Surat Ketiga

15. Page

Surat Ketiga


Ini adalah sebahagian daripada surat yang dikirimkan kepada muridnya yang terkenal. 

Kelima: Kamu telah menulis dalam sepucuk suratmu bahawa kamu ingin berkongsi perasaanku di sini. Dengarlah satu per seribu daripadanya:


Pada suatu malam, aku memandang ke arah langit yang dihias indah dengan bintang-bintang. Aku ketika itu berada di dalam ran di atas pokok cedar yang menyamai ketinggian bangunan seratus tingkat. Aku melihat cahaya mukjizat yang tinggi dan rahsia sastera yang agung pada sumpah al-Qur’an:

فَلَٓا اُقْسِمُ بِالْخُنَّسِ ⧫ اَلْجَوَارِ الْكُنَّسِ 

“Oleh itu, Aku bersumpah dengan bintang-bintang yang tenggelam timbul; Yang beredar, juga yang tetap pada tempatnya” 

(surah al-Takwīr: ayat 15-16)


Ayat-ayat ini merujuk kepada taburan planet-planet dan lenyapnya ia pada pandangan orang yang melihatnya bagaikan sulaman halus dan tapestri berseni yang begitu indah. 


Planet-planet ini muncul daripada orbit yang diketuai matahari, dan memasuki orbit bintang-bintang tetap yang lain. Lalu terbentuklah suatu sulaman indah di langit yang sentiasa berubah-ubah. Ada ketikanya mereka bergerak bersama-sama bintang lain yang serupa dengannya membentuk suatu gambaran yang cukup indah. Ada ketikanya pula, planet-planet ini memasuki gugusan bintang-bintang kecil yang lain dan menjadi ketua mereka. Terutamanya pada musim ini, apabila planet Zuhrah muncul selepas maghrib di ufuk langit dan bintang yang sama cerah dengannya muncul sebelum waktu fajar. Kedua-duanya membentuk suatu suasana yang begitu indah. Kemudian, kedua-duanya kembali kepada orbit matahari yang terang-benderang semula selepas menyelesaikan tugasan mereka sebagai “pemeriksa” dan “kapal angkasa” dalam “sulaman” yang sangat halus dan berseni lalu menyembunyikan diri. Ini menunjukkan kebesaran sifat rububiyyah Tuhan yang menggerakkan bumi dan planet-planet lain yang dipanggil al-khunnas dan al-kunnas dalam ayat di atas bagaikan kapal laut atau kapal terbang dengan susunan yang begitu rapi. Ini juga menunjukkan keagungan sifat uluhiyyah Tuhan yang terang-benderang bagaikan cahaya matahari.  

16. Page

Lihatlah keagungan kerajaan dan kekuasaan Tuhan. Di sana adanya “kapal laut dan kapal terbang” yang jauh lebih besar seribu kali ganda dari bumi kita. Kapal-kapal ini bergerak sangat pantas melepasi jarak lapan jam perjalanan dalam masa satu saat sahaja. Renungilah dan fahamilah kebahagiaan yang sangat tinggi ini, kemuliaan bersandarkan kepada kerajaan dan kekuasaan agung ini melalui ibadah dan iman serta undangan sebagai tetamu di atas dunia ini.


Kemudian, aku memandang ke arah bulan, lalu aku melihat ayat suci

وَالْقَمَرَ قَدَّرْنَاهُ مَنَازِلَ

“Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa peringkat...”

(surah Yāsīn: ayat 39)  

yang menjelaskan cahaya mukjizat yang bercahaya terang.


Penentuan takdir, peredaran, cahaya dan interaksi bulan dengan matahari dan bumi berlaku dengan begitu teliti, sehingga menghairankan dan menggerunkan akal yang memikirkannya. Hal ini memberi suatu gambaran kepada sesiapa yang melihatnya bahawa penentu di sebalik takdir ini yang menyusun dan mengaturkan bulan sebegini rupa mampu melakukan apa sahaja. 

17. Page

Bulan pula beredar mengelilingi matahari dengan begitu ajaib sekali. Bulan tidak pernah tersilap atau tersasar dari orbitnya walau sesaat! Bulan juga tidak pernah cuai daripada tugasnya walau sebesar zarah!! Hal ini membuatkan sesiapa sahaja merenung kata-kata: سُبْحَانَ مَنْ تَحَيَّرَ ف۪ي صُنْعِهِ الْعُقُولُ “Maha suci Tuhan yang menakjubkan akal pada setiap ciptaan-Nya”!!!

Apabila bulan sabit memasuki kawasan bintang terutamanya pada akhir bulan Mei, bagaikan suatu dahan putih pohon kurma yang melentur. Bintang Tujuh pula bagaikan gugusan buah kurma. Di sana seolah-olah adanya sebuah pohon cahaya besar di sebalik tirai langit yang hijau. Seakan-akan adanya pangkal dahan itu mengoyak tirai tadi lalu mengeluarkan pangkalnya bersama-sama salah satu gugusan buahnya. Kedua-duanya membentuk bulan sabit dan Bintang Tujuh. Lalu tergambar pada pandangan sesiapa yang melihatnya, seolah-olah bintang-bintang lain bagaikan buah-buahan bagi pohon ghaib tersebut. Maka terzahirlah perumpamaan dan retorik ayat: كَالْعُرْجُونِ الْقَد۪يمِ 


(berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering

(surah Yāsīn: ayat 39)

  

Lalu aku teringat ayat:

هُوَ الَّذ۪ي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ ذَلُولاً فَامْشُوا ف۪ي مَنَاكِبِهَا

Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya

(surah al-Mulk: ayat 15)


yang menerangkan hakikat bahawa bumi ini bagaikan sebuah kenderaan atau kapal yang mudah dikemudikan. Aku melihat diriku berada di atas puncak sebuah bahtera besar yang belayar pantas membelah lautan cakerawala.

18. Page

Aku juga membaca ayat

سُبْحَانَ الَّذ۪ي سَخَّرَ لَنَا هٰذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِن۪ينَ 

“Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya”

(surah al-Zukhruf: ayat 13) 


yang disunatkan untuk membacanya ketika menaiki kenderaan seperti kuda atau kapal.


Aku juga mendapati pergerakan bumi ini bagaikan alat pemancar panggung wayang, dengan pergerakan langitnya yang memandu bintang-bintang bagaikan tentera yang menggerunkan dan membentuk suatu gambaran yang mempesonakan hati dan jiwa mereka yang berfikir. Lalu aku mengucapkan: Maha suci Allah! Dengan beban yang begitu ringan mampu mencapai banyak perkara yang hebat, pelik, ajaib, tinggi dan tidak ternilai!! Lalu terlintas di fikiranku dua anekdot:


Pertama: salah seorang tetamuku beberapa hari lalu bertanya kepadaku suatu soalan yang dipenuhi keraguan: 


Syurga dan neraka itu sangat jauh. Kita tahu ahli syurga terbang sepantas kilat dan burāq dengan kurniaan Tuhan. Bagaimana pula caranya ahli neraka bergerak menuju ke neraka dengan tubuh mereka yang berat dan dosa mereka yang menggunung?

19. Page

Jawapan Yang Terlintas Di Hatiku Ialah:

Jika diadakan sebuah perhimpunan agung di Amerika dan dijemput setiap bangsa di dunia, pasti mereka akan datang dengan menaiki kapal besar mereka masing-masing. Demikian juga dengan bumi yang biasa bergerak dalam perjalanan jauh yang mengambil masa dua puluh lima ribu tahun bagi melengkapkan tempoh satu tahun di alam cakerawala, boleh membawa kesemua penghuninya ke padang Mahsyar dan menghimpunkan mereka semua di sana.


Kemudian bumi mengeluarkan neraka Jahannam Kecil yang terletak di teras bumi dengan suhu sekitar 200,000°C -suhu akan bertambah sebanyak 1°C bagi setiap 33 meter-, seperti yang diterangkan dalam hadith dan menggabungkannya dengan neraka Jahannam Besar. Sepertimana dijelaskan dalam hadith, neraka Jahannam Kecil ini menjalankan beberapa tugas neraka Jahannam Besar di dunia dan di alam Barzakh. Setelah itu terbentuklah suatu gambaran indah yang kekal abadi menurut aturan Tuhan dan menjadi sebahagian daripada alam akhirat. 

Kedua

Tuhan yang Maha Pencipta, Maha Berkuasa, Maha Bijaksana, Maha Esa menjadikan perkara yang sedikit mampu membuat kerja yang banyak dan perkara yang kecil dapat menyiapkan tugasan yang besar. Semua ini adalah bukti kekuasaan, hikmah kebijaksanaan dan bukti keesaan-Nya.


Aku telah jelaskan dalam bab al-Kalimāt bahawa jika kesemua perkara ditugaskan kepada satu orang, pasti perkara itu mudah diselesaikan. Manakala jika perkara-perkara tadi ditugaskan kepada beberapa pihak, pasti timbul banyak masalah dan hampir mustahil perkara tersebut dapat disiapkan. Hal ini kerana seorang pegawai tentera atau seorang jurubina dengan mudah boleh mengatur tentera-tentera atau batu bata yang banyak dengan satu arahan sahaja untuk mendapatkan hasil. Sedangkan jika ditugaskan salah seorang askar dalam pasukan tentera tadi atau sebiji batu pada kubah yang tergantung tanpa tiang untuk mendapatkan aturan dan hasil yang sama, pasti sangat sukar mendapat hasilnya melainkan setelah melalui sebegitu banyak kerja, masalah dan kekeliruan.

20. Page

Maka jika setiap putaran, peredaran, pergerakan dan pergantian empat musim dan siang malam disandarkan kepada satu kesatuan, maka dengan menggerakkan satu objek dengan satu arahan sahaja, terjadilah apa yang Tuhan yang Maha Esa takdirkan. Allah Maha Berkuasa menunjukkan keajaiban ciptaan-Nya dalam pergiliran empat musim dan pertukaran siang dan malam serta pergerakan bintang-bintang, matahari dan bulan yang menakjubkan. Hal ini kerana semuanya ini adalah milik Allah. Jika Allah mahu, Allah Maha Berkuasa menjadikan; askar sekecil bumi sebagai komander kepada semua bintang; matahari yang hebat itu sebagai lampu yang memanaskan dan menerangi penduduk bumi; empat musim yang menjadi tanda kekuasaan-Nya sebagai kapal angkasa; siang dan malam yang menjadi halaman menulis hikmah-Nya sebagai busur panah. Allah juga menjadikan bulan dengan bentuknya yang berbeza-beza pada setiap hari sebagai kalendar untuk mengira masa. Sebagaimana Allah menjadikan bintang-bintang bagaikan lantera yang dihias cantik, menarik dan bercahaya terang yang berada pada tangan para malaikat yang menari dengan penuh keghairahan, maka Allah boleh menunjukkan banyak hikmah penciptaan yang dapat dilihat dari bumi. Kalaulah Allah tidak mengatur, menyusun, mengawal dan mengawasi kesemua ini, pastilah matahari dan bintang-bintang terpaksa menempuh perjalanan yang tiada terbatas setiap hari dengan pergerakan sebenar menggunakan kelajuan yang tidak terbatas. 


Ahli perniagaan dan usahawan membina syarikat untuk menyatukan kepelbagaian kerana terdapat banyak kemudahan dalam kesatuan dan banyak kesukaran timbul daripada kepelbagaian.


Maka, terdapat banyak kesukaran dalam kesesatan dan terdapat kesenangan yang banyak pada jalan hidayah dan kesatuan. 


Hanya Allah yang Maha Kekal yang kekal abadi.


Said Nursi