Kilauan Kedua Puluh Satu

205. Page

KILAUAN KEDUA PULUH SATU: RISALAH IKHLAS


Kilauan Kedua Puluh Satu


Sebenarnya kilauan ini ialah Masalah Keempat daripada tujuh masalah bagi Nota Ketujuh Belas dalam Kilauan Ketujuh Belas. Oleh sebab ia berkaitan dengan keikhlasan, ia menjadi Noktah Kedua bagi Kilauan Kedua Puluh. Namun, berdasarkan kenuraniannya ia dimasukkan ke dalam himpunan Kilauan sebagai Kilauan Kedua Puluh Satu.

Kilauan ini hendaklah dibaca paling kurang sekali dalam masa lima belas hari.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ

 “وَلاَ تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْۖ”

…dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gagal dan hilang kekuatanmu.

 “وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ”

…dan berdirilah untuk Allah (dalam solatmu) dengan khusyu'.

قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا””

Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.

”وَلاَ تَشْتَرُوا بِآيَاتِي ثَمَنًا قَلِيلاً “

…dan janganlah kamu menukarkan ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit!

Wahai saudara-saudara akhiratku dan wahai sahabat-sahabatku dalam khidmat al-Quran. Sebenarnya kalian tahu namun ketahuilah! Asas terpenting, kekuatan terbesar, pemberi syafaat paling diterima, noktah persandaran terkukuh, jalan hakikat terpendek, doa maknawi paling makbul, wasilah tujuan paling berkaramah, akhlak tertinggi dan ubudiyyah termurni di dunia ini, terutamanya dalam khidmat-khidmat ukhrawi ialah keikhlasan.

Banyak nur dan kekuatan seperti ciri-ciri yang disebutkan terdapat dalam keikhlasan. Di samping itu, walaupun kita amat sedikit, daif, fakir dan tidak 


206. Page

berdaya, namun satu tugas keimanan kurniaan Ilahi dan khidmat al-Quran yang amat berat, besar, umum dan suci telah diletakkan ke atas bahu kita. Lebih-lebih lagi pada zaman yang menggerunkan, di hadapan musuh-musuh yang dahsyat, di hadapan tekanan-tekanan yang amat kuat dan dalam lingkungan bid‘ah-bid‘ah dan kesesatan yang mengancam ini. 

Maka sudah tentu kita terpaksa dan ditaklifkan untuk sedaya upaya memperoleh keikhlasan lebih banyak berbanding dengan semua yang lain dan kita amat berhajat untuk memantapkan rahsia keikhlasan dalam diri kita. 

Jika tidak, bukan sahaja sebahagian khidmat suci yang kita peroleh sampai sekarang akan hilang dan tidak akan berterusan, malah kita akan sangat dipertanggungjawabkan. 

Kita akan menerima larangan Ilahi yang penuh ancaman dahsyat dalam ayat “وَلاَ تَشْتَرُوا بِآيَاتِى ثَمَنًا قَلِيلاً”. Dengan merosakkan keikhlasan iaitu memudaratkan kebahagiaan abadi demi kepuasan sesetengah perasaan keji dan manfaat-manfaat juz’iyyah yang tidak bermakna, tiada faedah, bermudharat, merisaukan, mementingkan diri sendiri, berat dan mengandungi riya’, kita melampaui hak semua saudara dalam khidmat ini, menceroboh kehormatan khidmat al-Quran dan tidak menghormati kesucian hakikat-hakikat iman.

Wahai saudara-saudaraku! Selalunya bagi urusan-urusan kebajikan yang penting dan besar terdapat banyak halangan yang memudaratkan. Syaitan-syaitan akan sering mengganggu para penggerak khidmat tersebut. Untuk menghadapi segala halangan dan syaitan ini, kita perlu bersandar kepada kekuatan ikhlas. 

Hindarkanlah diri daripada punca-punca yang boleh merosakkan keikhlasan sebagaimana kalian menghindarkan diri daripada ular dan kala jengking. Berdasarkan kata-kata Nabi Yusuf ‘Alaihis Salam: “إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِِ إِلاَّ مَا رَحِمَ رَبِّى”, nafsu amarah tidak boleh dipercayai. Janganlah sifat keakuan dan nafsu amarah memperdaya kalian. Jadikanlah dustur-dustur berikut sebagai pedoman kalian untuk memperoleh dan memelihara keikhlasan serta menjauhkan penghalangnya. 

Dustur Pertama: Perlu ada keredhaan Allah dalam amalan kalian. Sekiranya Dia redha sedangkan seluruh dunia berpaling, maka itu tidak penting. Jika Dia menerima sedangkan seluruh masyarakat menolak maka tiada kesannya. Setelah Dia meredhai dan menerima, jika Dia kehendaki dan selari dengan hikmah-Nya, walaupun kalian dalam keadaan tidak meminta, Dia akan menjadikan masyarakat juga menerima dan meredhai. Kerana itu, keredhaan Allah sahaja yang perlu dijadikan sebagai tujuan utama dalam khidmat dakwah ini.

Dustur Kedua: Tidak mengkritik saudara-saudara kalian yang berada dalam khidmat al-Quran ini dan tidak membangkitkan rasa ghibtah dengan cara mempamerkan kelebihan diri sendiri ke atas mereka. 

Ini kerana, sebagaimana tangan manusia tidak pernah bersaing dengan tangannya yang sebelah lagi, matanya juga tidak pernah mengkritik matanya yang lain, 


207. Page

lidahnya tidak pernah menyangkal telinganya dan hatinya tidak akan melihat keaiban rohnya, bahkan saling melengkapkan kekurangan, menutup kesilapan, menolong keperluan dan membantu tugas satu sama lain. Jika tidak, kehidupan bagi wujud manusia itu akan terpadam, rohnya akan melayang dan tubuhnya akan bercerai-berai. 

Begitulah juga roda gendeng sebuah kilang. Roda-roda itu tidak akan berusaha menyaingi satu sama lain, tidak akan mendahului dan menganiayai satu sama lain, tidak akan berusaha untuk melumpuhkan (fungsinya) dengan melihat kekurangan satu sama lain lalu mengkritik lantas mematahkan semangat kerjanya. 

Bahkan roda-roda itu saling membantu untuk menghalakan pergerakan satu sama lain kepada tujuan yang umum dengan segala kemampuannya. Roda-roda itu berputar kepada tujuan penciptaannya dengan satu persandaran dan kemuafakatan yang hakiki. Sekiranya bantahan dan penganiayaan sebesar zarah masuk campur maka ia akan menghuru-harakan kilang itu dan meninggalkannya sia-sia dan tanpa natijah. Pemilik kilang juga akan menghancurkan dan mencerai-beraikan kilang itu secara keseluruhan.

Justeru, wahai murid-murid Risalah an-Nur dan khadam-khadam al-Quran, kalian dan kami ialah anggota-anggota tubuh peribadi maknawi yang layak dinamakan sebagai insan yang sempurna tersebut. Kita adalah ibarat roda gendeng sebuah kilang yang menatijahkan kebahagiaan abadi dalam kehidupan abadi. Kita juga adalah khadam-khadam yang bekerja dalam bahtera Rabbani yang menyelamatkan umat Muhammad Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam ke Darus Salam yang merupakan pantai keselamatan. 

Sudah tentu kita amat berhajat dan amat memerlukan persandaran dan kesatuan yang hakiki dengan memperoleh rahsia keikhlasan yang menjamin kekuatan maknawi sekuat seribu seratus sebelas (1111)” orang daripada empat orang. 

Ya, jika tiga huruf Alif tidak bersatu, nilainya hanyalah tiga. Sekiranya ia bersatu dengan rahsia bilangan, ia akan bernilai seratus sebelas (111). Sekiranya duduk berasingan, empat kali empat bernilai enam belas. Tetapi sekiranya angka-angka ini duduk sejajar dari bahu ke bahu di atas satu garisan dengan rahsia ukhuwwah, kesatuan matlamat dan kesepakatan tugas, pada waktu itu, sesungguhnya terlalu banyak peristiwa bersejarah menyaksikan bahawa dengan rahsia keikhlasan sebenar, nilai dan kekuatan maknawi enam belas orang saudara yang sanggup berkorban mengatasi empat ribu orang, sebagaimana nilai dan kekuatannya menjadi empat ribu empat ratus empat puluh empat (4444). 

Makna kepada rahsia ini: Setiap orang yang berada dalam satu kesepakatan yang hakiki dan sejati dapat memandang melalui mata semua saudaranya yang lain serta dapat mendengar dengan telinga mereka juga. Seolah-olah setiap seorang daripada sepuluh orang yang benar-benar bersatu memiliki nilai dan kekuatan maknawi dapat 


208. Page

melihat melalui dua puluh biji mata, berfikir menerusi sepuluh akal, mendengar melalui dua puluh telinga dan bekerja dengan dua puluh tangan. (26)

Dustur Ketiga: Kalian perlu tahu bahawa seluruh kekuatan kalian berada dalam keikhlasan dan kebenaran. Ya, kekuatan adalah pada kebenaran dan keikhlasan. Orang-orang yang batil juga mendapat kekuatan daripada keikhlasan dan kesungguhan yang ditunjukkan dalam kebatilan mereka. 

Ya, khidmat dakwah kita ini adalah dalil yang menunjukkan bahawa kekuatan itu pada kebenaran dan keikhlasan. Dalam khidmat kita ini, secebis keikhlasan boleh mengisbatkan dakwah ini dan menjadi dalil kepada dirinya sendiri. Ini kerana, khidmat ilmu dan agama yang telah dilakukan dalam tujuh ke lapan tahun di sini (Isparta) adalah seratus kali ganda lebih banyak berbanding dengan apa yang telah kami lakukan di negeriku sendiri dan di Istanbul selama lebih dua puluh tahun.

Ini kerana, ketika di negeri sendiri dan di Istanbul dahulu, aku mempunyai lebih seratus bahkan seribu kali ganda para pembantu berbanding dengan bilangan saudara-saudara yang bergiat denganku di sini. Maka aku langsung tidak syak bahawa kekuatan maknawi dalam khidmat yang aku lakukan bersama kalian selama tujuh ke lapan tahun di sini, dalam keadaan aku sebatang kara, tiada saudara-mara, terasing, separuh ummi dan di bawah intipan serta tekanan para pegawai yang kejam tetapi menunjukkan keberhasilan lebih seratus kali ganda berbanding dengan khidmat-khidmat dakwah yang terdahulu ini adalah datang daripada keikhlasan yang ada pada kalian. 

Saya juga mengakui bahawa melalui keikhlasan kalian yang sejati, kalian telah sedikit menyelamatkanku daripada sifat riya’ yang membelai nafsu di bawah tabir kehormatan dan kemuliaan. Insya-Allah kalian akan mencapai keikhlasan yang sempurna dan akan turut memasukkanku ke dalam keikhlasan yang sempurna.

Sebagaimana yang kalian tahu, Saidina Ali Radhiyallahu ‘Anhu melalui karamahnya yang seperti mukjizat itu dan al-Ghausul A’zam (Syeikh Abdul Qadir Jailani) melalui karamah ghaibnya yang luar biasa itu memberi perhatian kepada kalian berdasarkan rahsia keikhlasan ini. Mereka menenteramkan kalian bagaikan memberi perlindungan lalu bertepuk tangan memuji khidmat kalian secara maknawi. Ya, janganlah kalian sekali-kali meragui bahawa perhatian mereka ini datang kerana keikhlasan. 

Sekiranya kalian merosakkan keikhlasan ini secara sengaja, kalian akan mendapat tamparan mereka. Ingatilah tamparan-tamparan kasih dalam Kilauan Kesepuluh. 

Jika kalian mahu pahlawan-pahlawan maknawi sebegini menjadi penyokong di belakang dan menjadi ustaz di hadapan kalian, perolehlah keikhlasan yang 


(26)  Ya, rahsia keikhlasan, persandaran dan kesatuan yang sejati menjadi penyebab kepada manfaat yang tiada batasan. Ia juga merupakan perisai dan noktah sandaran yang paling penting untuk menghadapi ketakutan hatta kematian sekalipun. Kerana jika kematian datang, ia akan mengambil hanya satu roh. Namun dengan rahsia ukhuwwah yang hakiki, pada kerja-kerja yang bersangkut-paut dengan Akhirat dan di jalan keredhaan Allah, dia memiliki roh sebanyak saudara-saudaranya. Dengan berkata: “Jika salah satunya mati biarlah roh-rohku yang lain kekal sihat. Aku tidak mati, kerana roh-roh itu sentiasa mendapatkan pahala lalu meneruskan kehidupan maknawi bagi pihakku.” Maka, dia akan menghadapi kematian sambil tersenyum dan dia akan berkata: “Dengan perantaraan roh-roh itu aku masih hidup dalam sudut pahala. Aku cuma mati dalam sudut dosa.” Lalu dia bersemadi dengan tenang.


209. Page

sempurna melalui rahsia “وَ يُؤْثِرُونَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ”. Utamakanlah diri saudara-saudara kalian berbanding diri kalian dalam perkara-perkara yang disukai oleh nafsu seperti kehormatan, kedudukan, perhatian hatta manfaat maddiyyah. Hatta, memberitahu seorang mukmin yang memerlukan suatu hakikat iman yang paling latif dan indah adalah manfaat yang paling suci dan menguntungkan. 

Kalau boleh, untuk menghalang kedatangan sikap mementingkan diri kepada diri kalian, berasalah gembira sekiranya sahabat yang enggan melakukan urusan yang baik itu melakukannya. 

Jika kalian memiliki keinginan seperti: 

“Biarlah aku memperoleh pahala” atau “masalah yang indah ini biarlah aku yang terangkan”; walaupun secara zahir tidak berdosa dan tidak bermudarat, namun fikiran-fikiran sepertu itu boleh menyebabkan kemudaratan kepada rahsia keikhlasan yang ada di antara kalian.

Dustur Keempat: Menganggap semua keistimewaan saudara-saudara kalian ada pada peribadi kalian dan kelebihan mereka ada dalam diri kalian lalu berbangga dalam keadaan bersyukur dengan kemuliaan mereka. 

Terdapat istilah Fana’ fisy-Syeikh dan Fana’ fir-Rasul di kalangan ahli tasauf. Aku bukanlah sufi. Tetapi dustur mereka ini adalah satu dustur yang bagus dalam bentuk Fana’ fil-Ikhwan dalam maslak kita. Di kalangan para saudara perkara ini disebut “tafani” iaitu menjadi fana pada satu sama lain. Yakni, melupakan hissiyat nafsaniyyah (kehendak nafsu diri sendiri) lalu hidup dengan cara memikirkan keistimewaan dan kehendak para saudara. 

Sesungguhnya asas maslak kita ialah ukhuwwah. Bukannya hubungan antara ayah dengan anak atau syeikh dengan murid tetapi hubungan-hubungan persaudaraan yang hakiki. Paling tidak, kedudukan sebagai ustaz masuk ke tengah-tengah. Oleh sebab maslak kita ialah khaliliyyah (berasaskan persahabatan) maka masyrab kita ialah khillah (persahabatan). Khillah pula menghendaki kita menjadi sahabat yang paling rapat, teman yang paling rela berkorban, rakan berjalan yang paling pandai menghargai dan saudara yang paling budiman. 

Asas utama khillah ini ialah keikhlasan yang sejati. Orang yang merosakkan keikhlasan yang sejati akan jatuh dari puncak tertinggi di menara khillah ini. Terdapat kebarangkalian yang dia akan terjatuh ke dalam lubang yang amat dalam dan tidak akan menemui tempat berpaut di tengahnya.

Ya, jalan kelihatan ada dua. Mereka yang sekarang ini memisahkan diri daripada maslak kita yang merupakan jalan terbesar al-Quran ini berkemungkinan membantu kekuatan musuh agama tanpa disedarinya. Insya-Allah mereka yang memasuki lingkungan qudsi al-Quran Mu’jizul Bayan melalui jalan Risalah an-Nur akan sentiasa memberi kekuatan kepada nur, keikhlasan dan keimanan dan tidak akan jatuh ke dalam lubang-lubang yang sebegitu. 

Wahai teman-temanku dalam khidmat al-Quran! Sesungguhnya salah satu cara yang paling berkesan untuk mendapat dan menjaga keikhlasan ialah rabitatul maut (ikatan kematian). Ya, sebagaimana benda yang mencederakan keikhlasan dan memandu ke arah riya’ dan dunia ialah tulul amal (panjang angan-angan), maka yang akan melahirkan kebencian kepada sifat riya’ dan akan memperolehkan


210. Page

keikhlasan ialah rabitatul maut. Yakni memikirkan kematian sendiri, memerhatikan kefanaan dunia lalu terselamat daripada dasisah (bujukan) nafsu. 

Ya melalui pengajaran yang diambil daripada ayat-ayat al-Quranul Hakim seperti: إِنَّكَ مَيِّتٌ وَإِنَّهُمْ مَيِّتُونَ”” dan “كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْت”, ahli tarikat dan ahli hakikat telah menjadikan rabitatul maut sebagai asas dalam suluk-suluk (jalan tarikat) mereka. Melalui rabitah itu mereka menghilangkan tawahhum abadi (sangkaan keabadian) yang merupakan sumber tuulul amal. Dalam bentuk andaian dan khayalan, mereka menganggap dan mengkhayalkan bahawa diri mereka telah mati lalu mengandaikan ia dimandikan dan diletakkan di dalam kubur lalu, fikir demi fikir, nafsu amarah akan terkesan daripada khayalan dan gambaran itu akan berundur sedikit daripada angan-angannya yang panjang.

Faedah-faedah rabitah ini adalah sangat banyak. Dalam sepotong hadith, dengan menyebut: “فأَكْثِرُوا ذِكْرَ هَادِمِ اللَّذَّاتِ” yakni: “Banyakkanlah mengingati kematian yang merupakan pemusnah dan pemahit segala kelazatan yang menyakitkan!” ia mengajar rabitah ini. Namun, oleh sebab jalan kita bukanlah tarikat bahkan hakikat, kita tidak terpaksa untuk melakukan rabitah ini secara andaian dan khayalan seperti ahli tarikat. Ia juga tidak sesuai dengan jalan hakikat. Bahkan (rabitatul maut kita) bukan menghadirkan masa depan ke masa sekarang dengan cara memikirkan akibat, tetapi pergi ke masa depan dari masa sekarang dengan cara berfikir dan merenung pada noktah hakikat. 

Ya, tanpa perlu membuat sebarang khayalan dan andaian, seseorang boleh melihat jenazahnya sendiri yang merupakan buah tunggal di puncak pohon usianya yang singkat itu. Sebagaimana dia hanya melihat kematiannya sendiri melaluinya, jika dia pergi sedikit ke tahap yang lebih jauh maka dia akan nampak kematian kurunnya juga; kalau dia pergi ke tahap yang lebih jauh lagi, dia akan menyaksikan kematian dunia juga dan membuka jalan kepada keikhlasan yang paling sempurna. 

Cara kedua ialah menyedari keberadaan diri di hadrat Ilahi melalui kilauan-kilauan yang datang daripada tafakkur imani pada ciptaan-ciptaan yang menghasilkan makrifah as-Sani’, lalu memikirkan bahawa al-Khaliqur Rahim sentiasa hadir dan melihat tanpa mencari selain daripada tawajjuh-Nya. 

Seterusnya adalah dengan memikirkan bahawa memandang kepada yang lain dan mencari bantuan daripada yang lain di hadrat-Nya adalah bertentangan dengan adab bagi hadrat itu maka seseorang itu akan terselamat daripada riya’ lalu memperoleh keikhlasan. Apa pun, padanya terdapat banyak darjat dan martabat. Berdasarkan habuan masing-masing, sebanyak mana seseorang itu boleh beristifadah, sebanyak itulah keuntungan. Oleh sebab banyak hakikat yang dapat menyelamatkan kita daripada riya’ dan memperoleh keihlasan telah disebut dalam Risalah an-Nur, maka kami serahkan padanya dan di sini kami tidak memanjangkannya.

Kami akan menerangkan secara ringkas tentang dua atau tiga daripada sebab-sebab yang merosakkan keikhlasan dan memandu kepada riya’:


211. Page

Halangan pertama yang merosakkan keikhlasan: Persaingan yang datang dari sudut manfaat maddiyyah merosakkan keikhlasan secara perlahan-lahan dan mencederakan natijah khidmat. Persaingan juga akan menghilangkan manfaat maddiyyah itu. 

Ya, bangsa ini sentiasa dipupuk dengan pemikiran untuk menghormati dan membantu mereka yang bekerja untuk hakikat dan akhirat. Dengan niat ingin turut terlibat dari segi tindakan dengan hakikat keikhlasan dan khidmat yang penuh kebenaran pada satu tahap dan supaya mereka yang berkhidmat ini tidak sibuk dan menghabiskan waktu untuk mencari rezeki, maka bangsa ini membantu dari sudut keperluan maddi seperti sedekah dan hadiah dan menghormati mereka. 

Namun, bantuan dan manfaat ini tidak boleh diminta bahkan diberi. Malah bantuan ini tidak boleh diminta hatta melalui lisanul hal dengan cara mengingininya dalam hati lalu duduk menunggu, tetapi diberi dalam suatu keadaan yang tidak disangka-sangka. Jika tidak, keikhlasannya akan tercalar. 

Di samping itu, orang yang sedemikian juga mendekati larangan ayat “وَلاَ تَشْتَرُوا بِآيَاتِى ثَمَنًا قَلِيلاً” dan sebahagian amalannya akan hangus terbakar. Justeru, mengharapkan manfaat maddi sedemikian dan duduk menunggu, seterusnya kerana mementingkan diri dan untuk tidak membiarkan manfaat itu terlepas kepada yang lain, nafsu amarah membangkitkan sejenis rasa persaingan terhadap saudara hakikinya dan temannya yang berada dalam khidmat yang khusus itu. Maka keikhlasannya tercalar dan khidmat dakwah juga hilang kesuciannya. Dia akan mendapat kedudukan yang buruk di sisi ahli hakikat. Dia juga kehilangan manfaat maddi itu.

Apa pun, adunan ini memerlukan banyak air. Secara ringkas, aku akan menyebutkan hanya dua contoh yang boleh menguatkan rahsia keikhlasan dan kesepakatan sejati di kalangan saudara-saudaraku yang hakiki. 

Contoh Pertama: Untuk memperoleh kekayaan yang besar dan kekuatan yang hebat, ahli dunia hatta sebahagian ahli politik dan petugas serta kumpulan penting dalam kehidupan masyarakat manusia menjadikan dustur perkongsian harta sebagai panduan kepada diri mereka. 

Bersama-sama dengan semua penyalahgunaan dan kemudaratannya, mereka mendapat kekuatan dan manfaat yang luar biasa. Walhal, walaupun terdapat mudarat yang banyak pada perkongsian harta, tetapi melalui perkongsian, hakikatnya tidak akan berubah. 

 Sebenarnya, dari satu sudut dan pada pemerhatian, setiap orang boleh menjadi pemilik semua harta itu, namun mereka tidak dapat memanfaatkannya secara mutlak.

Walau apa pun, sekiranya dustur perkongsian harta ini memasuki amal-amal ukhrawi, ia akan menjadi punca kepada suatu manfaat besar yang tidak merugikan. Ini kerana semua harta itu mengandungi rahsia bagaimana setiap orang yang berkongsi itu boleh mendapat manfaat sepenuhnya.

Ini kerana, (dengan niat berkongsi) seorang daripada empat atau lima orang membawa minyak gas, seorang membawa sumbu, seorang membawa serombong


212. Page

kaca, seorang membawa botol dan seorang lagi membawa mancis lalu menyalakan pelita, maka setiap daripada mereka menjadi pemilik kepada sebuah pelita yang sempurna. Sekiranya setiap seorang memiliki sebuah cermin yang besar di dinding, pelita dan bilik itu akan memasuki cermin masing-masing tanpa kekurangan dan kerosakan. 

Sama seperti itu juga, sesungguhnya dalam harta-harta ukhrawi, melalui perkongsian dengan rahsia ikhlas, persandaran dengan rahsia ukhuwwah dan perkongsian usaha dengan rahsia kesatuan, maka faedah umum dan cahaya umum yang terhasil daripada perkongsian kerja itu akan memasuki buku amalan masing-masing bitamamiha (secara sempurna). Perkara ini telah disaksikan dan benar-benar berlaku di kalangan ahli hakikat dan perkara ini adalah kehendak keluasan rahmat serta kepemurahan Ilahi.

Justeru, wahai saudara-saudaraku! Insya-Allah manfaat maddiyyah tidak akan membawa kalian kepada persaingan. Tetapi dalam noktah manfaat ukhrawiyyah, sebagaimana sebahagian ahli tarikat telah terpedaya, kalian juga mungkin akan terpedaya. Namun, di manakah pahala persendirian dan juz’i serta di manakah pula pahala yang terzahir pada noktah perkongsian amal pada contoh yang telah disebutkan? 

Contoh Kedua: Untuk mendapat hasil kerja yang lebih, pakar-pakar pembuatan mendapat keuntungan yang besar dengan cara berkongsi kemahiran. Justeru, (pada mulanya) sepuluh orang pembuat jarum jahit telah berusaha membuatnya secara berasingan. Hasil dan buah daripada seni kemahiran persendirian tersebut hanyalah tiga batang jarum setiap hari. 

Kemudian, dengan dustur perkongsian kerja, sepuluh orang ini telah bersatu. Seorang membawa besi, seorang melubangkannya, seorang menyalakan ketuhar, seorang memasukkan besi ke dalam ketuhar, seorang menajamkan matanya dan begitulah seterusnya. Oleh sebab dalam kerja pembuatan jarum ini setiap orang hanya sibuk dengan satu kerja yang sedikit dan khidmat yang dilaksanakannya adalah mudah, tanpa merugikan masa, di samping mendapat kemahiran dalam kerja itu, mereka dapat melakukan kerja secara sangat pantas. Kemudian mereka telah membahagikan hasil kerja yang diperoleh melalui dustur perkongsian kerja dan pembahagian tugas itu. 

Mereka mendapati bahawa tiap-tiap orang memperoleh tiga ratus batang jarum dalam sehari berbanding dengan tiga batang jarum (sebelum ini). Untuk menggalakkan perkongsian kerja, peristiwa ini telah menjadi legenda yang menjadi bahan percakapan pakar-pakar pembuatan di kalangan ahli dunia. 

Justeru, wahai saudara-saudaraku! Memandangkan hasil yang diperoleh melalui kesatuan dan kesepakatan dalam urusan duniawi dan pada bahan-bahan yang legap membuahkan natijah yang besar sebegini, maka sudah tentu kalian boleh mengkiaskan betapa dengan limpah kurnia Ilahi, pantulan keseluruhan pahala ukhrawi dan nurani yang tidak berhajat kepada pemecahan dan pembahagian pada cermin setiap orang serta pemilikan pahala yang sama kadarnya seperti yang diperoleh oleh semua orang ini adalah satu keuntungan yang amat besar! Keuntungan besar ini tidak wajar dilepaskan angkara persaingan dan ketidakikhlasan.


213. Page

Halangan kedua yang merosakkan keikhlasan: Sikap mahu mendapatkan tawajjuh ‘ammah (perhatian umum) di bawah tirai kedudukan dan kehormatan dengan dorongan sikap suka pada kemasyhuran yang datang daripada hubbul jah (cinta kedudukan), sikap membelai ananiyyah (keakuan) dengan cara menarik perhatian orang lain kepada diri sendiri dan tabiat memberi kedudukan kepada nafsu amarah. 

Ini kerana sebagaimana sikap-sikap ini menjadi penyakit roh yang paling parah, ia juga membuka pintu kepada riya’ yang disebut sebagai syirik khafi dan sikap suka memuji diri sendiri lalu boleh mencalarkan keikhlasan. 

Wahai saudara-saudaraku! Oleh sebab jalan kita dalam khidmat al-Quranul Hakim ialah hakikat dan ukhuwwah dan rahsia ukhuwwah pula ialah memfanakan diri pada para saudara(27) dan mengutamakan diri mereka ke atas diri sendiri, maka sikap bersaing yang datang daripada hubbul jah jenis ini sepatutnya tidak memberi kesan kepada sesama kita. Ini kerana sikap itu adalah bertentangan dengan maslak kita secara keseluruhan. 

Memandangkan kemuliaan semua saudara boleh dimiliki oleh setiap orang secara umum, maka aku berharap mudah-mudahan sikap mengorbankan kemuliaan maknawi yang besar itu demi kemuliaan dan kemahsyuran yang berbentuk peribadi, bangga diri, penuh persaingan dan sedikit itu berada jauh seratus tahap dari murid-murid Risalah an-Nur

Ya, hati, akal dan roh murid-murid Risalah an-Nur, tidak akan turun ke tahap yang rendah, bermudarat dan hina sebegini. Walaubagaimanapun, nafsu amarah ada pada semua orang. Kadang-kadang hissiyyat nafsu (kehendak nafsu) mengganggu urat perasaan lalu menggerakkan keputusannya sedikit ke arah yang bertentangan dengan hati, akal dan roh. 

Aku tidak menyalahkan hati, roh dan akal kalian. Berdasarkan kesan yang telah diberikan oleh Risalah an-Nur, aku yakin kepada kalian. Tetapi, kadangkala nafsu dan kehendak, naluri dan waham menipu. Sebab itulah kadang-kadang kalian diberi amaran yang keras. Kekerasan ini bergantung kepada nafsu, kehendak, naluri dan waham. Bertindaklah dengan waspada. 

Ya, kalaulah jalan kita berdasarkan kepimpinan tarikat, nescaya maqam akan menjadi satu ataupun akan terdapat maqam-maqam yang terhad. Nescaya terdapat ramai orang yang berkebolehan untuk menjadi calon ke maqam itu. Maka sudah tentu sikap mementingkan diri yang dipenuhi rasa cemburu boleh lahir. Namun, jalan kita ialah ukhuwwah. Seorang saudara tidak boleh menjadi ayah kepada saudaranya dan tidak boleh bertindak seperti mursyid. Maqam-maqam dalam ukhuwwah adalah luas. Ia tidak akan menjadi punca kepada pergaduhan yang dipenuhi rasa ghibtah. Paling tidak, seorang saudara menjadi pembantu dan penyokong kepada saudaranya dan menyempurnakan khidmatnya. 

Dalil kepada natijah yang sangat bermudarat dan berbahaya dari sudut tamakkan pahala dan ketinggian himmah yang dipenuhi rasa ghibtah pada jalan-jalan maqam kebapaan dan kemursyidan ialah natijah-natijah buruk yang disebabkan oleh ikhtilaf dan persaingan dalam kesempurnaan dan manfaat ahli tarikat yang amat penting dan 


(27)  Ya, orang yang bertuah itu ialah orang yang membuang dan mencairkan sahsiah dan ananiyyah-nya yang menyerupai seketul ais ke dalam kolam manis yang ditapis daripada Kautsar al-Quran untuk mendapatkan kolam itu. 


214. Page

besar maka kekuatan mereka yang agung dan kudus itu tidak mampu bertahan menghadapi ribut-ribut bid‘ah

Halangan ketiga yang merosakkan keikhlasan: Rasa takut dan tamak. Oleh sebab halangan ini telah diterangkan dengan sempurna bersama dengan sebahagian halangan lain dalam Risalah al-Hujumat as-Sittah, kita melangkauinya lalu menjadikan Asmaul Husna sebagai pemberi syafaat dan merayu daripada Arhamur Rahimin supaya memberikan kita kejayaan untuk mendapat keikhlasan yang sempurna. Amin, Amin, Amin.

 اَللّٰهُمَّ بِحَقِّ سُورَةِ الْإِخْلاَصِ اِجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الْمُخْلَصِينَ الْمُخْلِصِينَ”

آمِينَ آمِينَ آمِين

سُبْحَانَكَ لاَعِلْمَ لَنَا إِلاَّ مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ