Surat Ketiga Belas

67. Page


Surat Ke-13


بِاسْمِه۪ وَاِنْ مِنْ شَئٍ اِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِه۪

 

اَلسَّلَامُ عَلٰي مَنِ اتَّبَعَ الْهُدٰي وَالْمَلَامُ عَلٰي مَنِ اتَّبَعَ الْهَوٰي


Dengan nama Allah 

“dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya;”


Salam sejahtera kepada siapa yang mengikuti jalan hidayah dan celaan kepada siapa yang mengikuti jalan hawa nafsu.


Saudara-saudaraku yang dimuliakan,


Kamu kerap bertanya tentang khabar dan keadaanku; sebab aku tidak meminta pegawai bertugas untuk mengeluarkan dokumen; faktor aku tidak cakna dengan perkembangan politik semasa. Oleh sebab soalan-soalan ini kerap ditanyakan kepadaku, maka aku akan menjawab tiga persoalan ini menggunakan lidah Sa‘īd yang lama, dan bukannya Sa‘īd yang baru.


Soalan kamu yang pertama: Apa khabar dan bagaimana keadaanmu?

Jawapan: Sesungguhnya aku bersyukur seratus ribu kali kepada Allah kerana telah menukarkan pelbagai jenis kezaliman ahli dunia kepadaku menjadi rahmat yang pelbagai. 


Ketika aku memikirkan akhirat dalam gua di mana-mana pergunungan, aku tinggalkan urusan politik dan dunia. Ahli dunia mengusir dan mengeluarkan aku dari sana, lalu Allah Tuhan yang Maha Penyayang dan Maha Bijaksana menjadikan hukuman buang negeri ini suatu rahmat bagiku. Allah telah mengeluarkan aku daripada hidup keseorangan di suatu pergunungan yang dipenuhi dengan banyak faktor yang mengganggu keikhlasan hati kepada suatu hidup bersendirian di pergunungan “Barla” yang tenang dan tenteram serta menimbulkan perasaan ikhlas dalam diri. Ketika aku menjadi tawanan perang di Rusia, aku telah berniat dan memohon kepada Allah Ta‘ala untuk bersendirian pada akhir hayatku di dalam gua. Lalu Tuhan yang Maha Pemurah menjadikan “Barla” sebagai gua itu dan aku mendapat manfaat yang banyak daripadanya walaupun jasadku yang lemah tidak merasai kesukaran kehidupan di dalam gua. . Di “Barla”, ada tiga orang lelaki yang sangat banyak berilusi dan was-was. Ketika ramai rakanku memikirkan kerehatanku, sebenarnya ilusi-ilusi mereka itu memudaratkan hatiku untuk berkhidmat kepada al-Qur’an pada masa yang sama. Walaupun ahli dunia memberikan dokumen kepada setiap orang yang dihukum buang negeri, mengeluarkan banduan dari penjara dan memaafkan jenayah banduan-banduan ini, namun aku dizalimi dengan tidak diberikan ketiga-tiga hak ini. Tetapi Tuhanku yang Maha Penyayang mengekalkan aku dalam keadaan terasing ini tanpa rasa bimbang dan resah. Allah menukarkan keadaan ini menjadi suatu rahmat yang besar agar aku dapat banyak memanfaatkannya untuk berkhidmat kepada al-Qur’an, lalu aku dapat menulis banyak ‘cahaya’ al-Qur’an yang dinamakan “al-Kalimāt”. 

68. Page

Kemudian ahli dunia memberikan kebebasan kepada orang yang dihukum buang negeri dalam kalangan mereka yang berpengaruh dan berkuasa untuk kekal aktif dalam kehidupan seharian masyarakat mereka di luar sana. Malah, mereka dibenarkan untuk bertemu dengan ahli keluarga, sanak saudara dan rakan taulan mereka. Sedangkan aku diasingkan secara zalim ke suatu perkampungan yang jauh dan tiada siapa dibenarkan bertemu denganku kecuali seorang dua sahaja. Lalu Tuhan yang Maha Pemurah menukarkan keadaan terasing dan terbuang ini kepada suatu rahmat besar bagiku, apabila Allah menenangkan dan menyucikan fikiranku untuk aku menerima ‘aliran’ al-Qur’an sepenuhnya, jauh daripada penipuan dan kongkongan.


Ahli dunia menganggap 2 pucuk surat yang ditulisku selama dua tahun sebagai perkara yang melampau, Mereka masih berkeras untuk tidak membenarkan mana-mana tetamu pun melawatku sama ada pada sepuluh hari sekali atau dua puluh hari sekali, malah sebulan sekali semata-mata untuk tujuan akhirat pun tidak dibenarkan. Mereka benar-benar telah menzalimiku, lalu Tuhan yang Maha Penyayang dan Maha Bijaksana menjadikan kezaliman ini suatu rahmat bagi aku. Allah meletakkan aku dalam keadaan berseorangan yang aku harapkan, selama tiga bulan ini yang membolehkan aku untuk memanjangkan umur maknawiku kepada sembilan puluh tahun. 


Segala puji bagi Allah pada setiap keadaan dan ketika, inilah keadaanku. 


69. Page

Soalan keduamu: Mengapa aku tidak memohon dokumen? 


Jawapan: Aku terikat dengan hukum takdir dalam permasalahan ini dan aku tidak terikat dengan hukuman ahli dunia. Oleh itu, aku bergantung kepada takdirku, aku akan meninggalkan tempat ini apabila takdirku mengizinkanku dan apabila rezeki di sini telah terputus. Hakikatnya adalah: 


Ada dua faktor penyebab kepada apa sahaja yang menimpa manusia; pertama, faktor lahiriah dan kedua, faktor hakiki. Ahli dunia adalah faktor lahiriah yang membawaku ke sini, manakala takdir Tuhan adalah faktor hakiki. Lalu Allah telah mentakdirkan kepadaku untuk berseorangan di sini. Boleh jadi faktor lahiriah menzalimi kita, tetapi tidak bagi faktor hakiki. Faktor lahiriah boleh beranggapan bahawa:


“Lelaki ini berkhidmat untuk ilmu dan agama dengan penuh keazaman, kegigihan dan kesungguhan.” Lalu mereka menjatuhkan hukuman buang negeri kepadaku, kerana bimbang aku masuk campur dalam urusan dunia mereka dan mereka zalimi aku dengan kezaliman berganda-ganda.

Manakala takdir Ilahi melihat aku belum betul-betul mampu untuk melaksanakan kewajipan berkhidmat kepada ilmu agama dengan ikhlas sepenuh hati, lalu Allah menjatuhi aku hukuman buang negeri ini dan menukarkan kezaliman berganda tersebut menjadi rahmat yang berganda-ganda pula.


Oleh sebab takdir Allah sebenarnya yang telah menjatuhkan hukuman buang negeri dan hukuman ini pula adil, maka aku merujuk kepada Allah. Manakala faktor lahiriah pula, adanya perkara remeh-temeh yang dianggap sebagai sebab dan hujah untuk dijadikn sebagai sandaran. Oleh itu, tiada makna aku merujuk kepada mereka, kerana jika mereka mempunyai hak dan sebab yang kuat, barulah aku patut merujuk kepada mereka. 


70. Page

Oleh sebab aku sudah meninggalkan dunia mereka - semoga dunia itu menghancurkan mereka - sepenuhnya dan aku telah meninggalkan politik mereka -semoga politik itu menjadi memusnahkan mereka- secara mutlak, maka apa sahaja fikiran dan komplot mereka tiada nilai langsung. Maka aku tidak mahu merujuk kepada mereka kerana aku tidak ingin memperjelaskan lagi kebobrokan ilusi itu dengan hakikat yang sebenar. Jika benar aku ingin berkecimpung dalam dunia politik yang dikawal oleh orang asing itu, mengapa aku perlu bersembunyi selama lapan tahun, bahkan lapan jam sekalipun. Pasti aku akan mencalonkan namaku dan menonjolkan diriku. Aku juga tidak berminat untuk membaca suatu akhbar pun sejak lapan tahun yang lalu. Malah, sejak empat tahun aku di bawah pantauan, tiada sebarang tanda atau bukti yang mengesahkan dakwaan itu. Oleh itu, berkhidmat untuk al-Qur’an mempunyai martabat yang tinggi dan mulia, mengatasi kesemua politik, malah al-Qur’an menyebabkan aku menolak politik dunia yang dipenuhi dengan tipu daya dan pembohongan. 


Sebab kedua adalah, menyandarkan kebenaran kepada pihak yang menganggap kezaliman itulah kebenaran adalah suatu bentuk kezaliman. Aku tidak mahu terbabit dalam kezaliman seperti ini. 


71. Page

Soalan ketiga: Mengapa kamu langsung tidak mengendahkan isu politik antarabangsa sehingga ke tahap ini? Dan tidan mengubah pendirian kamu terhadap peristiwa-peristiwa dunia? Adakah kamu gembira dan mengalu-alukannya? Adakah kamu diam kerana kamu takut dengannya? 


Jawapan: Kerja-kerjaku dalam dakwah al-Qur’an telah menghalangku daripada dunia politik, bahkan telah menyebabkan aku tidak sempat berfikir tentang politik. Peristiwa-peristiwa dalam hidupku menyaksikan bahawa rasa takut tidak pernah mengenal diriku, dan tak pernah menahanku mengikuti jalan kebenaran dan ia takkan sekali-kali mampu menahanku!


Apa yang perlu aku takutkan? Mengapa aku perlu takut? Aku tiada hubungan dengan dunia selain dengan ajalku. Aku tidak mempunyai anak dan isteri yang perlu aku fikirkan. Aku tidak memiliki harta yang perlu aku bimbangkan. Aku juga tidak perlu risau dengan nama baik keluarga dan keturunan! Semoga Allah merahmati mereka yang menghancurkan reputasi dan kemasyhuran duniawi, suatu kemasyhuran palsu dan hipokrit! Bukannya kepada mereka yang menjaganya! Aku tiada apa-apa lagi kecuali ajalku, itu pun di tangan Tuhanku yang Maha Agung. Siapa yang mampu campur tangan sebelum kedatangan ajalku? Malah kami adalah dalam kalangan mereka yang lebih rela mati dalam keadaan mulia dan terpuji berbanding hidup dalam keadaan hina dan keji!


Seorang penyair yang menyerupai Sa‘īd yang lama berkata: 


Kami adalah manusia yang tiada pertengahan di kalangan kami,

Samada kami mengatasi sekelian orang atau dikuburi  


72. Page

Malah kerja-kerja dakwah kepada al-Qur’an telah menghalangku daripada berfikir tentang kehidupan sosiologi dan politik manusia. Hal ini kerana:

Kehidupan manusia adalah suatu perjalanan. Aku telah melihat dengan cahaya al-Qur’an bahawa pada zaman ini, jalan ini membawa kepada tanah berlumpur dan manusia berjalan di jalan ini tidak tentu arah dan tunggang terbalik di dalam lumpur yang tercemar dan kotor. Sebahagian mereka berjalan di jalan yang aman dan selamat. Sebahagian yang lain pula menjumpai cara untuk membuang lumpur dan selut itu, lalu kebanyakan mereka melalui jalan berlumpur, berselut dan berbau busuk dalam kegelapan malam. Dua puluh peratus daripada mereka kerana kemabukan mereka, menyangkakan jalan berlumpur, berselut dan berbau busuk ini adalah kasturi dan amber, lalu mereka menyapunya ke muka dan mata mereka. Kemudian mereka terus berjalan di dalam lumpur itu tunggang terbalik sehingga tenggelam ke dalamnya. Manakala lapan puluh peratus pula, mengetahui hakikat tanah berlumpur tersebut. Mereka juga menyedari yang jalan itu berselut, berbau busuk dan kotor, tetapi mereka kebingungan dan tidak mampu melihat jalan yang aman dan selamat.


Maka, ada dua penyelesaian kepada mereka:


Pertama: Menyedarkan dua puluh peratus yang mabuk itu dengan penukul.

Kedua: Menunjukkan jalan yang selamat kepada golongan yang kebingungan dengan menyuluh mereka.


Aku melihat sekiranya lapan puluh peratus daripada golongan itu menghalakan penukul yang berada di tangan mereka ke arah golongan dua puluh peratus yang berbaki. Namun, ia takkan menunjukkan cahaya yang benar buat golongan lapan puluh peratus tadi yang daif dan kebingungan. Malah, jika cahaya disingkapkan untuk mereka sekalipun, ia tidak akan jadi selamat kerana mereka memegang penukul dan cahaya pada kedua-dua belah tangan mereka. Maka, orang yang kebingungan akan risau dan bertanya; “Agaknya dia mahu mengumpan aku dengan cahaya, supaya dia dapat memukulku dengan penukul?!”


73. Page

Kadang-kadang penukul boleh pecah dalam keadaan-keadaan tertentu dan cahaya itu boleh hilang dan terpadam. 


Tanah berlumpur itu ialah kehidupan masyarakat manusia yang berdosa, fasiq, lalai dan berada dalam kesesatan. Golongan yang mabuk itu pula ialah mereka yang menderhaka dan menikmati kesesatan itu. Manakala orang-orang yang kebingungan itu ialah mereka yang membenci kesesatan dan ingin menjauhinya tetapi mereka tidak mampu keluar daripada kesesatan. Mereka ingin berlepas diri daripada kesesatan tersebut tetap tidak menemui jalan keluar, merekalah golongan yang bingung. Penukul itu pula ialah aliran-aliran politik.  


Cahaya itu pula ialah hakikat Qur’ani yang tidak akan diterima dengan pergaduhan dan pertengkaran, hakikat ini juga tidak diterima dengan permusuhan dan perseteruan. Hanya syaitan yang direjam sahaja yang membenci dan tidak menyukai hakikat Qur’ani ini. Oleh itu aku katakan, “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan politik” untuk aku dapat memegang cahaya al-Qur’an dan aku campakkan penukul politik itu tadi supaya dapatku pegang cahaya itu dengan kedua-dua belah tanganku.


Aku telah melihat dalam semua aliran politik -sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang-, mereka yang mencintai cahaya al-Qur’an. Kedua-dua pihak tidak sepatutnya paranoid atau fobia dengan pengajaran al-Qur’an dan cahayanya yang terpancar daripada tempat yang tinggi dan suci, yang mengatasi semua aliran politik dan bias. Kerana pengajaran dan cahaya al-Qur’an itulah yang membebaskan mereka daripada bias kefahaman politik. Tidak ada siapa pun yang akan menuduh ajaran dan cahaya al-Qur’an kecuali golongan yang menganggap ateisme sebagai politik. Mereka yang cenderung kepada aliran ini adalah syaitan berupa manusia atau haiwan berbaju manusia. 


Sesungguhnya aku -segala puji bagi Allah- dengan jauhnya aku daripada politik, aku tidak merendahkan hakikat dan martabat al-Qur’an daripada nilai intan menjadi kaca di bawah retorik politik. Bahkan seiring peredaran masa, semakin bertambah nilai-nilai intan tersebut pada mata setiap golongan dengan cahaya yang bergemerlapan.


اَلْحَمْدُ لِلّٰهِ الَّذ۪ي هَدٰينَا لِهٰذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَوْلآَ اَنْ هَدٰينَا اللّٰهُ


 

لَقَدْ جَٓاءَتْ رُسُلُ رَبِّنَا بِالْحَقِّ

 

اَلْبَاق۪ي هُوَ الْبَاق۪ي

(“Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya); sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran”

Hanya Allah yang Maha Kekal yang kekal abadi.)

Said Nursi  


Surat Ke-14


Belum Ditulis Lagi.