Surat Pertama

1. Page

 

 

بِسْــــــــــــــــــــــــــــــــــــــــمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّح۪يمِ

 وَ بِه۪ نَسْتَع۪ينُ

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Dengan-Nya kami memohon pertolongan.

 

SURAT PERTAMA

 

Jawapan ringkas bagi empat soalan.

 

Soalan pertama: Adakah Nabi Khiḍr AS masih hidup? Jika masih hidup, mengapa sebahagian tokoh ulama tidak menerima pernyataan ini?

 

Jawapan: Sebenarnya baginda masih hidup. Walau bagaimanapun, kehidupan mempunyai lima peringkat dan baginda berada di peringkat kedua. Oleh sebab itu, sebahagian ulama meragui status hayat baginda.

 

Peringkat pertama  kehidupan: Kehidupan kita pada hari ini. Kehidupan pada peringkat ini terikat dengan banyak batasan.

 

Peringkat kedua  kehidupan: Kehidupan Khiḍr dan Nabi Ilyās AS. Kehidupan pada peringkat ini sedikit bebas. Contohnya, baginda berdua boleh berada di beberapa tempat pada suatu masa yang sama dan tidak terbatas seperti kita yang sentiasa memerlukan bahan asasi manusia. Ada ketikanya baginda berdua makan dan minum seperti kita pada bila-bila masa sahaja yang baginda berdua mahu. Namun, baginda berdua tidak memerlukan  keperluan asasi manusia ini pada setiap masa. Peristiwa benar yang terjadi antara para wali dan Khiḍr AS seperti yang diceritakan secara mutawatir oleh para wali yang kasyaf mengesahkan kewujudan peringkat kehidupan kedua ini. Malah, salah satu peringkat kewalian dikenali sebagai “Maqām al-Khiḍr”. Wali yang sudah mencapai peringkat ini boleh bertemu dengan Khiḍr dan mengambil ilmu terus daripada baginda. Kadangkala berlaku salah anggapan bahawa wali pemilik peringkat ini ialah Khiḍr AS itu sendiri. 


2. Page

Peringkat ketiga kehidupan: Peringkat kehidupan Nabi Idrīs dan Nabi ‘Īsā AS. Peringkat ini mempunyai ciri cahaya yang menyerupai kehidupan malaikat yang alSyeikhtidak lagi perlu kepada sebarang keperluan asasi manusia. Baginda berdua berada di langit dengan tubuh manusia yang sempurna yang bercahaya dan jasad berunsurkan sinaran bintang.

 

Manakala intipati hadis yang menerangkan turunnya Nabi ‘Īsā AS pada akhir zaman nanti dan beramal dengan syariat Nabi Muḥammad SAW[1] ialah Nabi ‘Īsā akan memerangi kekufuran dan ateisme yang berasal daripada fahaman falsafah tabii pada akhir zaman bagi memurnikan kembali ajaran yang dibawa oleh baginda ‘Īsā AS sebelumnya daripada perkara-perkara khurafat lalu ajaran ini akan diubah menjadi agama Islam. Nabi ‘Īsā akhirnya akan membunuh al-Dajjāl sekaligus menghapuskan kefahaman ateisme.

 

Peringkat keempat pula ialah kehidupan para syuhada. Kehidupan mereka lebih tinggi dan mulia berbanding ahli kubur yang lain berdasarkan dalil daripada al-Quran al-Karim. Oleh sebab mereka telah mengorbankan kehidupan mereka di dunia pada jalan kebenaran, maka Allah dengan limpahan-Nya mengurniai mereka kehidupan di alam Barzakh, seakan-akan mereka masih hidup di dunia. Namun dalam kehidupan baru mereka ini tiada lagi kebimbangan, kesedihan atau kesukaran hidup. Mereka tidak tahu bahawa mereka telah mati, tetapi mereka tahu yang mereka telah berpindah ke alam lain yang lebih baik. Lalu, mereka merasai kebahagiaan hakiki tanpa merasai sakitnya maut.

 

Walaupun roh ahli kubur juga kekal tetapi mereka tidak merasai nikmat kebahagiaan seperti yang dirasai oleh para syuhada kerana ahli kubur itu tahu yang mereka sudah pun mati. Sebagaimana dua orang yang bermimpi memasuki sebuah istana indah di dalam syurga dan salah seorang daripada mereka tahu bahawa dia sedang bermimpi. Maka, dia tidak dapat menikmati keindahan itu kerana dia tahu, sebaik sahaja dia terjaga daripada tidurnya, keindahan istana itu akan hilang. Berbeza dengan seorang lagi yang tidak tahu bahawa dia sedang bermimpi, maka dia benar-benar menikmati keindahan istana itu. Begitulah juga perbezaan ketara antara kehidupan ahli kubur dan para syuhada di alam Barzakh.    


[1] Hadis riwayat al-Bukhārī bernombor 2222 dan Muslim bernombor 155 daripada Abū Hurayrah RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Demi Tuhan yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, pada saat akhir zaman nanti Nabi ‘Īsā bin Maryam akan turun dengan hukum-hakam yang adil. Baginda akan mematahkan salib, membunuh babi dan mengagihkan harta kepada semua sehingga tiada seorang pun yang mahu mengambilnya lagi”. Al- ‘Irāqī RA dalam kitab Ṭarḥ al-Tathrīb, jilid 7, halaman 255 menerangkan: Nabi ‘Īsā akan turun sebagai hakim yang berhukum dengan syariat Islam dan bukannya sebagai Nabi yang membawa risalah kerasulan yang baru. Syariat Islam akan terus kekal sehingga hari kiamat dan tiada lagi nabi yang akan diutuskan selepas Nabi Muḥammad seperti yang dijelaskan dalam hadis baginda.




3. Page

Para syuhada mendapati kehidupan pada peringkat ini dengan sangkaan mereka bahawa mereka masih hidup dikukuhkan dengan peristiwa dan riwayat yang tidak terkira. Banyak peristiwa yang membuktikan kewujudan kehidupan pada peringkat ini seperti kisah perlindungan Saidina Ḥamzah penghulu para syuhada terhadap sesiapa yang meminta pertolongan beliau. Beliau membantu memenuhi hajat dan keperluan mereka atau membawa orang lain untuk memenuhi hajat tersebut. 

 

Aku sendiri mempunyai seorang anak saudara bernama ‘Ubayd, yang juga anak muridku. Dia telah terbunuh syahid disisiku ketika menyelamatkanku. Kemudian aku menjadi tawanan perang di suatu tempat yang mengambil masa selama tiga bulan perjalanan. Selepas itu, aku bermimpi benar yang aku memasuki kuburnya yang menyerupai sebuah rumah di bawah tanah sedangkan aku tidak tahu di mana dia disemadikan. Aku melihatnya menjalani kehidupan para syuhada. Dia menyangkakan yang aku sudah mati dan memberitahuku yang dia banyak menangis mengenangkan aku. Lalu dia bina sebuah rumah yang cantik untuk dirinya di bawah tanah kerana bimbang ditawan Rusia dan dia menyangkakan yang dia masih hidup! Mimpi ini memberikanku keyakinan yang teguh bahawa kehidupan para syuhada itu benar dengan beberapa tanda dan syarat.


4. Page

Peringkat kelima kehidupan pula ialah kehidupan rohani bagi ahli kubur. Ya kematian itu adalah pertukaran tempat tinggal, bebasnya roh dan tiada lagi bebanan hidup. Kematian bukanlah suatu kemusnahan, kehancuran atau keadaan tidak wujud. Banyak bukti yang menunjukkan hakikat kehidupan pada peringkat terakhir ini. Sebagai contoh, zahirnya roh para wali di hadapan para ahli kasyaf, komunikasi ahli kubur dengan manusia dalam keadaan tidur atau sedar dan mereka memberitahu perkara-perkara yang benar-benar berlaku di alam nyata.

 

Malah, Kalimah Kedua Puluh Sembilan adalah bab khas yang membicarakan hal tentang kekalnya roh manusia pada peringkat ini dengan dalil-dalil yang qatie.

 

Soalan kedua: Jelas daripada ayat kedua surah al-Mulk:

Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat); 

 

dan beberapa ayat al-Quran al-Karim yang seumpanya bahawa kematian adalah makhluk seperti kehidupan dan kematian juga adalah suatu nikmat. Sedangkan maut itu secara zahirnya ialah penguraian, kehancuran, pereputan menamatkan kehidupan dan menghilangkan nikmat dunia. Maka bagaimana dikatakan kematian itu suatu makhluk dan nikmat?

 

Jawapan: Sebagaimana yang diterangkan pada bahagian akhir jawapan soalan pertama tadi iaitu kematian adalah kebebasan daripada urusan hidup, kerehatan, pertukaran tempat tinggal, perubahan kewujudan dan jemputan serta permulaan kepada kehidupan yang kekal abadi.

 

Sebagaimana kehidupan hadir dengan ciptaan dan pemilihan serta penentuan taqdir, begitu juga kehidupan berakhir dengan ciptaan dan penentuan, malah begitu terancang dengan sangat rapi dan bijaksana. Kematian bagi tumbuh-tumbuhan -strata hidupan paling asas- menunjukkan keajaiban ciptaan yang lebih kreatif daripada kehidupannya. Kematian bagi buah-buahan, biji-bijian dan biji-biji benih pada zahirnya nampak berakhir dengan proses pereputan dan penguraian. Tetapi proses ini sebenarnya adalah hasil daripada tindak balas kimia yang kompleks, hasil campuran unsur-unsur dengan kadar yang begitu teliti dan gabungan partikel yang penuh halus. Kematian biji-bijian yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar ini sebenarnya membawa kepada berlakunya kehidupan bagi tunas-tunas baru. Memandangkan kematian adalah makhluk seperti kehidupan, maka kematian juga dicipta dengan begitu kreatif dan terperinci.

 

Begitu juga kematian buah-buahan atau haiwan-haiwan yang dimakan oleh manusia ialah permulaan kepada kehidupan mereka dalam hidup manusia. Oleh itu, kematian lebih teliti dan kreatif ciptaannya berbanding kehidupan mereka.

 


5. Page

Jika kematian tumbuh-tumbuhan -strata terakhir hidupan- adalah makhluk dan lebih kreatif dan teliti ciptaannya, begitulah juga dengan kematian manusia – strata hidupan tertinggi. Biji benih yang ditanam di dalam tanah menjadi pohon di alam nyata; begitulah manusia yang dikebumikan di dalam tanah menjadi tangkai kehidupan kekal abadi di alam Barzakh.

 

Manakala, kematian sebagai nikmat pula mempunyai banyak wajah, kami akan huraikan hanya “empat wajah”.

 

Pertama: Kematian membebaskan manusia daripada urusan dan tugasan yang menjadi bebanan hidup. Malah kematian adalah penghubung manusia untuk bertemu kembali dengan 99% sahabat baik mereka yang telah berada di alam Barzakh. Oleh itu, ia dianggap nikmat yang terbesar.

 

 

Kedua: Kematian mengeluarkan manusia daripada penjara dunia yang sempit, derita, sengsara, dan sukar dan memasuki kehidupan yang luas dengan rahmat Allah yang Maha Pemurah, serta disusuli dengan kemenangan kekal abadi, bahagia, tenang dan tidak sengsara.

 

Ketiga: Ada banyak faktor yang menyebabkan kehidupan seharian menjadi sangat sukar dan membebankan, antaranya ialah penyakit tua. Maka kamu dapati kematian sebenarnya adalah nikmat yang lebih besar daripada nikmat kehidupan. Contohnya, ibu bapamu yang sudah sangat tua dan sakit membuatkan kamu rasa sedih, apatah lagi jika bersama-sama mereka berdua di hadapanmu sekarang ada nenek moyangmu dengan keadaan yang lebih daif, pasti kamu sedar bahawa kehidupan ketika itu adalah suatu malapetaka dan kematian pula suatu nikmat.

 

Contoh lain: kita boleh bayangkan kehidupan yang sangat sukar bagi Anthomyiidae (sejenis lalat yang suka dengan bunga) ketika musim sejuk. Maka kematian bagi lalat ini pada ketika tersebut adalah suatu rahmat baginya.

 

Keempat: Sebagaimana tidur adalah kerehatan dan rahmat bagi orang yang ditimpa musibah, cedera dan sakit, begitu juga dengan kematian – fasa  yang lebih tinggi dari tidur – adalah  rahmat dan kerehatan bagi orang yang ditimpa bala bencana yang hampir-hampir mendorong mereka membunuh diri.

 

Manakala orang yang sesat sebagaimana yang sering dibuktikan dalam kitab “Al-Rasā’il”, kematian bagi mereka sama seperti kehidupan meraka yang penuh derita, sengsara dan azab. Hal ini di luar perbincangan kita kali ini.

 


6. Page

Soalan ketiga: Di manakah neraka Jahanam?

 

Jawapan: Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang masa kedatangannya) hanya ada pada sisi Allah (surah al-Mulk, ayat 26). “Tiada sesiapa pun yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!”.

 

Ada beberapa riwayat yang mengatakan bahawa neraka Jahanam berada di bawah bumi. Kami telah terangkan pada beberapa perbincangan yang lain bahawa peredaran bumi setiap tahun membentuk satu bulatan di suatu medan yang akan menjadi padang Mahsyar kelak. Oleh itu, neraka Jahanam berada di bawah orbit peredaran bumi ini.

 

Manakala neraka Jahanam tidak dapat dilihat, disentuh dan dirasai kerana neraka itu terlindung dan dibuat daripada api yang tidak bercahaya. Sebagaimana ciptaan-ciptaan yang banyak berada sangat jauh dari bumi, tidak dapat dilihat kerana tidak bercahaya. Demikian juga kita tidak dapat melihat makhluk-makhluk lain dengan mata kasar kerana tidak bercahaya walaupun berada di hadapan mata kita sebagaimana kita tidak dapat melihat bulan sepenuhnya setiap kali apabila hilang cahayanya.

 

Neraka Jahanam terbahagi kepada dua; neraka Jahanam Kecil dan neraka Jahanam Besar. Neraka Jahanam Kecil bagaikan biji benih yang akan berkembang menjadi neraka Jahanam Besar apabila tiba masanya. Neraka Jahanam Kecil terletak di teras bumi iaitu bahagian bumi paling bawah. Ilmu geologi mengesahkan bahawa suhu akan bertambah sebanyak 1°C apabila bumi digali sedalam 33 meter. Ini bermakna, jika dikira separuh diameter bumi adalah sekitar 6000 km, maka suhu teras adalah lebih kurang 200,000°C, kira-kira 200 kali ganda lebih panas daripada api pada ukur lilit bumi seperti yang diterangkan dalam hadis.

 

Neraka Jahanam Kecil menjalankan bebarapa tugas neraka Jahanam Besar di dunia dan di alam Barzakh sebagaimana dijelaskan dalam hadis. Sebagaimana bumi akan menghimpunkan manusia di padang Mahsyar yang terletak dalam orbit peredaran bumi pada hari akhirat kelak, bumi juga ditugaskan untuk menyerahkan neraka Jahanam Kecil yang terletak di teras bumi kepada neraka Jahanam Besar.

 


7. Page

Manakala pandangan beberapa tokoh Muktazilah bahawa neraka akan diciptakan kemudian dengan alasan neraka belum dihamparkan dengan hamparan yang sempurna dan belum terdedah sepenuhnya untuk ahli neraka pada masa kini. Pendapat ini adalah salah dan tidak tepat.

 

Jika mahu melihat atau menunjukkan betapa luasnya alam akhirat -yang terhijab- dengan mata kasar kita, sama ada kita perlu mengecilkan saiz alam menjadi dua wilayah atau kita perlu membesarkan mata kita sebesar bintang, barulah kita dapat menentukan kedudukan alam akhirat.

 

Maka, adalah mustahil untuk melihat keluasan alam akhirat dengan mata kasar kita pada hari ini. Namun, neraka mempunyai hubung kait dengan dunia kita sekarang sebagaimana diterangkan dalam beberapa riwayat hadis. Antaranya ialah hadis berkaitan kepanasan melampau pada musim panas, “sesungguhnya ia bahang api neraka”[1]. Jadi kita tidak dapat melihat neraka Jahanam Besar dengan mata kita yang terbatas, namun kita mampu melihatnya dengan cahaya nama Allah “al-Ḥakīm”:

 

Neraka Jahanam Besar yang berada di bawah orbit peredaran bumi seolah-olah telah menjadikan neraka Jahanam Kecil yang terletak di teras bumi sebagai wakil bagi menjalankan tugas-tugasnya.

 

Kerajaan Allah itu maha luas dan neraka Jahanam Besar berada pada mana-mana kedudukan yang telah ditetapkan oleh Allah.


[1] Abū Dhār al-Ghifārī berkata: Ketika kami sedang bersama dengan Nabi SAW dalam suatu perjalanan, seorang muazzin ingin melaungkan azan Zohor lalu Nabi SAW menegurnya: “Tunggu teduh dahulu”. Kemudian muazzin itu sekali lagi cuba melaungkan azan namun ditegah Nabi SAW: “Tunggu teduh dahulu” sehinggalah kami menemui bayang-bayang sebuah bukit, lantas Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya kepanasan melampau adalah bahang api neraka. Apabila cuaca terlampau panas, tunggu teduh dahulu barulah kamu mengerjakan solat.” Hadis riwayat al-Bukhārī bernombor 514 dan 3085, Muslim bernombor 615, 616 dan 617, al-Ḥākim bernombor 5092, Ibn Ḥibbān bernombor 1504, Ibn Khuzaymah bernombor 329, Abū Daud bernombor 401, Ibn Mājah bernombor 677 dan al-Tirmidhī bernombor 157.   




8. Page

Allah Taala dengan firman-Nya “Jadilah engkau! Maka ia terus menjadi”, telah menetapkan hubungan bumi dan bulan sebagaimana yang dapat kita lihat dengan penuh hikmah, teratur dan teliti. Allah juga mengaturkan hubungan bumi dan matahari dengan begitu teliti. Allah yang Maha Berkuasa juga menggerakkan matahari dan bintang-bintangnya ke arah raja segala matahari -menurut satu kebarangkalian- dengan kelajuan menghampiri kelajuan peredaran bumi bagaikan armada yang dihiasi lampu elektrik yang menerangi alam sebagai tanda keagungan-Nya. Malah dengan kebesaran-Nya, Allah menjadikan neraka Jahanam Besar sebagai pemanas kepada kilang cahaya elektrik yang menjana tenaga dan haba kepada bintang-bintang di langit untuk memancarkan cahaya hingga ke alam akhirat. Bintang-bintang itu mendapat cahaya daripada syurga dan mendapatkan api dan haba daripada neraka. Allah juga menjadikan neraka Jahanam sebagai tempat tinggal dan penjara bagi ahli neraka.

 

Allah Maha Berkuasa telah menjadikan pohon sebesar bukit berasal daripada sebiji benih sebesar kuku, maka Allah juga Maha Berkuasa menjadikan neraka Jahanam Besar berasal daripada neraka Jahanam Kecil yang terletak di teras bumi.

 

Oleh itu, syurga dan neraka ibarat dua biji buah yang berada pada hujung suatu dahan yang berjuntaian selama-lamanya bagi sebatang pohon penciptaan.

 

Maka, syurga dan neraka ibarat hasil daripada rantaian penciptaan yang berada di penghujung rantaian itu, yang rendah dan berat berada di bahagian bawah dan yang bercahaya dan tinggi berada di bahagian atas.

 

Kedua-duanya ibarat tempat penyimpanan hasil usaha di muka bumi. Penentu tempat penyimpanan ini berdasarkan kualiti hasil tuaian, yang rosak di bahagian bawah dan yang elok di bahagian atas.


9. Page

Kedua-duanya ibarat kolam yang menghimpunkan arus sungai penciptaan makhluk yang mengalir sampai bila-bila. Tempat dihimpunkan itu pula berdasarkan tempat terhentinya arus sungai tadi, yang keji dan kotor di bahagian bawah dan yang elok, suci dan murni di bahagian atas.

 

Pada kedua-duanya juga tempat manifestasi belas ihsan dan rahmah serta kemurkaan dan keagungan. Manakala tempat manifestasi itu boleh terjadi di mana-mana sahaja mengikut kehendak Allah yang Maha Berkuasa.   

 

Bukti kewujudan syurga dan neraka telah dijelaskan dalam bab “Kalimah Kesepuluh”, “Kalimah Kedua Puluh Lapan” dan “Kalimah Kedua Puluh Sembilan” dengan bukti-bukti yang sangat kukuh. Namun, kami ingin tegaskan sekali lagi di sini bahawa kepercayaan wujudnya buah sabit dengan bukti-bukti yang kukuh sebagaimana keyakinan wujudnya dahan. Begitu juga dengan kewujudan hasil sebagaimana wujudnya rantaian, kewujudan tempat penyimpanan sebagaimana kewujudan hasil tuaian, kewujudan kolam sebagaimana kewujudan sungai, kewujudan tempat manifestasi sebagaimana kewujudan rahmah dan kemurkaan.

 

Soalan Keempat: Bolehkah cinta majazi dalam diri kebanyakan manusia terhadap dunia berubah kepada cinta hakiki sebagaimana cinta majazi kepada benda-benda kesayangan diubah kepada cinta hakiki?

 

Jawapan: Ya, jika cinta maknawi yang dilarang kerana terlalu mencintai dunia yang fana’ mula berubah kepada cinta hakiki apabila pencinta dunia tadi mula nampak buruk dan hodohnya dunia yang bersifat sementara. Lalu, dia beralih kepada cinta yang kekal. Lantas dia diberikan petunjuk untuk mencintai dua wajah dunia yang lain yang sangat indah, iaitu cerminan bagi nama Allah dan ladang akhirat. Syaratnya, dia tidak terkeliru antara dunianya yang sementara yang terikat dengan hayatnya dan dunia realiti di luar sana. Jika dia lupa dan leka seperti orang yang sesat dan lalai yang lain lalu hanyut dan menyangkakan yang dunianya yang sementara itu adalah dunia realiti dan mencintainya, maka dia akan tergelincir dan tenggelam dalam lumpur pemikiran semula jadi. Hanya cahaya hidayah yang dapat menyelamatkannya daripada lemas. Hakikat ini dapat dijelaskan dengan analogi berikut:


10. Page

Jika ada empat buah cermin besar pada empat sisi sebuah bilik yang dihias cantik bagi empat orang daripada kita, maka kita akan ada lima buah bilik. Sebuah bilik yang sebenar dan umum dan imej empat buah bilik yang sama dan khusus. Setiap seorang daripada kita dapat mengubah bentuk dan warna imej biliknya dengan menggunakan cermin masing-masing. Jika cermin diwarnakan merah, maka imej bilik akan menjadi merah, jika cermin diwarnakan hijau pula, imej bilik akan menjadi hijau. Kita juga boleh mengubah keadaan imej bilik menjadi cantik atau buruk bahkan kita boleh mengubah bentuk imej bilik dengan memanipulasikan cermin. Namun, kita tidak dapat mengubah bilik sebenar sewenang-wenangnya, kerana bilik sebenar dan imej bilik walaupun pada asasnya nampak sama, tetapi tidak serupa. Kita dapat menghancurkan imej bilik masing-masing dengan hanya satu jari, sedangkan kita tidak dapat menggerakkan walau seketul batu pun di bilik yang lain.

 

Begitu juga dunia kita diibaratkan seperti sebuah rumah yang dihias indah dan hayat kita adalah sebuah cermin besar. Setiap seorang daripada kita ada dunianya masing-masing. Namun tiang, paksi dan pintu kedua-duanya adalah hayat kita. Demikian juga dunia kita masing-masing boleh diibaratkan seperti selembar kertas dan hayat kita adalah sebatang pen yang akan mencatatkan segala amalan kita dalam buku amalan masing-masing. Jika kita mencintai dunia kita masing-masing kemudian kita sedar, merasai dan mengetahui bahawa dunia ini -yang hanya menumpang hayat kita- hanyalah sementara dan tidak kekal seperti hayat kita, nescaya cinta kita akan berubah dan kita mula mencintai nama-nama Allah yang Maha Indah yang terpahat dalam dunia kita masing-masing. Lalu terzahir manifestasi nama-nama Allah. 

 

Jika kita ketahui bahawa dunia kita hanyalah ladang sementara bagi akhirat dan syurga, maka kita akan berusaha mengubah perasaan dan jiwa kita kepada kesungguhan, kegigihan dan kecintaan yang sangat mendalam untuk mendapatkan faedah-faedah akhirat kelak sebagai hasil tuaian usaha kita. Ketika itu, cinta maknawi tadi akan berubah menjadi cinta hakiki. Jika tidak, orang itu termasuk dalam golongan yang disebutkan dalam ayat 19, surah al-Ḥashr:

“Orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik – derhaka” 

 

Mereka melupai diri mereka dan tidak memikirkan yang dunianya akan berakhir. Malah mereka yakin bahawa dunia itu kekal seperti hayat mereka dan mereka tidak akan mati. Lalu mereka berpaut kepada dunia dengan sepenuh perasaan, lantas hanyut dan akhirnya tenggelam dan lemas dalam dunia mereka sendiri.  

 

Cinta sebegini adalah suatu musibah dan azab yang tiada kesudahan kerana cinta ini melahirkan rasa simpati dan hampa kepada semua jenis hidupan yang indah tetapi akan hancur akhirnya. Dia akan terkesan dengan peritnya perpisahan kerana tidak mampu berbuat apa-apa lalu dia merasai kesakitan yang amat ketara.

 

Namun bagi lelaki pertama tadi yang sedar daripada kelalaian ini, dia mempunyai penawar bagi rasa simpati ini apabila dia mengetahui bahawa kematian bagi setiap hidupan yang dikasihinya adalah cerminan bagi roh yang kekal yang memanifestasikan nama Allah yang Maha Kekal Abadi. Lalu perasaan simpati dan hampa tadi bertukar menjadi kegembiraan.

 

Dia juga melihat di sebalik kematian setiap makhluk itu adalah tanda penambahbaikan, pembaharuan kelazatan dan kesenian ciptaan. Lalu dia semakin merasai kelazatan, rindu dan rasa kagum.

 

Hanya Allah yang Maha Kekal sahaja yang akan kekal abadi.

 

Sa ‘īd