebahagian daripada surat yang dikirimkan kepada salah seorang muridnya yang ikhlas.


Kedua: Syabas dan tahniah! Kejayaan dan kesungguhan kamu dalam menyebarkan cahaya al-Qur’an adalah suatu anugerah Ilahi, bahkan keramat al-Qur’an dan pemeliharaan Rabbani. Memandangkan kita sedang berbicara tentang kurniaan, keramat dan pemeliharaan, aku akan terangkan perbezaan antara kurniaan dan keramat:


Menzahirkan keramat adalah suatu mudarat jika tiada keperluan mendesak. Manakala menzahirkan kurniaan adalah tanda bersyukur dengan nikmat. Jika berlaku kejadian luar biasa kepada orang yang diberikan keramat itu dalam keadaan dia mengetahuinya, sedangkan nafsu buruknya masih berbaki, maka keramat itu akan berubah menjadi istidraj, di mana dia akan menjadi sombong, terlampau bergantung kepada diri, keramat dan kasyafnya lalu akhirnya tertipu dengan dirinya sendiri. 


Sedangkan jika tidak berlaku apa-apa kejadian luar biasa kepadanya dan dia tidak mengetahuinya, contohnya timbul suatu persoalan dalam diri seseorang lalu beliau dapat menjawabnya dengan jawapan yang benar. Kemudian baru dia mengetahui perkara ini, maka bertambah pergantungannya kepada Allah Ta‘ala dan bukannya kepada dirinya sendiri. Lantas dia berkata: “Aku mempunyai penjaga yang memeliharaku lebih daripada diriku sendiri.” Semakin bertambahlah tawakkalnya kepada Allah. Keramat jenis ini tidak membawa mudarat, dan pemiliknya tidak diwajibkan untuk menyembunyikannya. Namun dia tidak boleh berusaha untuk menzahirkannya dengan sengaja untuk berbangga-bangga. Menzahirkannya akan membuatkan pemiliknya menisbahkan apa sahaja nikmat yang diperolehinya kepada dirinya sendiri dan bukan kepada Tuhannya.


44. Page

Manakala, kurniaan pula lebih selamat daripada keramat jenis kedua dan lebih tinggi nilainya – di sisiku –, kerana menzahirkannya adalah tanda bersyukur dengan nikmat dan kurniaan juga tidak disandarkan kepada diri atau usaha pemiliknya.


Wahai saudaraku, sesungguhnya apa sahaja pandangan dan tulisanku yang berkaitan dengan nikmat Tuhan yang dikecapi kita berdua, terutamanya tentang al-Qur’an dalam dakwah kita sejak sekian lama adalah kurniaan Tuhan. Oleh itu menzahirkannya adalah tanda bersyukur dengan nikmat ini. 


Oleh itu, aku menulis kepadamu kejayaan kita berdua dalam dakwah sebagai tanda bersyukur dengan nikmat, kerana aku yakin surat ini akan menyuburkan rasa syukur dalam dirimu dan bukannya rasa bangga.


Ketiga: Aku melihat bahawa manusia paling bahagia dalam kehidupan di dunia ini adalah orang yang memandang dunia sebagai tempat bertamu untuk persediaan akhirat. Lalu dia menjalani kehidupan dan beramal menurut gambaran tadi. Dengan pandangan hidup ini dia dapat cepat mencapai keredhaan Tuhan (martabat tertinggi kehidupan dunia). Dia tidak akan menilai kaca yang mudah pecah dengan berlian yang tidak akan jatuh nilainya, lalu dia hidup dalam keadaan beristiqamah dan bahagia.


45. Page

Kehidupan di dunia adalah seperti kaca yang mudah pecah, sedangkan kehidupan akhirat yang kekal adalah seperti berlian yang tidak akan jatuh nilainya. Oleh itu, perasaan manusia secara fitrahnya; sifat ingin tahu yang tinggi, cinta yang mendalam, keinginan yang mendalam dan kehendaknya yang mendesak, semuanya itu diberikan Allah untuk mencapai akhiratnya. Jika disalahgunakan untuk mencapai kehidupan dunia yang sementara semata-mata, maka dia seolah-olah telah menilai kaca yang mudah pecah dengan berlian yang tidak akan jatuh nilainya. Maka,aku teringat satu anekdot:


Cinta adalah perasaan yang sangat kuat. Jika mencintai makhluk yang bersifat sementara, sama ada cinta akan membawa pemiliknya kepada kesakitan dan keperitan yang berpanjangan atau akan memandu pemiliknya ke arah pencarian cinta hakiki. Kerana cinta sementara itu tidak layak dicintai dengan begitu mendalam, lalu berubahlah cinta sementara itu kepada cinta hakiki.  


Dalam diri manusia ada seribu macam perasaan. Setiap satu mempunyai dua jenis sepertimana cinta, iaitu yang bersifat sementara dan yang hakiki. 


Contohnya, perasaan risaukan masa depan ada dalam diri setiap manusia. Perasaan risau yang melampau ini terjadi apabila seseorang itu tidak memiliki apa-apa jaminan atau sandaran bahawa dia akan sampai kepada masa hadapan yang dirisaukannya itu. 


Tambahan pula, masa depan singkat yang terjamin rezekinya, tidak perlu kepada kerisauan melampau itu. Jesteru itu, keadaan ini membuatkan seseorang itu berpaling arah dan maka dia akan menuju ke arah kehidupan selepas kubur dimana disitulah masa hadapan yang hakiki dan panjang tetapi tidak terjamin bagi orang-orang yang lalai.


46. Page

Manusia juga sangat cintakan harta dan pangkat. Lalu dia melihat kekayaan yang berada di hadapan itu hanyalah sementara dan kemasyhuran itu akan luput dan lenyap. Manakala pangkat itu akan membawanya kepada sifat riak yang tidak selayaknya bagi kecintaannya itu. Oleh itu, dia akan berpaling arah dan dia akan menuju ke arah; martabat maknawi, darjat yang tinggi, bekalan akhirat yang merupakan pangkat hakiki, serta amalan soleh yang merupakan harta hakiki. Maka keinginan sementara yang dianggap suatu sifat yang keji akan bertukar menjadi satu keinginan yang hakiki yang dianggap suatu sifat yang tinggi dan terpuji.


Contoh lain: Manusia menghabiskan perasaannya kepada perkara-perkara remeh-temeh yang sementara dengan penuh kedegilan. Dengan kedegilannya itu, dia sanggup berdegil selama setahun penuh untuk perkara-perkara yang tidak layak difikirkan walau satu minit sedangkan ianya hanyalah memudaratkan dan merosakkan dirinya. Lalu dia mendapati bahawa perasaan ini tidak diberikan kepadanya untuk perkara-perkara remeh-temeh ini, dan tingkah lakunya selama ini hanyalah bertentangan hikmah dan hakikat. Oleh itu, dia akan berpaling daripada kepada perkara-perkara remeh-temeh yang sementara tadi dan menumpu ke arah hakikat keimanan, asas-asas Islam dan amalan akhirat yang tinggi dan kekal. Maka kedegilan sementara tadi yang merupakan suatu sifat yang keji dan hina telah bertukar menjadi kedegilan yang hakiki yang merupakan suatu sifat yang tinggi dan terpuji, iaitu kegigihan dalam kebenaran. -bertukar kepada pegangan yang kukuh ke atas kebenaran


47. Page

Jika seseorang manusia menggunakan kelengkapan maknawinya itu untuk memuaskan hawa nafsu dan untuk tujuan dunia semata-mata seperti yang disebutkan dalam tiga contoh sebelumnya, serta dia bertindak dengan lalai seolah-olah dia akan kekal di dunia selama-lamanya, maka kelengkapan maknawi yang ada padanya akan menjadi punca kejahatan dan pembaziran yang sia-sia. 


Manakala, jika dia menggunakan kelengkapan maknawi tadi secara sederhana untuk urusan dunianya dan secara berlebihan untuk akhiratnya, maka kelengkapan tadi akan menghasilkan akhlak yang baik, wasilah mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat bertepatan dengan hikmah dan hakikat.


Pada pandanganku, inilah antara sebab mengapa tidak berkesannya nasihat pemberi nasihat pada zaman ini: pemberi nasihat ini menasihati golongan yang rosak akhlak: “Jangan berhasad dengki, jangan kedekut, jangan bermusuhan, jangan berdegil dan jangan cintakan dunia!”. ini bermakna mereka memberi nasihat yang hampir mustahil untuk diamalkan oleh golongan yang menerima nasihat pada pandangan zahir mereka. Seolah-olah pemberi nasihat ini meminta golongan yang dinasihatinya untuk mengubah tabiat mereka. Jika dia menasihati mereka untuk: halakan dan tumpukan kesemua kelengkapan maknawi ini kepada perkara-perkara kebajikan dan kebaikan, barulah nasihatnya akan memberi kesan dan benar-benar menjadi nasihat kerana ia berada dalam skop pilihan dan kemahuan mereka.


48. Page

Keempat: Perbezaan antara Islam dan iman telah menjadi banyak perbahasan ulama, ada yang mengatakan kedua-duanya sama. Ada juga yang berpandangan kedua-duanya tidak sama namun tidak terpisah. Lalu dibawakan buah fikiran dan pendapat untuk menyokong pendirian mereka. Aku pula memahami adanya perbezaan seperti berikut:


Sesungguhnya Islam adalah iltizam dan iman adalah penyerahan diri, iaitu Islam adalah menyokong dan tunduk kepada kebenaran, manakala iman pula adalah menerima dan membenarkan kebenaran. 


Aku melihat ada beberapa orang ateis pada masa dahulu yang sangat menyokong dan mendokong hukum-hakam al-Qur’an, iaitu ateis itu telah mendapat Islam dengan beriltizam kepada kebenaran dari satu sudut, lalu dikatakan kepadanya seorang Muslim tetapi tidak beriman. Aku juga melihat ada beberapa orang Mukmin yang tidak menyokong dan tidak beriltizam dengan hukum-hakam al-Qur’an, lalu dikatakan kepada mereka: Mukmin tetapi tidak Muslim. Alangkah peliknya, adakah iman tanpa Islam boleh menjadi wasilah penyelamat?


Jawapan: Sepertimana Islam tanpa iman tidak boleh menjadi wasilah penyelamat, begitu jugalah iman tanpa Islam tidak boleh menjadi wasilah penyelamat.


Segala puji bagi Allah yang telah menerangkan dan menjelaskan sejelas-jelasnya Rasā’il al-Nūr dengan mukjizat maknawi al-Qur’an “buah” agama Islam dan hakikat al-Qur’an sehinggakan jika ateis sekalipun memahaminya, maka tidak mungkin bagi mereka untuk tidak menyokongnya. Ia juga menerangkan bukti-bukti keimanan dan Islam sehinggakan jika seorang bukan Islam memahaminya, maka pasti dia akan membenarkan dan mempercayainya tanpa syak walaupun dia kekal sebagai bukan Islam.


49. Page

Ya“Al-Kalimāt” telah menerangkan “buah” iman dan Islam yang baik dan lazat seperti buah-buahan terbaik syurga. “Al-Kalimāt” juga menjelaskan hasilnya yang baik dan manis seperti kebahagiaan dunia dan akhirat, di mana ia menimbulkan perasaan yang tidak terbatas kepada sesiapa sahaja yang memandangnya dan mengenalinya kepada ketaatan, iltizam dan penyerahan diri. Selain itu, “Al-Kalimāt” menjelaskan bukti-bukti iman dan Islam yang kuat, seperti kuatnya rantaian penciptaan, dan banyak, seperti banyaknya zarah. Lalu ia memberikan rasa keimanan yang kuat tanpa terbatas, sehinggakan kadang-kadang ketika aku mengulangi penyaksian dalam al-Awrād al-Bahā’iyyah, apabila tiba pada: 

على ذلك نحيا , وعليه نموت , وعليه نبعث غداً  

Dengannya kami hidup, dengannya kami mati dan dengannya jua kami akan dibangkitkan semula kelak. 


Lalu aku merasai ketaatan yang tidak terbatas, di mana jika ditawarkan kepadaku dunia seluruhnya sekali pun aku tidak sanggup mengorbankan walau satu hakikat keimanan. Oleh itu, aku tidak dapat menanggung peritnya andaian hilangnya satu hakikat keimanan walau untuk satu minit sekali pun. Jika aku miliki dunia seluruhnya, tanpa ragu-ragu aku akan menyerahkan segala-galanya untuk mendapatkan satu hakikat keimanan itu. Ketika aku membaca:

وآمنا بما أرسلت من رسول، وآمنا بما أنزلت من كتاب وصدقنا

Kami beriman dengan utusan-Mu dan kami beriman dengan kitab-Mu, serta membenarkannya. 


Lalu aku merasai keimanan kukuh yang tidak terbatas. Aku percaya penukaran setiap hakikat keimanan tidak boleh dierima akal, maka aku melihat orang-orang sesat sangat bodoh dan gila. 


Sampaikan salamku kepada kedua orang tuamu, titipkan kepada mereka berdua dengan namaku penghormatan dan penghargaan yang tinggi dan mohonlah daripada kedua-duanya doa buatku. Mereka berdua ibarat kedua ibu bapaku, kerana kamu seperti saudaraku sendiri. Sampaikan juga salamku kepada penduduk kampung, terutama mereka yang mendengar “Al-Kalimāt” daripadamu.

  

Hanya Allah yang Maha Kekal yang kekal abadi.

Said Nursi